Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi ditubuhkan; langkah penting jelang Pilihan Raya Umum seterusnya
Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC) telah dibentuk, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Rabu (22 Jan) - satu langkah penting menjelang Pilihan Raya Umum akan datang yang mesti diadakan menjelang November tahun ini.

Jawatankuasa itu ditubuhkan oleh perdana menteri sebelum setiap pilihan raya untuk menyemak dan membuat perubahan pada peta sempadan kawasan undi Singapura, dengan mengambil kira peralihan penduduk dan pembangunan perumahan untuk menyesuaikan bilangan pengundi di seluruh kawasan undi.
Dalam kenyataan medianya pada Rabu (22 Jan), ELD turut mendedahkan bahawa jawatankuasa itu telah diarahkan untuk menyarankan bilangan dan saiz Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC).
"Jawatankuasa itu harus berusaha untuk mengekalkan saiz purata GRC, jumlah Anggota Parlimen (AP) yang dipilih daripada SMC, dan nisbah purata antara pengundi dengan Anggota Parlimen yang dipilih, semuanya hampir sama seperti semasa Pilihan Raya Umum yang lalu," tambah ELD.
Pilihan raya umum akan datang adalah yang ke-14 sejak Singapura merdeka, dan yang pertama di bawah kepimpinan pemimpin generasi keempat negara yang diterajui oleh Perdana Menteri Lawrence Wong.
Daftar Pengundi akan dibuka untuk disemak mulai Februari, dan kemas kini mesti diselesaikan sebelum 1 Apr.
ELD akan memberikan butiran lanjut tentang cara rakyat Singapura boleh menyemak daftar pengundi apabila ia dibuka untuk diperiksa kelak.
PILIHAN RAYA UMUM SETERUSNYA SEMAKIN HAMPIR
Dalam empat pilihan raya umum yang diadakan oleh perdana menteri sebelum ini, iaitu Encik Lee Hsien Loong - pada 2006, 2011, 2015 dan 2020 - jarak antara penubuhan EBRC hingga pilihan raya diadakan adalah antara tiga dan hampir 11 bulan.
Jawatankuasa itu kali terakhir ditubuhkan pada Ogos 2019, menjelang pilihan raya umum pada Julai tahun berikutnya, yang diadakan di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Pada 2015, ia ditubuhkan pada bulan Mei, dengan pilihan raya diadakan pada September sempena sambutan Jubli Emas Singapura.
Dipengerusikan oleh setiausaha kepada perdana menteri, EBRC terdiri daripada para pegawai kanan Perkhidmatan Awam dari Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Penguasa Tanah Singapura (SLA), Jabatan Statistik (DOS) dan ELD.
TARIKH-TARIKH PENTING UNTUK DIPERHATIKAN
Penubuhan jawatankuasa itu akan memulakan beberapa siri acara yang akan menuju ke arah pilihan raya umum diadakan di negara ini.
Berikut adalah urutan peristiwa yang dijangka berlaku:
1. EBRC ditubuhkan
2. Laporan EBRC diterbitkan yang memberi perincian mengenai perubahan pada peta sempadan kawasan undi Singapura.
EBRC tidak mempunyai tarikh akhir yang ditetapkan untuk menyelesaikan semakannya, tetapi jawatankuasa yang lalu mengambil masa antara tiga minggu dan hampir tujuh setengah bulan sebelum mengeluarkan laporannya.
Laporan itu akan menyatakan jumlah kerusi untuk dipertandingkan bagi SMC dan GRC di merata negara.
Musim pilihan raya bermula, dengan parti-parti politik menentukan jadual mereka di kawasan undi yang ingin ditandingi. Manifesto dan slogan pilihan raya juga akan diterbitkan.
3. Parlimen dibubarkan
Presiden akan membubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri. Pilihan Raya Umum mesti diadakan dalam tempoh tiga bulan selepas itu.
Pemerintah akan terus mengekalkan kuasa membuat keputusan sehingga pilihan raya berakhir dan pemerintah seterusnya mengangkat sumpah. Perkhidmatan Awam juga akan terus berfungsi seperti biasa.
4. Writ Pilihan Raya dikeluarkan
Writ itu biasanya dikeluarkan pada hari yang sama, sejurus selepas Parlimen dibubarkan.
Tiada tempoh ditetapkan selepas laporan EBRC dikeluarkan dan tarikh Pilihan Raya Umum diadakan.
Pada 2001, ia hanya mengambil masa sehari. Dalam pilihan raya pada 2020, rakyat Singapura menunggu tiga bulan 10 hari.
5. Hari Penamaan Calon
Ia perlu diadakan tidak kurang daripada lima hari dan tidak lewat daripada sebulan selepas writ tersebut dikeluarkan.
Parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya perlu menyerahkan borang masing-masing di pusat-pusat penamaan calon sebelum waktu tengah hari, sebelum para calon dimuktamadkan.
Hari itu juga menandakan permulaan tempoh berkempen, yang lazimnya berlangsung selama sembilan hari.
6. Hari Bertenang
Diperkenalkan semasa Pilihan Raya Umum 2011, para calon tidak dibenarkan berkempen sehari sebelum Hari Mengundi, untuk memberi para pengundi masa untuk menilai dan menimbangkan isu-isu utama sebelum membuat keputusan.
7. Hari Mengundi
Rakyat Singapura akan keluar mengundi dari pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam.
Pada 2020, tempoh mengundi dilanjutkan selama dua jam disebabkan oleh barisan panjang di pusat-pusat mengundi yang sebahagian besarnya disebabkan oleh langkah-langkah keselamatan COVID-19.
Sebelum keputusan rasmi diumumkan, kiraan undi sampel akan memberi rakyat Singapura petunjuk tentang siapa yang berkemungkinan menang di pelbagai kawasan undi.
Diperkenalkan dalam Pilihan Raya Umum 2015, sampel itu memberikan gambaran yang agak baik tentang keputusan muktamad, dengan kadar keyakinan 95 peratus dan margin ralat 4 peratusan mata.
TANDA-TANDA PILIHAN RAYA
Terdapat tanda-tanda yang membawa kepada penubuhan EBRC.
Pada Mac tahun lalu, ELD menyatakan bahawa sekitar 50,000 pegawai awam akan dilantik dan dilatih untuk menguruskan aktiviti pencalonan, pengundian dan pengiraan undi menjelang pilihan raya umum akan datang.
Rapat Hari Buruh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Mei lalu - yang merupakan ucapan utama terakhirnya sebelum menyerahkan tampuk pemerintahan negara - disifatkan oleh para penganalisis politik sebagai ucapan kempen pilihan raya, ketika beliau merumuskan pencapaian pemerintah PAP sepanjang tempoh 20 tahun beliau memimpin negara.
Tidak lama selepas menyandang jawatan perdana menteri, PM Wong kemudian mengarahkan ELD pada 20 Mei lalu untuk menyemak daftar pengundi sebelum akhir Julai.
Pada Jun tahun lalu, sempadan 12 kawasan undi telah diubah dan diwartakan.
Daftar pengundi kemudian dikemas kini dan dibuka untuk disemak pada lewat Julai, di mana ia mendedahkan bahawa lebih 2.7 juta rakyat Singapura layak mengundi dalam pilihan raya umum akan datang.
Sekalipun perangkaan itu menunjukkan bahawa purata bilangan pengundi bagi setiap Anggota Parlimen pada masa ini kekal dalam julat yang ditetapkan, sesetengah pemerhati politik berkata mungkin masih terdapat peningkatan yang sepadan, walaupun sedikit, pada jumlah Anggota Parlimen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.