Jangka hayat penduduk SG naik kepada 83.9 tahun pada 2025
Jangka hayat penduduk Singapura semasa lahir meningkat kepada 83.9 tahun pada 2025, naik 0.2 tahun berbanding 2024.
Para pejalan kaki melintas jalan di kawasan beli-belah Orchard Road di Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
Data awal yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (SingStat) pada Rabu (3 Jun) turut menunjukkan bahawa jangka hayat bertambah baik sepanjang sedekad lalu, meningkat daripada 82.9 tahun pada 2015 dan melepasi paras tertinggi sebelum pandemik iaitu 83.7 tahun pada 2019.
Penduduk berusia 65 tahun pada 2025 pula dijangka hidup sehingga usia 86.6 tahun - meningkat 0.2 tahun berbanding 2024 dan 0.8 tahun berbanding 2015.
Data jangka hayat dalam laporan SingStat menunjukkan purata bilangan tahun tambahan yang boleh dijangkakan seseorang untuk hidup sekiranya kadar kematian semasa kekal sepanjang hayat mereka, sekali gus mencerminkan purata umur panjang para penduduk.
Ia tidak mengambil kira perubahan kadar kematian pada masa hadapan, menurut jabatan itu.
JANGKA HAYAT LELAKI DAN WANITA
Jangka hayat semasa lahir bagi penduduk lelaki adalah 81.8 tahun pada tahun lalu, meningkat 0.3 tahun berbanding 2024. Dalam tempoh sedekad lalu, ia meningkat sebanyak 1.3 tahun daripada 80.5 tahun pada 2015.
Bagi wanita pula, jangka hayat semasa lahir adalah 86.0 tahun pada 2025, meningkat 0.2 tahun berbanding 2024. Dalam tempoh sedekad lalu, ia meningkat sebanyak 0.9 tahun daripada 85.1 tahun pada 2015.
Pada usia 65 tahun, penduduk lelaki dijangka hidup sehingga purata umur 84.9 tahun - lebih satu tahun berbanding 2015 - manakala penduduk wanita dijangka hidup sehingga usia 88.1 tahun, naik 0.8 tahun berbanding 2015.
Laporan itu juga menunjukkan bahawa kadar kelangsungan hidup yang dijangkakan bagi bayi yang dilahirkan di Singapura terus bertambah baik antara 2015 dengan 2025.
Bagi bayi lelaki yang baru dilahirkan, peratusan yang dijangka masih hidup pada usia 65 tahun meningkat daripada 89 peratus kepada 90.3 peratus, manakala peratusan yang dijangka masih hidup pada usia 85 tahun meningkat daripada 42.3 peratus kepada 47.6 peratus.
Bayi perempuan yang baru dilahirkan pula menunjukkan kadar kelangsungan hidup yang lebih tinggi, dengan peratusan yang dijangka masih hidup pada usia 65 tahun naik daripada 93.6 peratus kepada 94.4 peratus, manakala peratusan yang dijangka masih hidup pada usia 85 tahun meningkat daripada 59 peratus kepada 64.3 peratus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.