Jangan sebar mesej negatif yang lemahkan semangat juang melestarikan Bahasa Melayu, gesa Dr Faishal
Memartabatkan Bahasa Melayu memerlukan sokongan segenap lapisan masyarakat dan kita tidak haruslah menyebarkan mesej negatif yang boleh melunturkan semangat juang usaha ini.
SINGAPURA: Memartabatkan Bahasa Melayu memerlukan sokongan segenap lapisan masyarakat dan kita tidak haruslah menyebarkan mesej negatif yang boleh melunturkan semangat juang usaha ini.
Demikian tegas Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menerusi satu catatan Facebook hari ini (6 Sep).
Bulan Bahasa 2020 secara rasmi dilancarkan menerusi satu siaran khas selama sejam pada Sabtu (5 Sep). Meski tiada majlis gah dapat diadakan kali ini, semangat meraikan Bulan Bahasa tetap diserlahkan menerusi persembahan-persembahan yang dijayakan oleh Duta Bahasa dan Rakan Bahasa.
(Gambar-gambar: Majlis Bahasa Melayu Singapura)
Pelancaran tersebut turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat selaku tetamu terhormat, yang menekankan betapa penguasaan Bahasa Melayu penting dan akan membuka pintu kepada pelbagai peluang di Singapura mahupun Asia Tenggara.
TEGURAN DR FAISHAL TERHADAP PANDANGAN NEGATIF
Mengulas lebih lanjut dalam catatan beliau, Dr Faishal menggesa masyarakat agar sama-sama menyemarakkan semangat menjunjung Bahasa Ibunda, walau hanya dengan sokongan moral.
"Sekurang-kurangnya kita menggalakkan setiap usaha untuk melestarikan bahasa kita dengan memberikan kata-kata dan komen-komen yang positif," kata Dr Faishal, yang juga merupakan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara itu.
"Kita tidak harus memegang pandangan yang pesimis dan menyebarkan mesej yang negatif agar tidak melemahkan semangat juang anak-anak kita. Sebaliknya, kita harus memberi galakan kepada anak muda serta maklum balas yang membina agar dapat membantu mengukuhkan perjuangan kita bersama," tambah beliau.
Catatan Dr Faishal itu, seolah-olah menegur sebilangan anggota masyarakat yang pesimis terhadap penggunaan Bahasa Melayu dengan wujudnya 'gelombang Bahasa Inggeris'.
Seorang selebriti tempatan, Suhaimi Yusof, misalnya menyuarakan pandangan pesimis beliau di Facebook semalam (5 Sep), bertepatan dengan pelancaran Bulan Bahasa.
Suhaimi secara terbuka mempersoalkan mengapa anak-anak muda "semakin kurang fasih dan semakin tidak selesa dengan penggunaan Bahasa Melayu", sedangkan Bulan Bahasa diraikan setiap tahun.
"Secara peribadi, saya rasa kalau Bahasa Melayu sudah tidak penting lagi untuk melayakkan diri ke institusi lebih tinggi atau untuk dapatkan pekerjaan, maka secara semula jadi, nilainya pun turut pupus. Dan kalau di rumah guna sebutan riau tapi di sekolah terpaksa guna sebutan baku maka semakin bingung lah budak tu," tulis beliau.
Mengenai gelombang Bahasa Inggeris, Dr Faishal akur ia sememangnya satu cabaran yang dihadapi sekarang tetapi usaha melestarikan Bahasa Ibunda tetap harus diteruskan agar kita dapat mewariskannya kepada generasi akan datang, kata beliau.
Dr Faishal turut menepis dakwaan generasi muda kian tidak selesa dengan penggunaan Bahasa Melayu.
"Dalam kajian Institut Kajian Dasar (IPS) tahun lalu, masyarakat Melayu masih melihat bahasa Melayu sebagai elemen penting dalam pembinaan jati diri masyarakat kita. Dalam keluarga dan kalangan sahabat handai, kita lebih cenderung menggunakan bahasa Melayu," jelasnya.
PENTINGNYA TERUS HIDUPKAN BAHASA MELAYU
Sungguhpun demikian, Dr Faishal melahirkan penghargaannya kepada semua yang terlibat dalam Bulan Bahasa tahun ini.
"Saya amat teruja dengan iltizam masyarakat kita. Meskipun mencabar dengan keadaan COVID-19 sekarang, semangat kita untuk terus menggerakkan usaha melestarikan Bahasa tetap membara," ujar beliau.
Dr Faishal turut menukil kata-kata DPM Heng semasa memberikan ucapan di Pelancaran Bulan Bahasa 2020, yang menekankan tentang pentingnya bahasa Melayu dalam pembentukan warisan dan fabrik sosial Singapura.
"Begitulah pentingnya peranan bahasa Melayu di negara kita. Dengan itu, sokongan kita agar Bahasa Melayu senantiasa hidup dan kekal relevan, diperlukan," tegas Dr Faishal.
Beliau menambah, usaha melestarikan Bahasa Ibunda "yang berat akan menjadi ringan apabila kita lakukan bersama - termasuk dalam mencapai cita, citra dan cinta kita akan bahasa Melayu".
"Ayuh, sertailah dan sokonglah usaha kita menghidupkan Bahasa Ibunda kita!" seru beliau lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.