JC, MI mansuh peperiksaan pertengahan tahun mulai 2024
Tiada lagi peperiksaaan pertengahan tahun bagi pelajar maktab (JC) rendah dan Institut Millenia (MI) bagi kohort yang memasuki sekolah-sekolah itu mulai 2024.
SINGAPURA: Tiada lagi peperiksaaan pertengahan tahun bagi pelajar maktab (JC) rendah dan Institut Millenia (MI) bagi kohort yang memasuki sekolah-sekolah itu mulai 2024.
Demikian diumumkan Kementerian Pendidikan (MOE) pada Rabu (1 Mac).
Berucap di Parlimen semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan, Menteri Pendidikan Chan Chun Sing berkata perubahan itu adalah sebahagian daripada usaha kementerian tersebut untuk beralih daripada memberi terlalu banyak penekanan terhadap ujian dan keputusan akademik.
Ini menyusuli langkah serupa untuk memansuhkan peperiksaan pertengahan tahun di sekolah-sekolah rendah dan menengah.
"Masa yang sebelum ini terluang untuk membuat persediaan bagi peperiksaan kini boleh disalurkan kepada pendampingan pelajar secara lebih mendalam dan pembelajaran menerusi pengalaman lebih pelbagai," menteri itu.
Pemansuhan peperiksaan pertengahan tahun itu tidak akan digantikan dengan lebih banyak penilaian berasaskan sekolah. Pihak JC dan MI juga tidak harus memberikan lebih daripada satu penilaian yang diberikan timbangan untuk setiap penggal, menurut MOE dalam satu kenyataan media berasingan.
Kandungan bagi kebanyakan sukatan pelajaran peringkat GCE 'A' Singapura adalah serupa atau tukikannya bersifat lebih khusus berbanding sukatan antarabangsa yang digunakan sebagai penanda aras perbandingan, kata Encik Chan.
Subjek Kertas Am akan diwajibkan bagi semua pelajar JC dan MI mulai 2024 bagi membolehkan para pelajar membangunkan kemahiran seperti pemikiran kritikal menerusi pembelajaran ehwal semasa dan isu kontemporari.
Subjek Pengetahuan dan Penyelidikan, yang tertumpu pada sifat dan pembangunan pengetahuan, kini boleh ditawarkan sebagai ganti kepada Kertas Am atau sebagai "subjek yang berbeza".
Para pelajar perlu mengambil sekurang-kurangnya satu subjek berbeza dan bukannya mengambil semua subjek kemanusiaan atau sains sahaja.
Mulai 2024, subjek Pengetahuan dan Penyelidikan hanya akan ditawarkan sebagai "subjek berbeza", menurut MOE.
Subjek Kerja Projek pula akan dijadikan sebagai subjek lulus atau gagal bagi kohort pelajar JC dan MI dari tahun 2024. Para pelajar perlu lulus subjek itu untuk permohonan ke universiti, kata Encik Chan.
Dengan perubahan pada cara subjek Kerja Projek diberikan gred, pengiraan skor kemasukan universiti para pelajar juga akan berubah.
Bagi kohort yang masuk JC atau MI mulai 2026, subjek keempat yang berasaskan kandungan bagi seseorang pelajar akan disertakan ke dalam pengiraan skor hanya jika ia menaikkan skor mereka.
"Ini akan membolehkan para pelajar kita untuk menyesuaikan beban pembelajaran mereka supaya lebih banyak masa dapat disalurkan kepada pembangunan holistik," kata Encik Chan.
Buat masa ini, para pelajar JC dan MI yang memohon masuk ke universiti autonomi mesti menyertakan empat subjek berasaskan kandungan, Kertas Am dan Kerja Projek dalam permohonan mereka.(
Bagi seorang pelajar yang mengemukakan empat subjek H2 berasaskan kandungan, subjek H2 yang mendapat mata terendah akan dianggap sebagai subjek H1 bagi tujuan pengiraan skor. Amalan ini akan diteruskan di bawah sistem yang baru.
Kini, tiga subjek H2 membawa 20 mata setiap satu.
Kertas Am, Kerja Projek serta satu lagi subjek kandungan membawa 10 mata setiap satu, sekali gus bermakna mata tertinggi yang boleh dicapai adalah 90 mata.
Subjek Bahasa Ibunda, yang juga membawa 10 mata, hanya akan disertakan jika ia dapat menaikkan keseluruhan skor dan keseluruhan skor itu kemudian diasaskan semula kepada 90.
Di bawah sistem baru, ketiga-tiga subjek H2 itu tetap akan membawa 20 mata setiap satu.
Kertas Am juga akan menyumbang 10 mata, namun kedua-dua subjek Bahasa Ibunda dan subjek kandungan yang tinggal hanya akan disertakan jika ia akan meningkatkan skor keseluruhan, daripada jumlah keseluruhan 70 mata.
"Para ibu bapa dan pendidik mungkin prihatin sama ada para pelajar prapengajian tinggi akan mengambil secara serius subjek Kerja Projek atau subjek keempat berasaskan kandungan," kata Encik Chan.
"Kami yakin para pelajar akan tetap belajar bersungguh-sungguh untuk memperolehi keputusan yang baik baginya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.