Skip to main content

Singapura

Jangkitan baru HIV dalam kalangan penduduk SG jatuh ke paras terendah sejak 1998

Anggaran Waktu Membaca:
Jangkitan baru HIV dalam kalangan penduduk SG jatuh ke paras terendah sejak 1998

Ujian HIV sedang dijalankan. (Gambar: AFP/Alfredo Estrella)

Diterbitkan : 13 Jun 2023 07:59PM
SINGAPURA: Sebanyak 202 kes baru jangkitan virus HIV dilaporkan dalam kalangan penduduk Singapura pada tahun lalu, menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jun 2023.

Jumlah jangkitan baru HIV merosot tiga tahun berturut-turut dan merupakan yang paling rendah sejak 1998, dengan sebanyak 199 kes dilaporkan ketika itu.

Sebanyak 250 kes jangkitan HIV dilaporkan pada 2021, 261 pada 2020 dan 323 pada 2019.

Antara kes-kes yang dilaporkan pada tahun 2022, lebih sedikit daripada separuh mengalami jangkitan HIV peringkat akhir semasa mereka didiagnosis.

18 peratus daripada kes-kes tersebut dikesan semasa pemeriksaan rutin HIV, manakala 17 peratus dikesan melalui pemeriksaan HIV atas inisiatif sendiri, yang biasanya di peringkat awal jangkitan, dedah MOH.

Kebanyakan kes pada 2022 melibatkan lelaki, dengan 187 dijangkiti HIV.

Hubungan seksual kekal sebagai punca utama jangkitan, dengan 93 peratus kes pada 2022 dijangkiti melalui cara itu.

Pada hujung 2022, jumlah keseluruhan penduduk Singapura yang dijangkiti HIV adalah seramai 9,331, dengan 2,362 daripadanya sudah meninggal dunia.

JALANI UJIAN SEKURANG-KURANGNYA SEKALI: MOH

Dalam makluman awam, MOH dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) menggesa individu yang terlibat dalam hubungan seksual berisiko tinggi supaya menjalani ujian HIV secara berkala setiap tiga hingga enam bulan.

MOH turut menarik perhatian bahawa setiap orang harus mengetahui status HIV mereka dan menjalani ujian sekurang-kurangnya sekali. Mereka yang hidup dengan HIV boleh mencapai hasil rawatan yang lebih baik jika mereka didiagnosis pada peringkat awal, tambahnya.

SARANAN PROGRAM HIV NASIONAL

Baru-baru ini, sepasukan doktor daripada Program HIV Nasional berhasil membangunkan satu set saranan untuk lebih ramai orang menjalani ujian secara sukarela agar jangkitannya dapat dikesan lebih awal.

Saranan-saranan tersebut diterbitkan bulan lalu dalam artikel ulasan Jurnal Perubatan Singapura.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita