Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jangkakan 'lebih banyak tekanan' harga minyak di S'pura

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pengguna boleh menjangkakan "lebih banyak tekanan" terhadap harga minyak masak setelah Indonesia menghentikan eksport minyak sawit. 

Demikian menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Khamis (5 Mei). 

"Setakat ini, larangan eksport itu tidak mungkin mempunyai kesan yang ketara terhadap bekalan minyak masak secara keseluruhan di Singapura, walaupun kita boleh menjangkakan terdapat lebih banyak tekanan terhadap harga minyak masak," dedah seorang jurucakap MTI semasa menjawab pertanyaan Mediacorp. 

Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan pada 22 April bahawa negara tersebut akan berhenti mengeksport minyak sawit mulai 28 April untuk membantu mengawal harga tempatan yang semakin naik, namun tidak memberi sebarang perincian. 

Pada 27 April, Indonesia menyatakan larangan itu termasuk minyak sawit mentah, minyak sawit olein yang sudah ditapis, diluntur dan dihilangkan bau (RBD), cairan kilang minyak sawit dan minyak masak yang sudah digunakan. RBD olein sawit merupakan bahan utama dalam minyak masak dan digunakan dalam apa sahaja daripada makanan ringan hingga aiskrim. 

Pengumuman oleh Indonesia, yang merupakan pengeksport terbesar minyak sawit dunia, menyebabkan harga global minyak boleh dimakan melambung, sedang bekalan kini kekurangan akibat faktor-faktor lain seperti kemarau dan pencerobohan Rusia terhadap pengeluar tanaman utama, Ukraine. 

Di Singapura, harga minyak dan lemak naik 6.2 peratus pada Mac berbanding bulan yang sama tahun lalu, turun daripada 6.7 peratus pada Februari, menurut data indeks harga pengguna. 

Singapura memperoleh kebanyakan bekalan minyak sawitnya daripada Indonesia dan pada 2020, mengimport sebanyak AS$228 juta (S$316 juta) minyak sawit, menurut Daftar Kerumitan Ekonomi (OEC) yang mendapatkan datanya daripada pangkalan data perdagangan antarabangsa BACI. 

Singapura juga mengimport minyak sawit daripada Malaysia dan juga Belanda, Kenya dan Vietnam, meskipun sedikit, menurut OEC. 

"Walaupun Indonesia merupakan salah satu negara sumber kita, kita juga mengimport minyak masak dan minyak sawit daripada negara-negara lain seperti Malaysia dan China," menurut MTI. 

"Pengimport dan peruncit setakat ini mempunyai bekalan minyak masak yang mencukupi untuk menepati keperluan pengguna di Singapura, dan pengimport juga boleh meningkatkan import daripada sumber-sumber alternatif untuk menangani kekurangan bekalan daripada Indonesia."

Kementerian tersebut juga menyatakan ia sedang memantau perkembangan semasa dan akan bekerjasama dengan pengimport dan peruncit utama untuk memastikan terdapat bekalan minyak masak dan minyak sawit yang mencukupi di Singapura. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan