Skip to main content

Singapura

Jawatankuasa Hak Istimewa akan terus siasat aduan terhadap Raeesah Khan susuli peletakan jawatannya

Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen akan terus meneliti perilaku Cik Raeesah Khan, Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) yang meletak jawatan pada Selasa (30 Nov), kerana berbohong di Dewan berhubung satu kes serangan seksual.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Dec 2021 02:49PM Dikemas Kini : 01 Dec 2021 08:54PM

SINGAPURA: Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen akan terus meneliti perilaku Cik Raeesah Khan, Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) yang meletak jawatan pada Selasa (30 Nov), kerana berbohong di Dewan berhubung satu kes serangan seksual.

Dalam kenyataan medianya pada Rabu, Pejabat Setiausaha Dewan Parlimen menyatakan bahawa Jawatankuasa Hak Istimewa akan membentangkan laporannya kepada Parlimen "pada masa yang sesuai".

Cik Raeesah, yang berkhidmat di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Sengkang, meletak jawatan daripada Parti Pekerja (WP)serta jawatannya sebagai seorang Anggota Parlimen.

Menurut Pejabat Setiausaha Dewan Parlimen, Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin menerima surat peletakan jawatan Cik Raeesah pada sekitar 10.45 malam pada Selasa.

“Para Anggota Parlimen dimaklumkan mengenai peletakan jawatan Cik Raeesah pada 1 Dis 2021,” tambah pejabat itu.

Pada 1 November, Cik Raeesah mengaku di Parlimen bahawa beliau berbohong mengenai pengalaman mangsa serangan seksual yang didakwa diperlakukan secara tidak sensitif di balai polis.

Beliau juga mendakwa menemani mangsa ke balai polis sedangkan beliau tidak berada di balai polis itu sama sekali.

Beliau setakat mendengar tentang kisah yang didakwa berlaku itu melalui kumpulan sokongan wanita yang disertainya.

Cik Raeesah mendedahkan bahawa beliau tidak mahu mengatakan beliau menyertai sesi kumpulan itu kerana beliau sendiri adalah mangsa serangan seksual dan "tidak mempunyai keberanian untuk mengakui secara terbuka bahawa saya adalah sebahagian daripada (kumpulan itu)".

Ketua Dewan Indranee Rajah kemudian merujuk perilaku Cik Raeesah kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen, yang meneliti aduan berlaku pelanggaran hak istimewa Parlimen.

Jawatankuasa Hak Istimewa, yang ditubuhkan pada permulaan setiap penggal Parlimen, terdiri daripada tujuh Anggota Parlimen dan dipengerusikan oleh Encik Tan.

Jawatankuasa itu menerbitkan laporan di akhir siasatannya, yang boleh menyarankan langkah-langkah punitif terhadap mereka yang melanggar hak istimewa parlimen.

Dirujuk kepada jawatankuasa tersebut boleh membawa hukuman berat. Di bawah Akta Parlimen (Hak Istimewa, Kekebalan dan Kuasa), Dewan diberi kuasa untuk:

  • Memenjara atau menggantung khidmat Anggota Parlimen yang melanggar hak istimewa sehingga ke akhir penggal Parlimen semasa
  • Mendenda AP tersebut maksimum S$50,000
  • Menegur AP tersebut
  • Menggantung hak istimewa dan kekebalan AP berkenaan berhubung liabiliti dalam prosiding awam
Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita