Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Janji Decathlon: Harga kekal 'serendah mungkin', meski terkesan kenaikan kos

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masuk sahaja ke sebarang cawangan  Decathlon, dan anda boleh mendapatkan barangan sukan pada harga yang amat rendah - seperti beg galas berharga S$4 atau S$10 bagi raket badminton. 

Bahkan, peruncit barangan sukan dari Perancis itu berharap dapat memastikan harganya kekal rendah, walaupun ia turut tertekan dengan kenaikan kos dari pelbagai sudut. 

"Kami tidak kebal daripada kenaikan kos," kata Pengarah Urusan Decathlon Singapura Stephan Veyret, sambil menambah bahawa terdapat "pelbagai" cabaran yang "tidak menentu langsung". 

Khususnya, tekanan terhadap rantaian bekalan sejagat yang berpotensi berlarutan disebabkan keadaan perang Ukraine yang tidak menentu, serta hubungan tegang antara Amerika Syarikat dan China, kata Encik Veyret. 

Perintah berkurung COVID-19 di negara seperti Vietnam dan China sebelum ini juga menjejas bekalan produk seperti kasut mendaki dan raket tenis. 

Lonjakan harga tenaga juga menambah kepada kos pengilangan dan pengangkutan. 

Kadar tukaran mata wang yang berubah-ubah pada masa ini memberi tekanan pada keuntungan dan kenaikan satu peratus pada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tahun depan akan mengurangkan lagi kadar keuntungan. 

Dengan keadaan yang tidak menentu itu, Encik Veyret berkata beliau tidak pasti sama ada Decathlon akan perlu menyesuaikan harga runcitnya di Singapura. 

Pengarah Urusan Decathlon Singapura Stephan Veyret (Gambar: Tang See Kit/CNA)

"Saya tidak pasti kesan kos tenaga, bahan mentah dan kos pengangkutan," katanya kepada Mediacorp. Namun, jika syarikat tersebut menaikkan harga, ia kerana ia tidak ada pilihan lain, tambah Encik Veyret. 

Walau bagaimanapun, Decathlon akan kekal fokus menjadi pilihan yang menawarkan barangan dengan harga berpatutan untuk pelanggan, tegasnya. 

Keupayaan peruncit itu untuk menawarkan harga berdaya saing sejak ditubuhkan pada 1976 adalah disebabkan  model perniagaannya yang diselaraskan, di mana ia mereka dan menghasilkan hampir semua produknya sendiri. 

Decathlon juga mempunyai sayap logistiknya sendiri dan tidak menggunakan bungkusan yang tidak diperlukan. 

Semua langkah ini membolehkan syarikat itu untuk menggunakan sumber-sumbernya dengan berkesan dan mengurangkan kos pada setiap fasa proses, menurut Decathlon. 

Langkah-langkah lain  untuk mengurangkan kos operasi di Singapura termasuk mendapatkan sumber dari sebanyak mungkin negara yang berbeza, tetapi memastikan ia dilakukan di rantau ini untuk mengurangkan kos logistik. 

"Matlamat kami adalah untuk memberi akses kepada sukan dengan menawarkan produk yang berpatutan, dan ia budaya kami untuk menyesuaikandiri kepada kos yang semakin naik," kata Encik Veyret, yang sudah bekerja di Decathlon selama 24 tahun dan menyandang jawatan itu di Singapura pada Julai 2021. 

"Kami akan terus melakukan sedaya upaya untuk memastikan harga barangan serendah mungkin dan terus menawarkan nisbah mutu-harga yang terbaik di pasaran. Kerana itulah sebabnya ramai orang melanggani kedai kami." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan