Jangan terpedaya! Janil Puthucheary, Tan Kiat How tegaskan tidak pernah promosikan 'Sugar Friends Tea'
Dua penjawat politik memberi amaran kepada orang ramai pada Ahad (10 Jul) agar tidak terpedaya dengan iklan palsu setelah mereka tampil dalam gambar disunting yang mempromosikan sebuah produk makanan dan minuman (F&B).

Gambar asal (kiri) dan gambar palsu yang disunting (kanan). (Gambar: Janil Puthucheary)
Dalam catatan Facebook berasingan, dua Menteri Negara Kanan, Dr Janil Puthucheary dan Tan Kiat How, berkata pengiklan menyunting sekeping gambar menunjukkan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) yang berlangsung pada Mei.
"Sebagai satu amalan, pegawai pemerintah tidak mengesahkan produk-produk," tegas Dr Puthucheary, Menteri Negara Kanan Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan.
"Kekal berwaspada dan jangan terpedaya dengan iklan palsu seumpama itu," tambah Encik Tan, Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara.
Gambar asal tersebut memaparkan kedua-dua menteri kanan itu bersama beberapa orang lain memegang dokumen MOU yang menyokong pelajar perempuan belajar dalam bidang teknologi.
Dr Puthucheary memberitahu Mediacorp beliau dimaklumkan pada Sabtu tentang gambar yang disunting itu dan gambar tersebut tampil dalam sebuah iklan YouTube bagi produk bernama "Sugar Friends Tea".
Individu-individu di dalam gambar tersebut diubah secara digital untuk memaparkan seolah-olah mereka memegang kotak teh dan bukannya dokumen seperti dalam gambar asalnya.
Iklan itu juga mendakwa produk tersebut dapat mengurangkan paras gula dalam darah pengguna dan diluluskan penjualannya oleh Kementerian Kesihatan (MOH).
Dr Puthucheary berkata beliau tidak dapat mengakses mana-mana pautan lelaman yang tertera dalam iklan tersebut.
Percubaan Mediacorp untuk mengakses pautan dalam iklan itu membawa kepada sebuah laman yang tiada kaitan dengan produk berkenaan.
Dr Puthucheary menambah Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) sedang meneliti perkara itu. Mediacorp sudahpun menghubungi IMDA bagi mendapatkan ulasannya.
Ini bukan kali pertama gambar atau rencana palsu melibatkan tokoh politik Singapura digunakan bagi mempromosikan produk serta perkhidmatan.
Pada April lalu, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung ditampilkan dalam sebuah gambar yang disunting, menunjukkan beliau menyokong "produk perubatan tertentu".
Pada 2019 pula, sebuah laman yang memancing pelaburan bitcoin menggunakan komen rekaan yang kononnya dibuat oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk mempromosikan produk-produknya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.