Skip to main content

Singapura

Jasad remaja lelaki 13 tahun ditemui di Sungai Kallang

Jasad seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang dan disyaki lemas di Sungai Kallang sudah ditemui, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Khamis (26 Feb) malam.
Anggaran Waktu Membaca:
Jasad remaja lelaki 13 tahun ditemui di Sungai Kallang
Ibu kepada remaja lelaki 13 tahun sedang memerhati keadaan di Sungai Kallang pada 26 Februari 2026. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)
SINGAPURA: Jasad seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang dan disyaki lemas di Sungai Kallang sudah ditemui, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Khamis (26 Feb) malam.

“Sekitar 10.35 malam, polis menerima panggilan meminta bantuan berhubung jasad yang ditemui terapung di Sungai Kallang,” kata SPF.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan anggota bomba dan penyelamat daripada Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (DART) menarik keluar jasad tersebut dari air.

Remaja lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik SCDF, menurut SCDF.

“Berdasarkan siasatan awal, polis tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah, dan siasatan masih dijalankan,” tambah SPF.

Awal dari itu, pada malam yang sama, operasi mencari remaja itu dihentikan oleh SCDF selepas tiada sebarang penunjuk ditemui walaupun pencarian menyeluruh sudah dijalankan di kawasan berkenaan.

“Operasi pencarian aktif dihentikan kira-kira pukul 7.00 malam,” kata SCDF.

Ia menambah bahawa pihaknya akan “terus memantau keadaan dan menjalankan pemeriksaan berkala di kawasan tersebut”.

Remaja itu dilaporkan hilang pada petang Rabu. Dia dipercayai sedang memancing ketika kejadian berlaku.

SCDF menyambung semula pencarian kira-kira 7.00 pagi pada Khamis selepas menghentikannya malam sebelumnya menyusuli jarak penglihatan yang rendah.

Bercakap kepada media selepas tiba di sungai sekitar tengah hari, ibu remaja itu mengenal pasti anaknya sebagai Daniel - anak kedua daripada tiga beradik lelaki dan pelajar di Sekolah Northlight.

Ibu berusia 46 tahun itu, yang memperkenalkan dirinya sebagai Siti, bekerja di sebuah gerai makanan di VivoCity.

Beliau berkata beliau merancang untuk berada berhampiran kawasan pencarian sepanjang hari.

Cik Siti mengesat air mata ketika bercakap kepada media. Menurutnya, Daniel biasanya pulang ke rumah antara pukul 4.00 petang hingga 5.00 petang, walaupun mempunyai aktiviti selepas sekolah.

Beliau menambah bahawa anaknya tidak pernah menimbulkan sebarang masalah kepadanya.

SCDF menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai kes disyaki lemas itu kira-kira pukul 4.30 petang pada Rabu dan pencarian dalam sungai dijalankan oleh penyelamat daripada DART.

Pada Khamis, tiga pegawai SCDF dilihat berjalan ulang-alik di laluan penghubung taman sepanjang Sungai Kallang, sekali-sekala menggunakan teropong untuk meninjau permukaan air sedang operasi pencarian diteruskan.

Sekitar pukul 5.00 petang, lima pegawai SCDF menyertai empat pegawai polis di lokasi kejadian, di mana mereka terus memerhati sungai.

Seorang pegawai kedengaran berkata bahawa remaja itu dipercayai memakai pakaian berwarna ungu semasa kali terakhir dilihat.
Sumber : CNA/IM/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita