Skip to main content

Singapura

Jawatankuasa Fatwa perjelas penggantungan solat Jumaat, penutupan masjid dek COVID-19

Jawatankuasa Fatwa menerima dua soalan daripada Kelompok Pembangunan Masjid dan Masyarakat MUIS berikutan penularan virus korona COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Jawatankuasa Fatwa perjelas penggantungan solat Jumaat, penutupan masjid dek COVID-19

Solat Jumaat pertama Masjid Darul Ghufran sejak jalani kerja naik taraf (Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Diterbitkan : 12 Mar 2020 11:54PM Dikemas Kini : 12 Mar 2020 11:58PM

SINGAPURA: Jawatankuasa Fatwa menerima dua soalan daripada Kelompok Pembangunan Masjid dan Masyarakat MUIS berikutan penularan virus korona COVID-19:

1) Adakah pegawai masjid dibenar menghalang jemaah yang tidak sihat daripada memasuki premis masjid?
2) Bolehkah solat berjemaah dan solat Jumaat digantung buat sementara waktu serta adakah masjid dibenarkan ditutup jika keadaan mendesak langkah sedemikian dilaksanakan?

Sebagai respons, MUIS mengeluarkan satu kenyataan media pada Khamis (12 Mac) di mana Jawatankuasa Fatwa menerangkan keputusannya berhubung keperluan untuk menutup masjid-masjid tatkala keadaan darurat.

Awal dari itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengumumkan kesemua 70 masjid di sini ditutup sementara mulai 13 Mac selama lima hari sehingga 17 Mac. Ia bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman dilakukan bagi mengekang penularan virus korona COVID-19. Langkah itu diambil setelah dua daripada 82 warga Singapura, yang menghadiri majlis tabligh di Malaysia baru-baru ini, disahkan dijangkiti COVID-19.

JAWATANKUASA FATWA: INI DIHARUSKAN DALAM ISLAM

Penutupan sementara kesemua masjid selama lima hari bermula esok bermakna tiada solat Jumaat dan berjemaah selama tempoh itu. Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir menjelaska:n "Jawatankuasa Fatwa telah memutuskanbahawa ini diharuskan dalam Islam berdasarkan banyak contoh-contoh hadith kehidupan Nabi Muhammad s.a.w dan juga pandangan para fuqaha kerana dalam Islam di antara matlamat dan tujuan syarak itu sendiri adalah memelihara nyawa dan mengelakkan segala bentuk kemudaratan dari berlaku."

Dalam keadaan sedemikian, Mufti berkata umat Islam boleh menjalankan solat fardhu Zuhur seperti biasa.

"Kita tahu penularan virus ini adalah sesuatu yang sangat serius, sangat kritikal dan jika tidak ditangani dengan baik, sekiranya pengamalan agama menjadi salah satu halangan, untuk memastikan bahawa masyarakat selamat, maka kita perlu melakukan sesuatu, mengambil langkah yang perlu, menjaga kemaslahatan tersebut," ujar beliau.

Jawatankuasa Fatwa menegaskan bahawa kesejahteraan umum para jemaah masjid mesti dipelihara.

Jawatankuasa Fatwa juga menasihati masyarakat Islam Singapura supaya menguatkan iman mereka pada masa-masa sukar ini dan lebih banyak memanjatkan doa selain mengambil setiap langkah pencegahan yang perlu bagi membendung COVID-19.

Kenyataan itu menambah bahawa masyarakat Islam mesti kekal bersatu dengan semua rakyat Singapura dan mengambil bahagian dalam menjalankan tanggungjawab bersama demi menjaga kebajikan seluruh negara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita