Skip to main content

Singapura

Jasa dan sumbangan Allahyarham Ustaz TM Fouzy cukup besar; lebih 7,000 orang hadir untuk solat jenazah

Anggaran Waktu Membaca:
Jasa dan sumbangan Allahyarham Ustaz TM Fouzy cukup besar; lebih 7,000 orang hadir untuk solat jenazah

Ribuan masyarakat menunggu untuk mengiringi jenazah Allahyarham Ustaz Tengku Mohd Fouzy Tengku Mahid Jumat, di Masjid Sultan. (Gambar: Nurhelmy Hakim)

SINGAPURA: Lebih 7,000 jemaah hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh agama, Allahyarham Ustaz Tengku Mohd Fouzy Tengku Mahid Jumat, di Masjid Sultan siang tadi (19 Dis).

Solat jenazah itu mungkin yang paling ramai disertai, dengan jemaah memenuhi bukan sahaja ruang masjid, tetapi melimpah ke luar pekarangan.

Jenazah Allahyarham, yang meninggal dunia pada usia 69 tahun semalam, selamat dikebumikan di Pusara Aman sekitar 3:00 petang tadi.
Related article image
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
PEMIMPIN MASYARAKAT, AGAMA, SERTA ORANG AWAM RATAPI PEMERGIAN ALLAHYARHAM USTAZ TM FOUZY

Suasana di Masjid Sultan berubah sendu dan pilu apabila jenazah Allahyarham TM Fouzy tiba di Masjid Sultan sekitar jam 11.30 pagi.

Ribuan jemaah tiba masjid untuk membacakan Yasin dan Tahlil.

Turut hadir ramai pemimpin masyarakat termasuk Menteri Bertanggungjawab bagi Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, serta Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Agama (RRG), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan.

Presiden MUIS, Encik Mohamed Sa'at Abdul Rahman berkata: "Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan yang besar bukan sahaja untuk seluruh rakyat Singapura. Orangnya bersikap lemah lembut, senang berbicara dan mudah membantu dalam apa jua aspek, terutama dalam segi dalam perkara ugama, dan saya rasa sedih dengan pemergiannya."

Ketika menyampaikan eulogi, Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir menjulang Allahyarham sebagai seorang guru dan ulama yang tidak pernah jemu berkongsi ilmu demi manfaat masyarakat dari generasi ke generasi.

Menurut Mufti, pengorbanan dan jasa Ustaz TM Fouzy cukup besar dan beliau mengajak para jemaah supaya meneruskan kebaikan yang diajarkan Allahyarham.
Related article image
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
"Sepanjang usianya yang dikurniakan oleh Allah swt, ditaburkan buat agama yang dikasihinya, dalam mendidik generasi demi generasi, membimbing umat Islam di Singapura, mengajak kepada kebaikan dan keagamaan, membimbing para jemaah menunaikan haji dan umrah di Tanah Suci. Begitulah kehidupan Allahyarham Ustaz TM Fouzy," kata Dr Nazirudin.

Menjelang waktu solat Zohor, ribuan lagi jemaah hadir untuk meratapi pemergian Allahyarham, petanda betapa besar sumbangan beliau yang telah menyentuh kehidupan pelbagai lapisan masyarakat.
Related article image
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
Solat jenazah disempurnakan dan dipimpin oleh anak Allahyarham, Ustaz Tengku Muhammad Fauwaz Jumat, sebelum diiringkan ke Pusara Aman untuk dikebumikan.

Di sana, ribuan lagi hadir untuk memberi penghormatan terakhir dan memanjatkan doa buat pemimpin yang disegani.
 
Related article image
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
Bekas jemaah syarikat TM Fouzy Travel & Tours, Haji Suratman Haji Hussein berkongsi kepada wartawan Nurhelmy Hakim pengalaman beliau bersama Allahyarham.

Beliau mengikuti GSA pimpinan Allahyarham untuk menunaikan ibadah Haji pada 2016.

Haji Suratman berkata: "Beliau orang yang sangat bersabar, beri perangsang kepada kita. Kita pergi ke Haji bersamanya, beliau banyak menggalak kita untuk beribadah. Beliau banyak menunjuk ajar pada kita untuk menjadi orang yang baik."

Pengerusi Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) Kembangan-Chai Chee, Fazlur Rahman Kamsani pula berkata, "Kita bersedih hari ini kerana kehilangan Ustaz TM Fouzy. Allahyarham telah banyak berjasa kepada masyarakat kita dan negara. Beliau juga aktif membangunkan masyarakat Islam Singapura yang dapat menghayati Islam."

"Ini sumbangan yang kita hargai daripada Allahyarham, satu sumbangan besar,InsyaAllah legasi beliau akan kita sambungkan bersama," kata beliau.
Related article image
(Gambar: Nurhelmy Hakim)
Sebelum kembali ke rahmatullah, Allahyarham telah dimasukkan ke Hospital Tan Tock Seng (TTSH) bulan lalu akibat sesak nafas.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita