Skip to main content

Singapura

Jawatankuasa antara kementerian pengubahan wang haram teroka cara lebih baik kesan, cegah transaksi mencurigakan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Oct 2023 08:16PM Dikemas Kini : 03 Oct 2023 09:20PM
SINGAPURA: Jawatankuasa Antara Kementerian yang ditubuhkan untuk memperketatkan peraturan antipengubahan wang haram di Singapura, akan meneroka cara-cara lebih baik untuk mengesan dan mencegah transaksi yang mencurigakan.
Jawatankuasa tersebut akan menyerahkan saranan-saranannya pada tahun depan.

Jawatankuasa pimpinan Menteri Kedua Kewangan Indranee Rajah itu akan turut dianggotai pegawai dari bank pusat, serta
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kementerian Ehwal dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Undang-Undang (MinLaw).

"Semakan itu akan memberi tumpuan kepada empat bidang utama. Pertama, bagaimana kami boleh mencegah dengan lebih baik lagi struktur korporat daripada disalah guna dalang pengubahan wang haram," kata Cik Indranee.

"Kedua, bagaimana institusi kewangan boleh meningkatkan kawalannya dan bekerjasama dengan lebih berkesan antara satu sama lain dan dengan pihak berkuasa untuk melindungi serta melaporkan urus niaga yang diragui.

"Ketiga bagaimana pemain lain dalam sistem ini seperti penyedia khidmat korporat, ejen hartanah dan peniaga batu permata dan logam berharga boleh lebih berwaspada terhadap risiko pengubahan wang haram.

"Dan keempat, bagaimana kami boleh menyepadukan dan mengukuhkan pemantauan dan keupayaan mengesan di seluruh agensi pemerintah bagi mengesan kegiatan-kegiatan yang diragukan.

"Jika kelemahan dikesan, kami akan mengetatkan peraturan dan penguatkuasaan bagi mencegah dieksploitasi penjenayah," tambahnya.

Bagi kawasan perumahan mewah seperti Sentosa Cove, warga asing perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa sebelum dibenar membeli sebarang hartanah kediaman.

Sebelum ini, para pemaju, agensi hartanah dan wakil mereka merupakan benteng pertama.

Mereka menyemak identiti pelanggan dan sumber kekayaan mereka misalnya untuk menilai risiko.

Sekiranya mereka mengesyaki ada kelakuan berunsur jenayah, Laporan Urus Niaga Mencurigakan (STR) harus difailkan.

"Penguatkuasaan dijalankan oleh Majlis Agensi Hartanah (CEA) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), pengawal selia sektor kami yang bekerja keras untuk memberi panduan kepada kakitangan kami dalam tanggungjawab mereka," kata Cik Indranee.

"Siasatan sedang dijalankan terhadap agensi-agensi dan ejen hartanah yang menjadi orang tengah urus niaga hartanah terbabit dalam siasatan pengubahan wang haram. Kami akan menyiasat sepenuhnya insiden berkenaan dan sekiranya sebarang pelanggaran dikesan, (kami) akan mengambil tindakan kawal selia sewajarnya," tambahnya.
Sumber : CNA/NY/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita