Skip to main content

Singapura

Jangka hayat penduduk SG meningkat kepada 83.5 tahun pada 2024

Jangka hayat semasa lahir bagi penduduk Singapura meningkat kepada 83.5 tahun pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 0.3 tahun berbanding tahun sebelumnya.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 May 2025 01:14PM Dikemas Kini : 27 May 2025 11:05PM
SINGAPURA: Jangka hayat semasa lahir bagi penduduk Singapura meningkat kepada 83.5 tahun pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 0.3 tahun berbanding tahun sebelumnya.

Data awal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Singapura (SingStat) pada Selasa (27 Mei) turut menunjukkan peningkatan jangka hayat sepanjang dekad lalu, daripada 82.6 tahun pada 2014.

Jangka hayat pada 2023 terjejas ekoran kadar kematian yang lebih tinggi akibat pandemik COVID-19.

“Oleh kerana kadar kematian yang lebih tinggi ini dianggap berterusan sepanjang hayat, data jangka hayat bagi 2023 mungkin tidak menggambarkan dengan tepat jumlah tahun yang boleh dijangkakan seseorang untuk hidup sekiranya kadar kematian kembali ke paras sebelum pandemik,” menurut SingStat.

Pada usia 65 tahun, jangka hayat meningkat daripada 20.9 tahun pada 2023 kepada 21.2 tahun pada 2024. Ini merupakan peningkatan sebanyak 0.6 tahun dalam tempoh 10 tahun yang lalu, daripada 20.6 tahun pada 2014.

Data jangka hayat dalam laporan SingStat menunjukkan purata bilangan tahun tambahan yang dijangka dapat dinikmati seseorang sekiranya kadar kematian semasa dikekalkan sepanjang hayat mereka.

Jabatan itu turut menjelaskan bahawa data tersebut tidak mengambil kira perubahan kadar kematian pada masa hadapan.

JANGKA HAYAT LELAKI DAN WANITA

Jangka hayat semasa lahir bagi penduduk tetap lelaki Singapura adalah 81.2 tahun pada tahun lalu, meningkat sebanyak 0.2 tahun berbanding 2023.

Sepanjang dekad lalu, jangka hayat penduduk tetap lelaki meningkat sebanyak 0.9 tahun. Bagi mereka yang berusia 65 tahun, jangka hayat turut meningkat daripada 18.8 tahun pada 2014 kepada 19.5 tahun pada 2024.

Bagi wanita, jangka hayat semasa lahir adlah 85.6 tahun pada 2024, naik 0.3 tahun berbanding 2023. Sepanjang sepuluh tahun lalu, ia meningkat sebanyak 0.8 tahun.

Jangka hayat bagi wanita yang berusia 65 tahun pula meningkat daripada 22.1 tahun pada 2014 kepada 22.7 tahun pada 2024.

Laporan itu turut menunjukkan bahawa kadar jangka hayat bayi baru lahir dalam kalangan penduduk tetap Singapura secara umumnya juga terus meningkat antara 2014 hingga 2024.

Bagi bayi lelaki, peratusan yang dijangka hidup sehingga usia 65 tahun meningkat daripada 88.8 peratus kepada 89.8 peratus, manakala peratusan yang dijangka hidup hingga usia 85 tahun naik daripada 41.5 peratus kepada 45.6 peratus.

Bayi perempuan menunjukkan kadar jangka hayat yang lebih baik, dengan peratusan yang dijangka hidup sehingga 65 tahun meningkat daripada 93.5 peratus kepada 94.3 peratus.

Peratusan wanita yang dijangka hidup hingga usia 85 tahun juga meningkat, daripada 57.8 peratus kepada 62.9 peratus.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita