Jaring dipasang di Changi Jurassic Mile setelah pengunjung cedera terkena bola golf
Jaring keselamatan dipasang di sepanjang Changi Jurassic Mile ekoran insiden minggu lalu apabila seorang pengunjung cedera kerana terkena bola golf yang melantun dari sebuah padang golf berdekatan.

Jaring keselamatan dipasang di Jurassic Mile Changi (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)
SINGAPURA: Jaring keselamatan dipasang di sepanjang Changi Jurassic Mile ekoran insiden minggu lalu apabila seorang pengunjung cedera kerana terkena bola golf yang melantun dari sebuah padang golf berdekatan.
Changi Jurassic Mile adalah sebuah pameran terbuka tetap yang menampilkan model-model dinosaur di sepanjang laluan Penghubung Lapangan Terbang Changi yang baru dibuka yang menghubungkan lapangan terbang ke Taman East Coast.
Seorang pelawat berkata dalam satu catatan Facebook pada Khamis lalu (22 Okt) berkata bahawa kepala pembantu rumahnya terkena bola golf dari Tanah Merah Country Club yang berdekatan ketika berjalan di laluan itu.
Apabila Mediacorp mengunjungi Changi Jurassic Mile pada Isnin, jaring tambahan sudah dipasang di atas pagar asal yang memisahkan laluan itu dari padang golf.
Namun, beberapa bola golf yang tersasar masih kelihatan di sepanjang pagar tersebut, berhampiran model-model dinosaur itu.
Sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp, Changi Airport Group (CAG) menyatakan pada Isnin bahawa jaring dipasang pada Sabtu malam sebagai "langkah keselamatan tambahan".
CAG awal daripada ini memberitahu Mediacorp pada Jumaat lalu bahawa pihaknya sedang "meneliti cara tambahan untuk mengurangkan risiko bola golf tersasar ke arah Jurassic Mile, seperti memasang jaring di kawasan itu".
Merujuk kepada kejadian melibatkan pembantu rumah yang cedera itu, pihaknya menyatakan kepada Mediacorp: "Changi Airport Group (CAG) kesal dengan kejadian malang yang tidak pernah berlaku di Jurassic Mile sebelum ini. Bantuan segera dihulurkan kepada pengunjung malam semalam, dan CAG sedang berhubung dengan keluarga berkenaan untuk bertanyakan tentang keadaannya."
Tanah Merah Country Club pada Jumaat juga memaklumkan kepada Mediacorp bahawa pihaknya sedang "bekerjasama rapat" dengan CAG sedang ia meneliti bagaimana untuk "meningkatkan ciri keselamatan laluan itu".
"Satu kemungkinan yang diteliti adalah memasang jaringan di kawasan itu untuk mencegah lebih banyak kemalangan," kata kelab itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.