Skip to main content

Singapura

Jawatankuasa baru bagi persiap "Asatizah Masa Depan" ditubuhkan

Sebuah jawatankuasa baru bagi mencipta visi "Asatizah Masa Depan" sudahpun ditubuhkan, dalam usaha memperkukuh pembangunan golongan asatizah Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Mar 2019 12:35PM Dikemas Kini : 08 Mar 2019 09:11PM

SINGAPURA: Sebuah jawatankuasa baru bagi mencipta visi "Asatizah Masa Depan" sudahpun ditubuhkan, dalam usaha memperkukuh pembangunan golongan asatizah Singapura.

Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Committee on Future Asatizah atau COFA) itu dirintis oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

"COFA ingin mengajak masyarakat untuk mencipta bersama visi "Asatizah Masa Depan" serta kemahiran dan kecekapan yang perlu dimiliki asatizah untuk membimbing masyarakat Melayu/Islam di masa hadapan," kata Encik Masagos Zulkifli.

COFA juga mahu melahirkan golongan asatizah terlatih demi memenuhi keperluan masyarakat Islam Singapura yang kian berubah-ubah dan memastikan bahawa mereka boleh meraih pekerjaan yang baik dan sektor agama atau lain-lain. Ini selain daripada mempersiap asatizah untuk menjadi golongan pelapis pemimpin agama.

Encik Masagos yang merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, mengumumkan tentang penubuhan Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) itu semasa berucap di perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) mengenai Ehwal Masyarakat Islam, di Parlimen hari ini (8 Mac).

Pelan pembangunan asatizah yang lebih menyeluruh itu akan dikongsikan pada akhir tahun ini.

Jawatankuasa 15 anggota itu dedah Encik Masagos, akan dipengerusikan oleh Menteri Negara Kanan Ehwal Luar (MFA), Dr Mohamad Maliki Osman itu, terdiri daripada pemimpin-pemimpin agama dan masyarakat seperti Mufti Negara Dr Mohd Fatris Bakaram, serta para karyawan dengan kepakaran-kepakaran yang relevan. (Senarai anggota COFA dilampirkan di hujung artikel ini).

COFA DAPATKAN MAKLUM BALAS MASYARAKAT SELAMA 6-8 BULAN

Memberikan perincian lanjut mengenai COFA, Dr Maliki dalam ucapannya di Parlimen hari ini berkata, masyarakat Singapura harus menyesuaikan diri dengan peredaran masa, dalam kehidupan profesional serta sosio-agama setempat dan ini termasuk juga golongan asatizah.

"Inilah sebabnya kami menubuhkan COFA - demi memahami dengan lebih baik keperluan masyarakat kita yang berubah, menghadapi trend-trend yang akan membentuk masyarakat kita kelak dan mendengar maklum balas masyarakat untuk mempersiapkan asatizah masa depan," menurut Dr Maliki.

Dalam tempoh enam hingga lapan bulan akan datang, COFA akan mendampingi pihak-pihak berkepentingan, iaitu para asatizah, lulusan universiti dan mahasiswa di institusi-institusi pengajian tinggi Islam, para pelajar madrasah serta ibu bapa mereka, para majikan dan juga masyarakat umum.

Ini bagi mendapatkan maklum balas tentang bagaimana untuk membangunkan sebuah tenaga kerja asatizah yang sentiasa bersedia bagi masa hadapan.

Semua dapatan jawatankuasa itu nanti akan diteliti dan dijadikan garis panduan bagi melakar dasar-dasar dan program pembangunan tenaga kerja asatizah bagi mewujudkan golongan asatizah yang boleh memenuhi keperluan masyarakat Islam Singapura yang sentiasa berubah-ubah serta menyumbang kepada masyarakat lain amnya.

COFA PENTING BAGI JAYAKAN VISI KOLEJ ISLAM SINGAPURA

Menurut Dr Maliki, penubuhan COFA juga satu langkah penting dalam menjayakan visi kolej Islam di Singapura.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen, Dr Fatimah Lateef dan Dr Intan Azura Mokhtar di Parlimen.

"Melalui siri perbincangan ini, MUIS boleh melakar pelan pembangunan asatizah secara holistik, dari madrasah ke universiti, dan juga laluan kerjaya mereka," ujar Dr Maliki.

Beliau menambah, MUIS juga boleh mengenal pasti kemahiran yang asatizah perlukan untuk berkhidmat kepada masyarakat secara berkesan dan melakar pelbagai laluan kerjaya di dalam dan luar sektor agama.

"Hari ini, lebih 4,000 asatizah memainkan peranan penting dalam membimbing masyarakat Islam Singapura. Kami mempunyai visi kukuh bagi sektor agama yang membuka lebih banyak peluang kepada asatizah untuk memenuhi keperluan masyarakat kita serta masyarakat lebih luas.

"Memandangkan persekitaran yang kompleks dan kian berubah, asatizah kita harus kekal relevan. Saya yakin usaha COFA akan membimbing MUIS sedang ia memulakan pelbagai usaha penting untuk mengukuhkan sektor agama kita," hujah Dr Maliki lagi.

SOKONGAN LEBIH BAIK BAGI PELAJAR PENGAJIAN ISLAM DALAM & LUAR NEGARA

Dalam pada itu Encik Masagos turut mengumumkan bahawa MUIS akan melancarkan program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) bagi semua lulusan jurusan ukhrawi mulai tahun 2020.

Program itu akan menggantikan program Sijil Pengajian Islam Mengikut Konteks (ICON) yang sedia ada sekarang.

Sejak 2017, lulusan jurusan agama Islam dari luar mahupun dalam negara perlu menjalani program ICON selama empat minggu sebelum diterima masuk ke dalam Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Bagaimanapun di bawah PCICS, para lulusan agama perlu mengikuti program selama setahun sebelum diiktiraf ke dalam ARS.

Para peserta PCICS akan mendapat pemahaman yang lebih mendalam tentang konteks geopolitik dan sosioagama, cara-cara sesuai bagi mengamalkan Islam dalam masyarakat majmuk Singapura serta membekalkan asatizah dengan kemahiran dan ilmu yang relevan untuk alam pekerjaan.

Ini termasuk bidang kerja sosial, kaunseling, kemahiran digital dan keusahawanan yang sekaligus bakal membuka lebih banyak peluang kepada mereka.

Semua itu bagi memberi lebih banyak tumpuan agar para asatizah dapat menimba kemahiran-kemahiran relevan bagi alam pekerjaan sekaligus menyumbang kepada pembangunan kolej Islam.

LAMPIRAN SENARAI ANGGOTA COFA

Berikut ini adalah senarai penuh anggota COFA:

1) Menteri Negara Kanan Ehwal Luar (MFA), Dr Mohamad Maliki Osman

2) Mufti Negara, Dr Mohamed Fatris Bakaram

3) Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) dan anggota Majlis MUIS, Ustaz Ali Mohamed

4) Naib Pengerusi ARB dan anggota Majlis MUIS, Ustaz Pasuni Maulan

5) Anggota Lembaga Rayuan Mahkamah Syariah; anggota Lembaga Pengarah Warees Halal Limited dan Jawatankuasa Syariah Maybank Islamic Berhad, Ustaz Mohd Kamal Mokhtar

6) Penolong Naib Pengetua Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Ustaz Abdul Mukhsein Md Shariff

7) Anggota Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam (PERGAS) dan anggota Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustazah Kalthom Isa

8) CEO Institut Safinah, Ustaz Tarmizi Wahid

9) Presiden Liga Muslim Kadayanallur Singapura, Naseer Ghani

10) Naib Dekan Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Suzaina Kadir

11) Ketua Program Kerja Sosial Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Seng Boon Kheng

12) Penolong Profesor Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) dan Naib Pengerusi RRG, Dr Mohamed Bin Ali

13) Ketua Futuri (Futurist), Dr Gog Soon Joo

14) Pengarah Kanan Pembangunan Keagamaan dan Dasar MUIS, Dr Nazirudin Nasir

15) Timbalan Pengarah Pembangunan Keupayaan dan Pendampingan Silang Agama; Naib Dekan Akademi MUIS, Dr Mohammad Hannan Hassan 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita