Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jawatankuasa Hak Istimewa 'berpuas hati' pemimpin WP tidak jujur, walau sudah angkat sumpah

Anggaran Waktu Membaca:
Jawatankuasa Hak Istimewa 'berpuas hati' pemimpin WP tidak jujur, walau sudah angkat sumpah

(Petikan skrin: YouTube/Gov.sg)

SINGAPURA: Jawatankuasa Hak Istimewa (COP) "berpuas hati" bahawa para pemimpin Parti Pekerja (WP) tidak bersikap jujur apabila memberi keterangan selepas mengangkat sumpah, satu perbuatan yang "mungkin disifatkan sebagai sumpah palsu". 

Dalam laporan terkini COP pada Khamis (10 Feb), jawatankuasa tersebut mendapati bahawa Cik Raeesah Khan bersalah menyalahgunakan hak istimewanya apabila berbohong di Parlimen pada 3 Ogos dan kemudian mengulangi pembohongan itu pada 4 Oktober, serta menyarankan denda sebanyak S$35,000. 

Laporan tersebut juga menyarankan agar setiausaha agung WP Pritam Singh dan naib pengerusi Faisal Manap, kedua-duanya Anggota Parlimen (AP) GRC Aljuneid, dirujuk kepada pihak pendakwa rakya untuk siasatan lebih lanjut. 

Jika ketiga-tiga pemimpin kanan WP, Encik Singh, Encik Faisal dan Cik Sylvia Lim, mendorong Cik Raeesah untuk terus berbohong pada 4 Oktober, perbuatan sedemikian "mengaibkan" dan menghina Parlimen, menurut laporan tersebut. 

Namun, jawatankuasa itu menambah bahawa isu tersebut di luar "bidang kuasa" mereka dan Parlimen harus memutuskan sama ada isu itu akan dipertimbangkan "pada peringkat sewajarnya". 

"Dengan dapatan tersebut, kami berpuas hati bahawa Encik Singh (dan sedikit sebayakm Encik Faisal dan Cik Sylvia) tidak bersikap jujur apabila mengemukakan bukti selepas mengangkat sumpah di hadapan jawatankuasa ini," menurut laporan tersebut.

"Ini boleh disifatkan sebagai sumpah palsu, satu kesalahan jenayah yang serius, yang akan disusuli beberapa kesan negatif."

Jawatankuasa berkenaan juga menyarankan agar Encik Singh dibezakan daripada Cik Sylvia dan Encik Faisal jika Parlimen mempertimbangkan untuk mengambil sebarang tindakan atau langkah terhadap mereka. 

"Mereka harus dibezakan atas sebab peranan dan kelakuan masing-masing yang berbeza." 

Berdasarkan bukti yang dikemukakan jawatankuasa itu, Encik Singh "memainkan peranan utama dalam mendorong kelakuan Cik Raeesah berhubung kait penipuan tersebut," menurut laporan berkenaan. 

Menyifatkan Encik Singh sebagai "pengatur utama" bagi keadaan yang mendorong Cik Raeesah meneruskan pembohongan tersebut di Parlimen pada 4 Oktober, laporan itu menyatakan bahawa Cik Sylvia dan Encik Faisal memainkan "peranan lebih kecil" dalam isu tersebut. 

Encik Singh "kelihatan seperti pengatur yang menyebabkan" pembohongan itu tidak diperbetulkan serta-merta selepas 8 Ogos dan mengapa Cik Raeesah meneruskan pembohongan itu pada 4 Oktober, menurut laporan tersebut lagi. 

Dalam catatan Encik Singh di Facebook selepas pendedahan laporan tersebut, beliau menyatakan bahawa beliau akan berbincang lebih mendalam lagi tentang isu tersebut di Parlimen apabila ia dikemukakan bagi perbahasan, sekitar minggu depan.

"Seandainya Parlimen mengambil saranan-saranan jawatankuasa tersebut, masih terdapat beberapa ketidakpastian," menurut Encik Singh. 

"Ini termasuk kata putus pihak pendakwa raya untuk mendakwa, tempoh sebelum isu tersebut dibicarakan, keputusan dan hukuman yang ditetapkan serta kemungkinan kedua-dua Faisal dan saya akan disingkirkan sebagai AP jika seorang daripada kami didenda S$2,000 atau lebih." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan