Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jatuh dari kerusi bayi: Purata 20 hingga 30 kanak-kanak cedera setiap tahun di S'pura

Anggaran Waktu Membaca:
Jatuh dari kerusi bayi: Purata 20 hingga 30 kanak-kanak cedera setiap tahun di S'pura

Kanak-kanak di kerusi bayi. (Gambar fail: iStock)

SINGAPURA: Sekitar 20 hingga 30 kanak-kanak cedera setiap tahun dalam tempoh lima tahun lalu selepas terjatuh dari kerusi bayi dan lebih suku daripada jumlah kes itu memerlukan mereka dimasukkan ke hospital.

Demikian menurut Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Awal bulan ini, seorang kanak-kanak di Malaysia meninggal dunia selepas terjatuh dari kerusi bayi semasa berada di sebuah restoran bersama ibu bapanya.

Budak dua tahun itu sedang duduk di kerusi bayi tersebut apabila dia menendang meja, jelas polis Malaysia. Ini menyebabkan kerusi itu terbalik dan kepala kanak-kanak itu terhentak ke lantai.
KKH, hospital terbesar bagi jagaan kesihatan kanak-kanak di Singapura menyatakan, sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp, pihaknya menyaksikan 140 kes yang dikaitkan dengan insiden jatuh dari kerusi bayi antara 2017 hingga 2021, dengan purata 20 hingga 30 kes setahun.

Sekitar 27 peratus daripada jumlah kes itu memerlukan mereka dimasukkan ke hospital. Kecederaan merangkumi keretakan pada tengkorak, lengan dan kaki, luka pada kepala dan muka, kecederaan kepala serta lebam pada lengan dan kaki, menurut Dr Ronald Tan, perunding di Jabatan Ubat-Ubatan Kecemasan hospital itu.

Di Singapura, para pembekal kerusi bayi perlu memastikan produk mereka mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa, seperti EN 14988, ASTM F404 dan ISO 9221.

EN 14988 adalah piawaian keselamatan Britain, manakala ASTM F404 pula ada piawaian Amerika Syarikat.

ISO 9221 pula adalah piawaian antarabangsa.

Piawaian-piawaian itu menetapkan syarat-syarat keselamatan bagi kerusi bayi, terutama sekali kestabilan dan butiran khusus bagi berat yang dapat ditampung.

Kerusi bayi yang tidak menepati piawaian itu tidak akan dibenarkan dijual di Singapura, kata Cik Beatrice Wong, pengarah Pejabat Keselamatan Produk Pengguna, di bawah naungan Enterprise Singapore.

"Setakat ini, CPS belum menerima sebarang maklum balas berhubung kerusi bayi yang tidak selamat mahupun laporan kecederaan disebabkan penggunaan produk sedemikian di Singapura," dedahnya.

Bagaimanapun pada 2021, pihaknya mendapati dua model kerusi bayi yang dijual di Singapura, tidak menepati piawaian keselamatan ASTM F404 dan mengeluarkan perintah berhenti menjual kepada para peruncit.

Di bawah undang-undang Singapura, sesiapa yang didapati melanggar arahan Pejabat Keselamatan Produk Pengguna bagi menghentikan penjualan produk yang tidak selamat berdepan hukuman denda sehingga S$10,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Salah satu daripada dua kerusi bayi itu, Tatameru, tidak mempunyai sistem menahan bayi daripada terjatuh dan kestabilan di bahagian belakang kerusi tidak memenuhi keperluan keselamatan.

'Safety 1st Kiwi 3-in-1 Reclinable High Chair' pula mempunyai jarak besar di bahagian kaki, yang boleh menyebabkan kanak-kanak terjerat atau menyebabkan mereka terjatuh.

Pejabat Keselamatan Produk Pengguna menyatakan pihaknya tidak menerima sebarang laporan kecederaan yang disebabkan oleh mana-mana kerusi, tetapi menasihatkan para pengguna supaya segera berhenti menggunakannya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan