Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Jangan takut untuk cuba dan terus berlatih gunakan bahasa ibunda': Chan Chun Sing

Usaha menggalakkan penggunaan bahasa ibunda memerlukan usaha sama seluruh masyarakat.  

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Usaha menggalakkan penggunaan bahasa ibunda memerlukan usaha sama seluruh masyarakat.

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing turut berkongsi harapannya agar warga Singapura terus bersemangat untuk menghidupkan pembelajaran bahasa ibunda, dalam ucapannya dalam rancangan khas pelancaran Bulan Bahasa 2021 di saluran Mediacorp Suria pada Sabtu (4 September).

Beliau juga menyeru masyarakat Melayu tempatan agar 'jangan takut' untuk mempelajari bahasa dan terus berlatih menggunakan bahasa ibunda.

BELAJAR MELAYU: 'ALAH BISA TEGAL BIASA' KATA CHAN CHUN SING

Encik Chan turut berkongsi pengalamannya semasa berkhidmat di Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di mana beliau sendiri menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan pegawai tentera Indonesia kerana tiada suasana untuk beliau berlatih dengan teman-temannya.

Walau bagaimanapun, Encik Chan tetap cuba sedaya upayanya untuk mempelajari Bahasa Indonesia.

"Saya tidak begitu berbakat belajar bahasa. Jadi, untuk saya, susah sekali. Jika kita ingin belajar sesuatu bahasa yang baru, kita mesti banyak berlatih menggunakan. Mungkin susah pada mulanya tetapi akan menjadi mudah jika sering berlatih, seperti peribahasa, 'alah bisa tegal biasa'," kata Encik Chan.

Beliau juga melahirkan penghargaannya kepada Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) Dr Faishal Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa Cik Rahayu Mahzam serta pihak lain yang turut menjayakan acara-acara Bulan Bahasa 2021.

Bulan Bahasa 2021 turut disokong Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew (LKYFB) dan Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC).

Dalam pada itu, Dr Faishal dan Cik Rahayu turut menyentuh tentang dapatan Banci Penduduk 2021 di mana Bahasa Melayu semakin kurang digunakan di rumah.

“Kami akur bahawa lebih banyak keluarga kini menggunakan bahasa Inggeris di rumah. Namun, pemerhatian ini bukan bermaksud bahasa Melayu tidak digunakan sama sekali. Malah, ramai keluarga Melayu masih cekap berdwibahasa dan kami berharap trend ini akan dapat dikembangkan. Dengan sokongan rakan kerjasama kami, kami akan berusaha ke arah sebuah komuniti yang menyedari nilai dalam penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian,” ujar Puan Rahayu.

Dalam rancangan khas sepanjang satu jam itu, para penonton turut dihiburkan dengan beberapa persembahan termasuk legenda rok, Ramli Sarip yang juga merupakan Duta Bahasa 2015.

Selain itu, ketiga-tiga Duta Bahasa 2021, Hyrul Anuar, Marina Yusoff dan Dr Noramin Farid juga turut membuat persembahan.

Acara kemuncak 'koir maya' turut menampilkan semangat dan sokongan suara-suara anggota masyarakat yang berkongsi video-video mereka menyanyikan lagu tema Bulan Bahasa yang berjudul 'Bahasa Menjunjung Budaya'.

(Gambar: Jawatankuasa Bulan Bahasa)

Ini merupakan kali kedua acara pelancaran disiarkan di televisyen.

Ini bagi memastikan anggota masyarakat tidak terlepas peluang untuk turut serta dalam meraikan Bulan Bahasa di tengah-tengah keadaan COVID-19 sekarang.

LEBIH 30 ACARA OLEH 25 RAKAN KERJASAMA DISAJIKAN

Tahun ini, lebih 30 acara ditawarkan sempena Bulan Bahasa yang berlangsung dari 14 Ogos hingga 10 Oktober 2021. Ini termasuk persembahan, ceramah, drama radio, bengkel lakonan, pertandingan berbalas pantun dan banyak lagi yang dikendalikan oleh sekitar 25 rakan kerjasama antaranya termasuk Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan Wisma Geylang Serai.

(Gambar: Jawatankuasa Bulan Bahasa)

“Meskipun tahun 2020 dan 2021 berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, kami masih dapat merasakan keghairahan serta komitmen rakan-rakan kerjasama kami. Mereka tabah menghadapi keluk pembelajaran yang curam, serta menyesuaikan pengendalian program
menggunakan wadah digital seperti Zoom dan Facebook," kata Cik Rahayu.

Bagi menjaga kemaslahatan masyarakat dan rakan kerjasama, sebilangan besar acara-acara Bulan Bahasa 2021 disajikan secara online. Untuk maklumat lanjut, anda boleh lungsuri laman Facebook www.facebook.com/majlisbahasa atau Instagram @bulanbahasa.

Anda juga boleh mendengar wawancara khas BERITAmediacorp bersama ketiga-ketiga Duta Bahasa 2021 di pautan berikut: https://bit.ly/3zFOpvH  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan