Jangan terpedaya dengan penipu samar diri sebagai pegawai MOM
(Gambar: Ministry of Manpower)
SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Isnin (23 Mei) memberi amaran kepada orang ramai tentang emel palsu daripada para penipu yang menyamar diri sebagai pegawai kementerian tersebut.
Emel itu kelihatan seolah-olah dihantar dari Divisyen Hubungan Buruh dan Tempat Kerja MOM dengan sebuah fail ZIP turut dilampirkan, menurut kementerian itu dalam catatan Facebooknya.
Emel itu mendakwa seolah-olah MOM memerlukan para majikan untuk mengisytiharkan pembayaran gaji setiap bulan "bagi memastikan semua pekerja terus dibayar gaji tepat pada masanya".
Para penerima emel itu diarahkan supaya mengisi borang perisytiharan yang dilampirkan "untuk menunjukkan sama ada gaji bulan April 2022 sudah dibayar" dan sama ada sebarang bayaran gaji masih belum dilunaskan.
"MOM tidak menghantar emel dengan lampiran fail ZIP," menurut kementerian itu. "Ini adalah satu penipuan."
MOM menggesa sesiapa sahaja yang terjejas dengan penipuan itu supaya membuat aduan polis dengan serta-merta.
Kementerian itu juga menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan tip-tip di laman webnya tentang cara untuk mengesan dan mengenal pasti penipuan sedemikian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.