Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jawatankuasa Fatwa SG terima Anugerah Imam Al-Qarafi; diiktiraf cemerlang tangani isu-isu kontemporari

Anggaran Waktu Membaca:
Jawatankuasa Fatwa SG terima Anugerah Imam Al-Qarafi; diiktiraf cemerlang tangani isu-isu kontemporari

Singapura menerima pengiktirafan Anugerah Imam Al-Qarafi kerana Cemerlang dalam Fatwa. (Gambar: MUIS/Facebook)

Diterbitkan : 17 Nov 2022 07:08PM Dikemas Kini : 17 Nov 2022 10:29PM
SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, Singapura menerima pengiktirafan Anugerah Imam Al-Qarafi kerana Cemerlang dalam Fatwa.

Singapura merupakan penerima kedua anugerah itu yang diperkenalkan pada 2019 dan masyarakat minoriti Muslim pertama untuk menerima pengiktirafan tersebut.

Anugerah disampaikan oleh Sekretariat Agung Penguat Kuasa Fatwa Seluruh Dunia (al-Amanah al-Ammah li
Duwar wa al-Hay’at al-Ifta’ fi al-Alam), yang merupakan sebuah pertubuhan di bawah Dar al-Ifta, iaitu pihak berkuasa fatwa di Mesir.

Ia bagi mengiktiraf sumbangan cemerlang MUFTI Singapura dan Jawatankuasa Fatwa, dalam menangani pandemik COVID-19 yang melanda dan isu-isu kontemporari yang lain.

Dar al-Ifta memuji usaha Jawatankuasa Fatwa dalam usahanya menyediakan huraian-huraian yang dipercayai dan praktikal bagi isu-isu dan cabaran-cabaran baru yang wujud, serta penggunaan teknologi digitalnya untuk berhubung dengan masyarakat awam.

Ini sekali gus bukan saja memelihara ketulenan tradisi Islam, bahkan juga melibatkan perbincangan isu-isu kontemporari dengan berkesan dalam pelbagai lapangan, termasuk sosiologi, ekonomi dan kesihatan.

Usaha sedemikian membolehkan masyarakat Muslim Singapura terus mengamalkan kehidupan beragama dan menangani cabaran-cabaran kontemporari dengan penuh yakin.

Dar al-Ifta juga mengiktiraf bahawa bimbingan agama dan pendirian yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa di Singapura, adalah demi menggalak perpaduan sosial dan hidup bersama secara aman dalam sebuah masyarakat majmuk.

Dalam hal itu, ia percaya bahawa masyarakat Muslim di Singapura adalah contoh yang boleh diteladani berhubung bagaimana masyarakat-masyarakat mampu wujud bersama secara aman sementara memelihara identiti dan ajaran agama.

Dalam ucapan penghargannya, MUFTI Dr Nazirudin Mohd Nasir menekankan tentang peri pentingnya kepimpinan agama dalam konteks sedia ada dan menggesa pihak berkuasa fatwa sejagat untuk meningkatkan lagi usaha dalam menyediakan huraian-huraian yang berkesan bagi cabaran-cabaran yang wujud pada masa kini.

Dr Nazirudin berkata: "Peranan fatwa adalah penting dalam membentuk sesebuah masyarakat Muslim yang cemerlang, yang mana mereka yakin diri dan mampu hidup bersama secara aman dengan orang lain, meskipun berdepan dengan cabaran-cabaran yang sukar. Semestinya, pandemik merupakan salah satu cabaran paling sukar yang kami hadapi. Fatwa-fatwa hari ini memerlukan pemahaman yang tepat mengenai konteks dan cabaran-cabaran kita, serta pendekatan yang progresif serta berfikiran ke arah masa depan."

Matlamat Anugerah Imam Al-Qarafi adalah untuk mengiktiraf sumbangan cemerlang individu-individu dan institusi-institusi berhubung isu-isu yang berkaitan dengan Perundangan Islam (fiqh), isu-isu kontemporari dan kreativiti dalam penyelidikan. Anugerah itu juga menghargai penerbitan-penerbitan cemerlang berhubung topik-topik yang berkaitan dengan aspek undang-undang dan perundangan fatwa.

Penerima pertama anugerah itu pada 2021 adalah MUFTI Baitulmakdis, Sheikh
Muhammad Hussein.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan