Jawatankuasa bagi membangunkan Jalur Budaya Geylang Serai akan ditubuhkan: Dr Maliki
Masyarakat Melayu diajak bersama-sama menjayakan Wisma Geylang Serai (WGS) sebagai nadi masyarakat itu dan wadah untuk berkongsi budaya Melayu dengan masyarakat lain.
SINGAPURA: Masyarakat Melayu diajak bersama-sama menjayakan Wisma Geylang Serai (WGS) sebagai nadi masyarakat itu dan wadah untuk berkongsi budaya Melayu dengan masyarakat lain.
Demikian seruan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohd Maliki Osman, yang juga peneraju projek WGS.
Beliau berkongsi rancangan seterusnya bagi WGS setelah perasmiannya semalam (26 Jan).
"Untuk WGS berjaya, kita perlu sokongan masyarakat. Saya harap masyarakat akan datang beramai-ramai mengambil bahagian dalam apa jua kegiatan yang kita lakukan dan bekerjasama dengan kami untuk menganjurkan kegiatan-kegiatan yang dapat memenuhi citarasa masyarakat," kata Dr Maliki.
"Kita rasa apa yang penting adalah anggota masyarakat kita merasakan bahawa Wisma Geylang Serai adalah milik mereka bersama."
Kerencaman penduduk dan pengunjung ke kawasan Geylang Serai juga diharapkan dapat dimanfaatkan dan memberi peluang kepada WGS mempersembahkan serta berkongsi budaya Melayu dengan masyarakat lain.
"Penting bagi masyarakat kita untuk memahami tanggungjawab mendekati masyarakat bukan Islam juga kerana WGS adalah wadah untuk kita menunjukkan warisan budaya. Tetapi siapa yang harus melihat warisan dan budaya ini? Bukan sahaja masyarakat Melayu kita, tetapi masyarakat bukan Melayu kerana kita ingin memastikan bahawa masyarakat bukan Melayu memahami bagaimana kita mendalami warisan kita sendiri. Warisan ini adalah warisan Singapura juga," tambah beliau.
Dalam mengorak langkah ke arah itu, beberapa jawatankuasa akan ditubuhkan bagi membangunkan Jalur Budaya Geylang Serai di sekitar WGS.
Menurut Dr Maliki mereka terdiri daripada wakil-wakil masyarakat dan agensi pemerintah yang akan mengadakan sesi-sesi perbincangan bagi mendapatkan maklum balas dari semua lapisan masyarakat.
Jalur Budaya Geylang Serai akan meliputi kawasan dari Tanjong Katong Complex, sehingga ke Kelab Masyarakat Kampong Ubi bagi memaparkan ciri-ciri budaya dan warisan kawasan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.