Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Janji temu bagi vaksin COVID-19 Nuvaxovid sudah boleh dibuat

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 May 2022 05:18PM Dikemas Kini : 13 May 2022 11:09PM

SINGAPURA: Mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas yang layak menerima suntikan vaksin COVID-19 Nuvaxovid boleh mula membuat janji temu mulai hari ini (13 Mei), menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Vaksinasi akan bermula pada 18 Mei di 20 Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) yang terlibat mulai 18 Mei. Vaksin itu akan disediakan di Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC) di Bishan mulai 24 Mei.

Vaksin COVID-19 Nuvaxovid yang dikeluarkan oleh syarikat Novavax diberikan kelulusan sementara pada Februari untuk digunakan di Singapura sebagai sebahagian daripada program vaksinasi kebangsaan.

Ia akan disediakan buat individu yang belum menerima suntikan utama ataupun suntikan penggalak. Namun, MOH mendedahkan bahawa vaksin mRNA "kekal sebagai vaksin pilihan disebabkan keberkesanannya yang lebih tinggi dan tindak balas imun yang lebih kuat".

"Mereka yang tidak layak menerima suntikan vaksin mRNA boleh memilih untuk mendapatkan vaksin Nuvaxovid," menurut MOH.

"Di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan, vaksin Sinovac-Coronvac hanya akan diberikan sebagai dos penggalak kepada mereka yang tidak layak menerima suntikan vaksin mRNA dan Nuvaxovid."

Mereka yang menerima vaksin Nuvaxovid sebagai dos utama harus mendapatkan dos kedua dalam sekurang-kurangnya 21 hari. Mereka yang menerima dos penggalak pertama atau kedua juga disyorkan untuk mendapatkan dos kedua, lima bulan selepas dos pertama, jelas MOH.

PUSAT UJIAN DAN VAKSINASI BERSAMA DIBUKA

Setakat 12 Mei, 92 peratus penduduk Singapura sudah mendapatkan dos utama manakala 75 peratus sudah menerima dos penggalak.

"Dengan perlindungan vaksinasi yang lebih baik dan majoriti penduduk yang sudah dilindungi, kami akan secara bertahap-tahap mengurangkan jumlah pusat vaksinasi mulai hujung Mei 2022 seperti yang sudah diumumkan pada 22 April," menurut MOH.

Lima Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama akan dibuka pada 24 Mei, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan khidmat ujian dan vaksinasi COVID-19 "kekal mudah diakses oleh orang ramai", tambah MOH.

"Pusat-pusat ini direka dengan keupayaan untuk meningkatkan operasi sekiranya terdapat jujukan yang membimbangkan pada masa hadapan."

Lagi lima Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama akan dibuka secara berperingkat di seluruh negara mulai hujung June ini.

"Untuk membolehkan penyedia khidmat perubatan mengurus penyediaan vaksin dengan lebih baik dan mengurangkan sebarang pembaziran, orang ramai dinasihatkan untuk membuat janji temu melalui Sistem Janji Temu Nasional sebelum pergi ke pusat JTVC, menurut MOH.

Untuk dianggap tidak layak dari segi perubatan untuk menerima vaksinasi COVID-19 di Singapura, individu dari segi perubatan tidak layak untuk menerima vaksin COVID-19 mRNA, Nuvaxovid dan Sinovac-CoronaVac.

Individu berkenaan dikecualikan daripada langkah pengurusan selamat berdasarkan Status Vaksinasi (VDS).

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan