Skip to main content

Singapura

Jawatan baharu bentuk hampir 50% kerja kosong pada 2025: Laporan MOM

Anggaran Waktu Membaca:
Jawatan baharu bentuk hampir 50% kerja kosong pada 2025: Laporan MOM

Orang ramai keluar semasa makan tengah hari di Raffles Place di Singapura pada 13 Ogos 2024. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 20 Mar 2026 01:42PM
SINGAPURA: Jawatan yang baru diwujudkan membentuk 49.3 peratus daripada kerja kosong yang disediakan pada 2025, naik daripada tahun sebelumnya, menurut laporan daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Jumaat (20 Mac).

Singapura menyaksikan purata tahunan sebanyak 75,900 jawatan kosong yang disediakan pada 2025.

Jawatan yang baru diwujudkan itu sebahagian besarnya dibentuk oleh pengembangan perniagaan, manakala jawatan daripada penstrukturan semula atau reka bentuk semula kekal sebagai sebahagian kecil.

Pada 2024, jawatan yang baru diwujudkan membentuk 45.7 peratus daripada jumlah jawatan kosong.

Tahun lalu, penerangan dan perhubungan (74.2 peratus), perkhidmatan profesional (58.2 peratus) dan khidmat kewangan dan insurans (54 peratus) antara sektor dengan peratusan jawatan kosong yang baru diwujudkan melebihi purata keseluruhan.

Daripada jumlah jawatan kosong tersebut, 56.3 peratus adalah untuk jawatan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), manakala 43.7 peratus adalah untuk jawatan bukan PMET seperti pemandu, tukang masak dan pekerja binaan.

Peratusan jawatan PMET meningkat daripada 45.4 peratus pada 2015.

Kemajuan teknologi terus memacu permintaan untuk PMET berkemahiran, terutamanya dalam peranan digital dan berkaitan teknologi.

Pembangun dan pereka sofwe, web, berbilang media (multimedia) dan permainan kekal antara pekerjaan yang paling dicari.

Permintaan yang kukuh juga dilihat untuk penganalisis sistem, saintis data dan pengatur cara (programmer) aplikasi dan sistem, termasuk jurutera kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin.

Peranan kejuruteraan juga kekal mendapat permintaan disebabkan oleh projek pengilangan dan infrastruktur yang canggih.

Daripada jumlah pekerjaan PMET, 21.1 peratus tidak memerlukan pengalaman, manakala 51.1 peratus memerlukan dua hingga lima tahun pengalaman kerja.

Pasaran buruh bertambah dinamik dan tertumpu pada kemahiran. Kelayakan akademik bukanlah pengukur utama dalam pengambilan pekerja untuk 79.6 peratus jawatan kosong pada 2025, naik daripada 78.8 peratus pada 2024.

Majikan semakin mengutamakan kemahiran seperti pembangunan sofwe, analisis sistem, analitik data, keupayaan untuk menghuraikan masalah dan kebolehan untuk menyesuaikan diri.

Walau bagaimanapun, jurang kemahiran masih wujud.

Peratusan jawatan kosong PMET yang tidak diisi selama sekurang-kurangnya enam bulan meningkat daripada 14.4 peratus pada 2024 kepada 16 peratus pada 2025, disebabkan kekurangan kemahiran khusus dan pengalaman yang berkaitan.

Secara keseluruhan, firma kekal berwaspada dalam pengambilan pekerja, walaupun penunjuk awal 2026 menunjukkan sedikit peningkatan dalam jangkaan pengambilan pekerja, menunjukkan tinjauan positif.

PASARAN BURUH

MOM juga mengeluarkan laporan pasaran buruh suku tahunannya pada Jumaat.

Jumlah pekerjaan di Singapura meningkat sebanyak 55,500 pada 2025, lebih rendah sedikit daripada anggaran kementerian yang dikeluarkan pada Januari.

Ini merupakan peningkatan daripada perangkaan 2024 iaitu 44,500.

Pada suku terakhir 2025, jumlah pekerjaan meningkat sebanyak 17,700, menandakan pertumbuhan buat suku ke-17 berturut-turut sejak suku keempat 2021.

Kadar pengangguran kekal rendah dan stabil pada Disember 2025, kata MOM.

Kadar pengangguran keseluruhan berada pada 2 peratus, kadar pengangguran penduduk adalah 2.9 peratus dan kadar rakyat pula 3 peratus.

Kadar pengangguran jangka panjang penduduk juga kekal rendah dan stabil pada 0.9 peratus pada Disember 2025.

Pemberhentian kerja adalah rendah dan dalam norma bukan kemelesetan, kata MOM.

Bagi keseluruhan 2025, pemberhentian kerja adalah 6.3 pemberhentian kerja bagi setiap 1,000 pekerja, atau 14,490 pekerja yang diberhentikan kerja.

Pada suku keempat, kira-kira 57.4 peratus penduduk yang diberhentikan kerja mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan, naik sedikit daripada 55.4 peratus pada suku sebelumnya.

Dalam jangka masa panjang, kadar kemasukan semula pekerja sehingga enam bulan selepas pemberhentian kerja semakin turun, kata pengarah jabatan penyelidikan dan statistik tenaga kerja MOM, Ang Boon Heng.

Jika tempoh itu dilanjutkan lagi kepada sembilan bulan, 12 bulan atau 15 bulan, sebahagian besar orang yang diberhentikan kerja akan mendapat pekerjaan, tambahnya.

Ini menunjukkan bahawa orang ramai mengambil masa lebih lama untuk mendapatkan pekerjaan, yang mungkin menyumbang kepada kebimbangan orang ramai bahawa tiada pekerjaan yang disediakan, tetapi ia lebih kepada "isu peralihan", kata Encik Ang.
 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita