Jangkitan COVID-19 naik; hospital kekal waspada, sedia tangani keperluan berubah-ubah
Gambar fail: CNA/Syamil Sapari
SINGAPURA: Hospital-hospital di Singapura sedang memantau rapi keadaan COVID-19 di negara ini dan bersedia untuk menambah kapasiti jika perlu.
Demikian menurut Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) dan SingHealth pada Isnin (11 Dis).
Jumlah jangkitan COVID-19 meningkat sejak dua minggu lalu dengan Kementerian Kesihatan (MOH), menganggarkan jumlah kes pada minggu 26 Nov hingga 2 Dis meningkat kepada 32,035, berbanding 22,094 kes pada minggu sebelumnya.
Menurut MOH, jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital dan unit jagaan rapi (ICU) tidak setinggi kes yang dicatat semasa pandemik. Tambahnya, tidak ada juga sebarang petanda bahawa varian yang menular di sini lebih mudah berjangkit atau menyebabkan penyakit yang lebih teruk. Sungguhpun demikian, lonjakan dalam jumlah kes telah menambah beban kerja di hospital.
NUHS menyatakan pihaknya sedang memantau situasi berkenaan dengan tiga hospital di bawah kendaliannya - Hospital Universiti Nasional, Hospital Besar Ng Teng Fong dan Hospital Alexandra.
"Kami terus kekal berjaga-jaga dan mengekalkan peningkatan kapasiti di kemudahan pesakit kami, termasuk kemudahan jagaan rapi dan pengasingan kami," kata jurucakap NUHS.
"Kami sedang melakukan yang terbaik untuk memanfaatkan sumber dan akan menyesuaikan respons kami untuk memenuhi keperluan yang berubah-ubah."
Jurucakap tersebut berkata jumlah harian pesakit yang dimasukkan ke hospital dan ICU akibat COVID-19, di tiga hospital tersebut, "kekal stabil".
"Prosedur elektif tidak terjejas buat masa ini," tambah jurucakap itu.
SingHealth - yang mengendalikan beberapa hospital, pusat kepakaran nasional dan poliklinik - juga "kekal berjaga-jaga dan berada pada tahap waspada yang tinggi" bagi sebarang perkembangan baharu berhubung situasi COVID-19 di Singapura.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SingHealth Fong Kok Yong memberitahu Mediacorp bahawa hospital kendaliannya bersedia untuk menambah kapasiti bagi merawat pesakit COVID-19 jika perlu.
"Pasukan klinikal dan operasi kami terus memantau situasi tersebut dengan teliti, dan kami akan bertindak secara proaktif apabila timbul keperluan," katanya.
NUHS juga menyatakan bahawa ia akan mengerahkan semula dan menambah tenaga kerjanya bagi menyokong dengan lebih baik jumlah pesakit di jabatan kecemasan, jika perlu.
Jurucakap itu memohon pemahaman orang ramai jika mereka perlu tunggu lebih lama di jabatan kecemasan. Keutamaan katanya akan diberikan kepada pesakit dengan keadaan yang lebih serius dan yang perlu dimasukkan ke hospital.
Jurucakap itu menambah bahawa hanya mereka yang mempunyai masalah kecemasan yang serius atau mengancam nyawa - seperti sakit dada, sesak nafas dan pendarahan yang tidak terkawal - harus pergi ke jabatan kecemasan kerana ini akan membolehkan mereka yang memerlukan rawatan kecemasan diuruskan dengan cepat dan membantu mengekalkan kapasiti hospital bagi mereka yang benar-benar memerlukan jagaan hospital akut.
"Kami menggesa orang ramai supaya berjumpa doktor keluarga mereka atau klinik 24 jam bagi keadaan bukan kecemasan," kata jurucakap itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.