Jawatankuasa baharu teliti dua bidang utama perkukuh perlindungan kanak-kanak, belia di institusi agama, umum barisan anggota
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad (kiri) bersama para pengerusi bersama jawatankuasa baharu yang dipengerusikan bersama oleh Ustaz Fathurrahman Dawoed (tengah) dan Profesor Madya Dr Razwana Begum (kanan). (Gambar: BERITA Mediacorp/Nurhelmy Hakim)
Demikian dua bidang utama yang akan diberi tumpuan sebuah jawatankuasa baharu dalam usaha memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan golongan muda dalam persekitaran keagamaan.
Perkara itu diumumkan oleh para pengerusi bersama jawatankuasa itu, Ustaz Fathurrahman Dawoed dan Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim dalam satu sesi media di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Rabu petang (30 Sep).
Menurut kedua-dua pengerusi bersama itu, jawatankuasa itu akan meneliti tadbir urus dan rangka kerja perlindungan di masjid, madrasah serta Pusat dan Penyedia Pendidikan Islam (IECP).
Antara perkara yang akan diteliti ialah proses saringan dan pemantauan individu yang bekerja atau menjadi sukarelawan bersama kanak-kanak, batas profesional serta prosedur bagi melaporkan dan menangani insiden.
Ia turut merangkumi saluran untuk menyuarakan kebimbangan, termasuk mekanisme pemberi maklumat, serta usaha meningkatkan keupayaan pemimpin, kakitangan dan sukarelawan.
Bidang kedua pula akan meneliti rangka kerja bagi penyampaian pendidikan agama supaya masyarakat, khususnya kanak-kanak dan golongan muda, dapat memperoleh bimbingan agama yang berwibawa dengan selamat.
Ini termasuk pendidikan agama dalam suasana formal dan tidak formal, kod tatalaku dan rangka kerja disiplin bagi guru agama serta risiko baharu seperti pengaruh agama dalam talian dan interaksi digital melibatkan kanak-kanak.
Penubuhan jawatankuasa itu diumumkan oleh Pemangku Menteri Bertanggunjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamed di parlimen pada awal bulan ini susulan kes dua kanak-kanak menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang individu yang menggelarkan dirinya sebagai “pempengaruh agama”.
Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, jawatankuasa tersebut akan menjalankan dan membuat penilaian, serta mendapatkan maklum balas dan berbincang dengan pelbagai lembaga masjid, anggota dan badan-badan masyarakat.
Dr Razwana, yang juga Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) berkata: "Apa yang ingin kami teliti adalah, pertama, amalan sedia ada dan bagaimana ia boleh diperkukuh. Kedua, bagaimana kita boleh melaksanakan langkah perlindungan yang mengambil kira sensitiviti budaya dan pada masa yang sama sesuai dalam konteks institusi agama."
Ustaz Fathurrahman, yang juga Pengerusi AMP Singapura pula menambah bahawa langkah yang akan diambil jawatankuasa itu memerlukan sifat muhasabah, terutama sekali kerana ia melibatkan keterbukaan institusi-institusi agama.
Beliau berkata: "Langkah ini memerlukan muhasabah, kita mesti bersedia untuk menilai apa yang berjalan dengan baik, tetapi pada masa sama, ada perkara yang perlu diubah, dan ditambahbaikkan. Perlindungan ini tidak seharusnya menjadikan institusi agama menjadi kurang terbuka, kurang mesra untuk para jemaah. Sebaliknya, ia seharusnya memperkukuh hubungan antara institusi dan jemaah, meningkatkan kepercayaan masyarakat, dan untuk ibu bapa rasa selesa menghantar anak-anak mereka ke institusi agama."
LANGKAH PERLINDUNGAN PERLU SESUAI DENGAN KONTEKS AGAMA
Ustaz Fathurrahman juga berkata jawatankuasa itu akan meneliti amalan baik daripada bidang lain yang boleh diterapkan dalam institusi agama.
Namun, menurutnya, amalan tersebut tidak boleh dilaksanakan secara langsung tanpa mengambil kira budaya, proses serta konteks sesebuah institusi.
Beliau berkata: "Kita mesti memahami budaya, apakah proses institusi agama kita, dan pada masa sama, terapkan dengan penyesuaian untuk institusi agama.”Jawatankuasa boleh memberikan saranan umum dan [institusi] membuat penyesuaian masing-masing," tambahnya.
Dr Razwana turut menekankan bahawa meskipun prinsip asas perlindungan kanak-kanak bersifat sejagat, cara ia dilaksanakan dan disampaikan kepada masyarakat perlu mengambil kira konteks setempat.
Beliau berkata: “Apabila kita melihat perlindungan atau perlindungan kanak-kanak, ia bersifat sejagat. Perlindungan kanak-kanak adalah sama secara menyeluruh. Cuma bagaimana kita menyampaikan mesej itu dan bagaimana kita memastikan masyarakat kita dapat menyesuaikan diri dan memahaminya, saya rasa di situlah unsur kepekaan budaya memainkan peranan,” tambahnya.
Ustaz Fathurrahman dan Dr Razwana bersama para anggota jawatankuasa itu akan membawa bersama mereka pengalaman dalam bidang karyawan dan masyarakat merentasi keselamatan dan kebajikan kanak-kanak, perundangan, serta pendidikan Islam.
Pengalaman yang merentasi pelbagai bidang itu, menurut MUIS akan membolehkan jawatankuasa itu untuk mempertimbangkan langkah keselamatan serta melakarkan protokol-protokol respons yang tepat pada masanya sekiranya sesuatu insiden berlaku.
Senarai anggota jawatankuasa:
1) Ustaz Fathurrahman Dawoed (pengerusi bersama); Pengerusi AMP Singapura
2) Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim (pengerusi bersama); Presiden PPIS
3) Ustazah Dr Rohana Ithnin; Pensyarah Bebas & Anggota Jawatankuasa Fatwa MUIS
4) Ustaz RIdhwan Mohd Basor; Ketua Perunding DigitalWell.ai
5) Suree Rohan; Ketua Audit dan Cukai di Rohan Mah & Partners LLP
6) AC Masagoes Idris Hussain; Komander Komand Keselamatan Pengangkutan Awam, SPF
7) Ravina Said Abdul Rahman; Timbalan Pengarah Kanan MSF
8) Quah Saw Han; Ketua Pakar Psikologi Klinikal, Hab Psikologi Masyarakat
9) Krishnan Aravinthan; Pengarah Zon MOE
Berkenaan para anggota jawatankuasa tersebut, Ustaz Fathurrahman berkata: "Ada amalan baik di luar sana yang boleh kita terapkan dalam institusi agama. Tetapi bagaimana kita mahu menerapkannya, bagaimana kita mahu menyesuaikannya dengan konteks institusi agama, kita memerlukan mereka yang berpengalaman dan memahami keadaan di lapangan untuk memberi pandangan. Di sinilah mereka daripada pelbagai latar belakang, bukan sahaja Muslim tetapi juga bukan Muslim, saya rasa boleh menyumbang."
JAWATANKUASA DIBERI RUANG JALANKAN PENELITIAN SECARA BEBAS: ZAQY
Bercakap kepada media pada Rabu (30 Sep), Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamed berkata jawatankuasa itu akan diberi ruang untuk menjalankan penelitian secara bebas, termasuk mendampingi pihak-pihak berkepentingan bagi memahami keadaan di lapangan.
"Dalam beberapa bulan akan datang, mereka akan menjalankan wawancara, membuat semakan, mendapatkan maklum balas dan berbincang dengan lembaga masjid, anggota jawatankuasa, pertubuhan serta institusi untuk lebih memahami cabaran di lapangan," kata Encik Zaqy.
Jawatankuasa itu juga akan mendapatkan pandangan kanak-kanak, golongan muda dan ibu bapa bagi membantu membentuk saranannya.
Ia dijangka mengemukakan saranan kepada Encik Zaqy sekitar hujung tahun ini, dengan hasil penelitian dan saranannya kemudian dikongsi bersama masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.