Skip to main content

Singapura

Jawatankuasa Daya Ekonomi baharu dibentuk, teliti sokongan lebih baik untuk pekerja, usahawan dan belia

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Apr 2026 08:14PM Dikemas Kini : 26 Apr 2026 03:04PM

SINGAPURA: Satu jawatankuasa baharu - Jawatankuasa Daya Ekonomi akan ditubuhkan bagi mengenal pasti cara-cara untuk lebih menyokong golongan pekerja, usahawan dan belia tempatan dari segi prospek pertumbuhan pekerjaan, penggunaan AI dan perkembangan perniagaan.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim mengumumkan demikian semasa ucapannya di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri di Parkroyal Collection Marina Bay pada Jumaat (10 Apr).

Jawatankuasa tersebut akan diterajui oleh Anggota Parlimen GRC Jalan Besar dan AP Buruh Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang juga Pengarah Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC, serta AP GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat, yang juga menyandang jawatan Naib Presiden Eksekutif di Maybank. 

Dr Faishal berkata: "Jawatankuasa ini akan terdiri daripada pemimpin korporat dan pakar industri daripada pelbagai segmen masyarakat kita, yang akan mengkaji saranan daripada Semakan Strategi Ekonomi (ESR), memahami implikasinya terhadap masyarakat kita, serta mengenal pasti cara-cara praktikal untuk menyokong dengan lebih baik para pekerja, profesional, usahawan dan golongan belia."

Menurut beliau, strategi-strategi yang dikemukakan oleh jawatankuasa itu kemudian akan dilaksanakan bersama rakan-rakan kerjasama di bawah gerakan M3+ serta rangkaian organisasi Melayu/Islam dan India Islam yang lebih luas.

"Ini penting kerana kita mahu masyarakat kita memanfaatkan ilmu pengetahuan, membangunkan keupayaan, merebut peluang, dan menyumbang secara bermakna untuk berjaya dalam ekonomi yang sedang berubah. Dengan cara ini, masyarakat kita juga dapat menyumbang kepada daya tahan ekonomi kita secara keseluruhan di tengah-tengah ketidaktentuan global," ujar Dr Faishal di hadapan lebih 500 hadirin di majlis tersebut.

JAWATANKUASA DAYA EKONOMI CARI CARA JAMIN PEKERJAAN BAIK, PROSPEK PERTUMBUHAN

Penubuhan jawatankuasa itu seiring dengan Semakan Strategi Ekonomi (ESR) di peringkat nasional di mana pemerintah bekerjasama dengan perniagaan, para pekerja serta kesatuan-kesatuan pekerja untuk memastikan pertumbuhan ekonomi Singapura.

Ia juga bagi mewujudkan pekerjaan yang baik untuk rakyat Singapura dalam dunia yang sedang berubah.

Jawatankuasa ESR akan membentangkan semua saranan-saranannya pada pertengahan tahun ini bagi menangani cabaran-cabaran yang dihadapi ekonomi Singapura.

Menurut Dr Faishal, masyarakat Melayu/Islam tempatan juga berkongsi kebimbangan dan aspirasi yang sama seperti masyarakat tempatan lain.

Dr Faishal berkata: "Ramai yang bimbang tentang bagaimana kita boleh menggunakan dan mendapat manfaat daripada AI, serta bagaimana kita boleh menyesuaikan diri dalam landskap pekerjaan yang lebih kompetitif. Pada masa yang sama, syarikat-syarikat kita berminat untuk meneroka peluang antarabangsa, termasuk di rantau ini dan Timur Tengah."

"Kita juga mempunyai usahawan yang dinamik dan inovatif, serta pekerja yang berhasrat untuk meningkatkan kemahiran diri, meningkatkan produktiviti, membangunkan keupayaan baharu, dan beralih kepada peranan yang bernilai tinggi," tambah beliau lagi.

Lantaran itu, Dr Faishal berkata bahawa Jawatankuasa Daya Ekonomi perlu mencari cara-cara untuk menjamin pekerjaan yang baik dan prospek pertumbuhan untuk masyarakat Melayu/Islam tempatan.

"Ini boleh merangkumi usaha membantu pekerja kita memperoleh kemahiran baharu untuk bertindak balas dan menyesuaikan diri dengan perubahan sepanjang kerjaya mereka, menyokong perniagaan Melayu/Islam untuk memanfaatkan kuasa transformasi AI," ujar Dr Faishal.

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (SME) tempatan dapat berkembang ke luar negara untuk meluaskan kerjasama.


TIGA TUJUAN UTAMA JAWATANKUASA DAYA EKONOMI

Di acara yang sama, Encik Saktiandi yang ditemui mendedahkan tiga matlamat utama jawatankuasa itu dalam masa terdekat.

"Pertama, mengenalpasti sektor-sektor utama dan bidang pertumbuhan baharu yang mempunyai potensi masa depan yang kukuh. Kedua, memberikan sokongan kepada pelbagai segmen masyarakat, termasuk golongan belia dan siswazah baharu, pekerja pertengahan kerjaya, dan para usahawan."

"Akhir sekali, membangunkan haluan yang boleh dilaksanakan, terutamanya dalam bidang seperti kemahiran, pekerjaan, dan pembangunan perusahaan, selaras dengan keutamaan-keutamaan ESR. Ini amat penting sekali," tambah Encik Saktiandi.

Encik Saktiandi turut menegaskan bahawa jawatankuasa itu ditubuhkan pada detik yang amat penting.

"Perkembangan global dan teknologi mempercepatkan perubahan dalam ekonomi, dan peluang-peluang baharu akan menjadi milik mereka yang bersedia. Jadi oleh itu, amat penting untuk masyarakat kita kekal bersedia, mudah menyesuaikan diri, dan yakin dalam merebut peluang-peluang ini," ujar beliau.

Dalam satu catatan di Facebook Dr Wan Rizal, beliau mengatakan bahawa jawatankuasa itu terus komited untuk membawa hasil yang bermakna untuk membantu masyarakat Melayu/Islam kekal berdaya bingkas.

"Sebagai AP Buruh dan Peneraju Bersama Bidang Tumpuan ke-4 M³, saya sering mendengar tentang aspirasi dan cabaran yang dihadapi para pekerja dan pencari kerja Melayu/Islam. Saya bekerjasama rapat dengan para majikan dan rakan masyarakat untuk menyokong mereka," kata beliau.

Menurut Dr Wan Rizal, jawatankuasa itu akan memperkukuhkan usaha dengan cara yang lebih selaras dan berterusan, supaya anggota masyarakat Melayu/Islam mendapat sokongan yang lebih baik untuk menghadapi cabaran dan merebut peluang.

Encik Saktiandi juga berharap dapat menyumbangkan pandangan serta pengalamannya dalam sektor kewangan dan perbankan.

Beliau berkata: "Jadi saya berharap agar kita dapat mengenalpasti dan merangka sektor-sektor utama yang relevan dengan masyarakat kita, termasuk bidang-bidang pertumbuhan, serta meneliti bagaimana kita boleh memperlengkap masyarakat kita dengan lebih baik untuk merebut peluang-peluang ini melalui pengukuhan hubungan antara pendidikan dan industri."

Dengan penubuhan jawatankuasa itu, Encik Saktiandi berharap agar masyarakat Melayu/Islam setempat dapat terus maju dengan keyakinan dan menyumbang secara bermakna kepada ekonomi Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita