Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jawatankuasa Hak Istimewa mula teliti kes aduan terhadap AP Raeesah Khan; adakan mesyuarat tertutup

Pejabat Setiausaha Dewan Parlimen menyatakan pada Jumaat (26 Nov), Jawatankuasa Hak Istimewa sudahpun memulakan tugasannya untuk menyiasat aduan terhadap Anggota Parlimen (AP) Raeesah Khan (WP-Sengkang).

Anggaran Waktu Membaca:
Jawatankuasa Hak Istimewa mula teliti kes aduan terhadap AP Raeesah Khan; adakan mesyuarat tertutup
Diterbitkan : 27 Nov 2021 10:33PM Dikemas Kini : 27 Nov 2021 10:36PM

SINGAPURA: Pejabat Setiausaha Dewan Parlimen menyatakan pada Jumaat (26 Nov), Jawatankuasa Hak Istimewa sudahpun memulakan tugasannya untuk menyiasat aduan terhadap Anggota Parlimen (AP) Raeesah Khan (WP-Sengkang).

"Ia akan mempertimbangkan apa-apa perkara berhubung aduan yang dirujukkan kepadanya. Jawatankuasa itu akan membentangkan laporannya kepada Parlimen dalam masa terdekat," menurut Pejabat tersebut dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp.

Pejabat Setiausaha Dewan Parlimen menambah mesyuarat jawatankuasa pilihan itu diadakan secara tertutup melainkan ia memutuskan sebaliknya.

Cik Raeesah dirujukkan kepada Jawatankuasa Hak Istimewa kerana melanggar hak istimewa parlimen selepas mengaku berbohong di Parlimen tentang butiran satu kes serangan seksual, di mana beliau mendakwa polis telah salah mengendalikan kes tersebut.

Cik Raeesah pertama kali menyebut tentang kes itu pada 3 Ogos semasa usul Parti Pekerja mengenai pemerkasaan wanita.

Cik Raeesah berkata beliau menemani seorang wanita berusia 25 tahun untuk membuat aduan polis tiga tahun lalu. Cik Raeesah juga berkata mangsa keluar dari balai polis sambil menangis kerana seorang pegawai polis didakwa membuat komen tentang cara pemakaian wanita itu serta hakikat bahawa beliau dalam keadaan mabuk.

Ini mendorong Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam di Parlimen pada 4 Oktober lalu, meminta Cik Raeesah supaya memberikan lebih banyak butiran. Encik Shanmugam berkata dakwaan seumpama itu akan disiasat dan ditangani secara serius. Cik Raeesah menolak untuk memberikan maklumat lanjut atas alasan bahawa perlu menjaga kerahsiaaan.

Apabila Encik Shanmugam bertanya kepada Cik Raeesah untuk mengesahkan sama ada beliau menemani mangsa ke balai polis, beliau mengaku berbuat demikian. Cik Raeesah tidak memberi respons kepada permintaan daripada polis supaya memberikan butiran tentang kes serangan seksual tersebut, menurut polis.

Di Parlimen pada 1 November, Cik Raeesah mengaku beliau "tidak hadir bersama mangsa di balai polis seperti yang saya ceritakan".

"Butiran itu dikongsikan oleh mangsa dalam sebuah kumpulan sokongan untuk wanita yang saya turut menjadi sebahagian daripada kumpulan itu. Saya tidak mengongsikan bahawa saya adalah sebahagian daripada kumpulan itu kerana saya kurang keberanian untuk mengaku secara terbuka bahawa saya adalah sebahagian daripada kumpulan itu," ujar Cik Raeesah.

AP itu mendedahkan beliau sendiri pernah menjadi mangsa serangan seksual ketika berusia 18 tahun dan menuntut di luar negara dan insiden itu memberi trauma kepadanya.

Para anggota jawatankuasa yang mempertimbangkan kes Cik Raeesah terdiri daripada: Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong, Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, AP Rahayu Mahzam (PAP-Jurong), AP Don Wee (PAP-Chua Chu Kang) serta AP Dennis Tan (WP-Hougang).

Encik Tong dan Cik Rahayu mengambil alih tempat Encik Shanmugam dan dan Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, yang mengundurkan diri daripada prosiding tersebut.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan