Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jawatankuasa Fatwa MUIS keluarkan panduan terhadap 4 ciri biasa ajaran sesat

Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini (8 Dis) mengeluarkan panduan terhadap empat ciri biasa ajaran sesat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Dec 2021 05:17PM Dikemas Kini : 09 Dec 2021 12:17AM

SINGAPURA: Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini (8 Dis) mengeluarkan panduan terhadap empat ciri biasa ajaran sesat.

Masyarakat Melayu/Islam Singapura dinasihati untuk terus berwaspada terhadap sebarang ajaran agama yang diamalkan secara rahsia ataupun melalui sumber yang tidak pasti.

Dalam kenyataannya, jawatankuasa tersebut mengenal pasti empat ciri biasa yang ada dalam ajaran sesat.

Pertama, guru atau pemimpin kumpulan itu mendakwa dirinya menerima wahyu atau ilham melalui proses menurun.

Dakwaan seumpama itu bercanggah dengan prinsip Shariah kerana tiada sesiapa yang boleh mendakwa dia menerima wahyu daripada Allah melainkan Nabi Muhammad. Maka itu, tegas Jawatankuasa Fatwa, semua dakwaan menyatakan telah menerima wahyu selepas Nabi Muhammad adalah palsu sama sekali.

Kedua adalah mengubah hukum-hakam agama seperti menambah amalan agama tanpa sebab yang wajar, merubah terus amalan agama seperti nikah batin dan tidak perlu menunaikan solat lima waktu.

Jawatankuasa Fatwa menekankan perbuatan menggugurkan atau menggantikan amalan-amalan agama yang diwajibkan seperti solat, puasa, haji dan yang lain-lain tanpa alasan yang sah - seperti pengecualian sah bagi mereka yang tidak sihat - adalah tanda penyelewengan.

Ketiga adalah kepercayaan terhadap makna tersirat hakikat huruf yang sekali gus menyeleweng daripada makna dan huruf sebenar dalam Quran.

Mentafsir Quran memerlukan penguasaan bahasa Arab yang kuat serta mengikuti perkaedahan tafsir yang betul. Maka, menurut Jawatankuasa Fatwa, sebarang kepercayaan di sebalik maksud tersembunyi dalam ayat atau huruf di dalam Quran adalah salah, atau fasid, dan tidak boleh diterima dalam Islam.

Akhir sekali, amalan ruqyah yang sangsi dan bercanggah dengan prinsip-prinsip agama yang ditetapkan para ulama serta pakar.

Melakukan ruyqah dengan membaca Quran dan zikir yang betul dengan mengikuti Ṭibb Nabawī (penyembuhan kenabian) adalah sesuatu yang disokong oleh agama, menurut kenyataan Jawatankuasa Fatwa itu.

Amalan seumpama itu dikenali sebagai ruqyah shariyyah. Ia berdasarkan prinsip Islam dan terkenal serta sudahpun diamalkan oleh para ulama dan pakar yang berwibawa, terang kenyataan tersebut.

Jawatankuasa Fatwa menegaskan amalan ruqyah tidak boleh bertentangan dengan pegangan Islam dan mesti mengelakkan segala apa yang dilarang dalam agama. Ini termasuk:

  • Wajib menjaga batas interaksi dengan jantina berlainan, yang bukan mahram, ketika melakukan rawatan. Tindakan sedemikian dilarang dalam ajaran Islam lantas, tidak boleh dibenarkan dalam ruqyah
  • Bahan-bahan yang dilarang serta yang dianggap sebagai najis atau kotor, seperti darah, tidak seharusnya digunakan sebagai sebahagian daripada rawatan
  • Mantera atau jampi tidak seharusnya dibacakan

Kenyataan itu menambah bahawa panduan tersebut dikeluarkan menyusuli soalan yang diajukan Pejabat Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) berhubung satu laporan media tempatan mengenai kes mengaku nabi dan nikah batin.

Lantaran itu, Jawatankuasa Fatwa menekankan peri pentingnya masyarakat Melayu/Islam untuk mempelajari ilmu agama dengan para asatizah bertauliah di bawah ARS.

Masyarakat juga digalak belajar daripada pelbagai asatizah bertauliah yang ada dan bukan hanya menjadikan satu saja sebagai sumber rujukan.

Selain itu, jawatankuasa tersebut menyatakan masyarakat juga perlu mendapatkan pandangan para asatizah dan ulama bertauliah apabila berdepan dengan pemikiran seseorang individu yang boleh dianggap bermasalah.

Jawatankuasa Fatwa diberi kuasa, dan mengikut proses yang ketat, untuk menilai mana-mana bentuk ajaram Islam seperti dinyatakan di dalam Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA). Proses ini melibatkan pemeriksaan ajaran oleh sesebuah kumpulan atau individu tertentu, mendapatkan bukti dan mengenal pasti ciri-ciri ajaran sesat yang disampaikan oleh individu mahupun kumpulan berkenaan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan