Skip to main content

Singapura

Jawatankuasa 17 ahli dibentuk, selaras pelaksanaan kenderaan tanpa pemandu di SG

Sebuah jawatankuasa pandu yang terdiri daripada 17 anggota dan dipengerusikan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow sudah ditubuhkan untuk menyelaras pelaksanaan kenderaan tanpa pemandu (AV) secara bertahap-tahap di Singapura, menurut pengumuman Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Khamis (31 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Jawatankuasa 17 ahli dibentuk, selaras pelaksanaan kenderaan tanpa pemandu di SG

Sebuah bas tanpa pemandu yang dibangunkan oleh ST Engineering. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

SINGAPURA: Sebuah jawatankuasa pandu yang terdiri daripada 17 anggota dan dipengerusikan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow sudah ditubuhkan untuk menyelaras pelaksanaan kenderaan tanpa pemandu (AV) secara bertahap-tahap di Singapura, menurut pengumuman Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Khamis (31 Jul).

Jawatankuasa itu merangkumi para wakil industri pengangkutan daripada syarikat seperti ComfortDelGro dan Grab, ahli akademik dalam bidang yang berkaitan dengan pengangkutan, seorang wakil kesatuan, serta pegawai kanan daripada beberapa kementerian.

MOT menyatakan bahawa jawatankuasa berkenaan akan "mengambil pendekatan menyeluruh yang melibatkan seluruh masyarakat dalam membentuk masa depan AV Singapura" dengan matlamat untuk memastikan AV dapat disepadukan dengan selamat ke dalam sistem pengangkutan darat Singapura, mencipta peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan keterhubungan harian bagi para penduduk.

Untuk mencapai matlamat tersebut, jawatankuasa itu akan memantau kerja-kerja dalam empat bidang utama.

Pertama, pelaksanaan AV dalam jangka terdekat dengan mengambil kira maklum balas daripada penduduk.

Kedua, aspek peraturan, kebertanggungjawaban dan penguatkuasaan, bagi memastikan keselamatan dan kebertanggungjawaban dalam sektor AV.

Ketiga, pembangunan industri dan pekerjaan, dengan meningkatkan keupayaan tempatan dalam teknologi AV, mencipta pekerjaan baharu serta memastikan para pekerja "bergerak seiring" sektor pengangkutan negara yang berubah dengan kehadiran AV.

Keempat, teknologi dan keselamatan, bagi memastikan sektor AV mempunyai dasar keselamatan siber dan pengurusan data yang kukuh.

Pengumuman pada Khamis itu dibuat susulan kenyataan Encik Siow bulan lalu bahawa beliau menjangkakan akan ada “banyak” AV di jalan raya Singapura dalam tempoh lima tahun akan datang.

Encik Siow, yang juga Menteri Negara Kanan Kewangan, turut mengumumkan bulan lalu bahawa ujian AV akan dijalankan di Punggol menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, Grab memulakan perkhidmatan ulang-alik antara pejabatnya di One-North dan stesen MRT One-North menggunakan bas tanpa pemandu bagi kakitangannya awal bulan ini.

Syarikat AV WeRide, yang sudah menjalankan perkhidmatan ulang-alik di Resorts World Sentosa selama setahun, kini membawa sekitar 100 penumpang setiap hari bagi laluan sepanjang 1.2 kilometer di sekitar Sentosa.

Moovita, satu lagi pengendali AV, kini mengendalikan tiga buah bas tanpa pemandu yang bergerak antara Politeknik Ngee Ann dan stesen MRT King Albert Park serta Clementi, dengan pengendali keselamatan di dalam kenderaan tersebut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita