Jari kanak-kanak 5 tahun dipotong setelah cedera akibat alat pengering tangan di ION Orchard
Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun terpaksa menjalani pembedahan untuk memotong sebahagian daripada salah satu jari jemarinya setelah beliau menggunakan sebuah alat pengering tangan "tanpa penutup bolong" di pusat beli-belah ION Orchard.

(Gambar: Nick Chia)
SINGAPURA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun terpaksa menjalani pembedahan untuk memotong sebahagian daripada salah satu jari jemarinya setelah beliau menggunakan sebuah alat pengering tangan "tanpa penutup bolong" di pusat beli-belah ION Orchard.
Bapa kanak-kanak itu, Nick Chia memberitahu Mediacorp bahawa anak perempuannya dibenarkan pulang daripada hospital hari ini (10 Dis) setelah menjalani rawatan di hospital selama lebih tiga hari selepas kejadian itu berlaku.
Beliau sekeluarga menunjungi ION Orchard pada Isnin malam (6 Dis) apabila kanak-kanak itu ingin ke tandas selepas makan malam.
Bersama dengan pembantu rumah mereka, kanak-kanak itu pergi ke tandas di Besmen 4 pusat beli-belah tersebut, yang terletak bersebelahan kedai Awfully Chocolate.
Sedang pembantu rumah mereka membasuh tangan bersebelahan Kara, kanak-kanak itu berjalan untuk menggunakan alat pengering tangan.

(Gambar-gambar: Nick Chia)
Malangnya, jari telunjuk kanak-kanak itu "hancur" oleh bilah kipas dalam alat pengering tangan tersebut, kongsi Encik Chia dalam satu catatan Facebook hari ini. Menurutnya, tiada penutup bolong dipasang pada mesin tersebut.
"Dari sudut penglihatannya (Kara), dia boleh nampak bahagian bawah alat pengering tangan itu mempunyai lubang yang terlopong," katanya.
"Namun, dia mungkin menyangka alat itu merupakan tempat menyimpan tisu atau mungkin salah satu alat pengering tangan jenama Dyson di mana "anda letakkan tangan ke dalam mesin tersebut". Lalu dia meletakkan tangannya ke dalam alat itu dan jarinya hancur disebabkan bilah kipas dalam alat itu."

Kerosakan terhadap jarinya sangat "ketara", dedah Encik Chia. Menurut beliau, tulang jari anaknya hancur disebakan alat pengering tangan itu.
Apabila pekerja teknikal dan kakitangan pengurusan tiba di tempat kejadian, mereka tidak dapat mencari kunci yang betul untuk membuka kabinet yang menempatkan alat pengering tangan itu, kata Encik Chia.
"Mereka akhirnya menemui kunci untuk membuka bahagian bawah kabinet itu namun berdepan kesukaran untuk membuka bahagian atas pula. Mereka akhirnya dapat membuka kabinet tersebut dengan mengumpil keseluruhan kabinet," kata Encik Chia.
Kanak-kanak itu dikejarkan ke Hospital KK Wanita dan Kanak-Kanak, di mana sebahagian jarinya terpaksa dipotong. Bapa Kara memberitahu Mediacorp bahawa doktor tidak dapat "menyelamatkan" jari anak beliau.
"Jika mereka (pasukan ION Orchard) melakukan pemeriksaan ke atas peralatan mereka bagi memastikan kesemua peranti perlindungan dan pencegahan dipasang, situasi ini dapat dielakkan," katanya.
Kara kini hanya mempunyai "kurang separuh jari telunjuk" pada tangan kirinya.
"Beliau kini akan merenung ketakutan terhadap sebarang alat pengering tangan atau mesin tisu di dalam tandas dan lebih rela mengelap tangannya pada pakaian daripada mendekati mesin-mesin yang dicipta untuk memudahkan kehidupan kita," katanya.
Seorang jurucakap ION Orchard berkata bahawa pasukan di pusat beli-belah itu menghulurkan "bantuan dengan segera" kepada kanak-kanak perempuan berkenaan.
"Kami benar-benar menyesali kejadian yang berlaku dan kini sedang menyiasat punca kejadian. Sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, kami sudah memeriksa kesemua alat pengering tangan di ION Orchard bagi memastikan keselamatannya," menurut jurucakap itu.
Pasukan ION Orchard sedang berhubungan dengan keluarga kanak-kanak itu dan akan "menawarkan bantuan sewajarnya".
"Kami mengambil serius keselamatan para pengunjung dan penyewa kami. Alat pengering tangan diperiksa secara kerap bagi memastikan ia berfungsi dengan baik dan ia digantikan apabila perlu," menurut jurucakap itu sambil menambah bahawa pemeriksaan sewajarnya dijalankan segera selepas kejadian itu bagi memastikan kesemua alat pengering tangan beroperasi dengan selamat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.