"Jangan putar belit kata-kata kami," tegas Chan Chun Sing kepada Leong Mun Wai semasa debat bahan CCE konflik Israel-Hamas
Anggota Parti Kemajuan Singapura (PSP) Leong Mun Wai berdebat dengan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing di parlimen hari ini (2 Apr) sedang beliau menggesa agar bahan-bahan pembelajaran mengenai konflik Israel-Hamas yang digunakan di sekolah-sekolah didedahkan kepada umum.
Encik Leong juga berkata beliau dan anggota PSP Hazel Poa "sering dituduh bersikap memecah belah".
Namun Encik Chan berkata beliau "tidak menuduh sesiapa" di Dewan Parlimen sebagai bersikap memecah belah, sambil menambah: "Tolong jangan putar belitkan kata-kata kami."
Kementerian Pendidikan (MOE) sudah "lebih daripada telus" mengenai mata pelajaran Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) mengenai konflik Israel-Hamas, kata Encik Chan.
"Kami bukan sahaja bersedia untuk menunjukkan bahan-bahan pembelajaran kepada para ibu bapa, kami juga bersedia untuk menjelaskan kepada para ibu bapa bagaimana bahan-bahan itu digunakan, daripada sekadar menyerahkan slaid kepada mereka, yang boleh diambil luar daripada konteks," katanya.
Slaid-slaid itu sahaja tidak dapat menyampaikan sepenuhnya bagaimana MOE mengajar subjek tersebut, tekan Encik Chan.
"Kami mengalu-alukan para ibu bapa yang prihatin supaya tampil ke hadapan dan berjumpa dengan guru-guru yang akan menjelaskan kepada mereka bagaimana kelas diadakan.
"Ini lebih baik daripada sekadar menatap slaid-slaid itu tanpa mendapat penjelasan."
Encik Leong dan Cik Poa sebelum ini mengemukakan soalan Parlimen mengenai cara MOE mengendalikan pembelajaran CCE mengenai konflik Israel-Hamas.
Encik Chan menyuruh Encik Leong dan Cik Poa merujuk kepada ucapannya sebelum ini mengenai perkara itu pada Mac lalu apabila beliau mengatakan bahawa kelas-kelas itu boleh disesuaikan bagi para pelajar dari setiap peringkat umur dan para guru akan mendapat lebih banyak sokongan.
Namun Anggota Parlimen parti Pembangkang itu menyoal sama ada ia "wajar" untuk tidak mendedahkan slaid-slaid yang digunakan dalam kelas.
Beliau juga meminta pemerintah Singapura memberi komitmen bagi memastikan semua bahan yang digunakan dalam kelas CCE didedahkan kepada umum "supaya para ibu bapa tahu apa yang diajar kepada anak-anak mereka".
"Saya sebenarnya sudah ke kedai buku dan membeli buku teks CCE untuk murid Darjah 6. Mengikut konteks buku teks itu, anda tidak boleh bayangkan bahawa isu semasa yang rumit dan berkontroversi seperti konflik Israel-Hamas akan diajar kepada anak-anak kita," katanya.
Keprihatinan mengenai apa yang diajar di sekolah-sekolah mengenai konflik di Gaza itu timbul pada Februari lalu, dengan beberapa catatan online mendakwa para pelajar diberikan naratif yang bersifat berat sebelah atau tidak objektif.
Ini mendorong MOE untuk menangani isu tersebut, sambil menjelaskan pada 25 Februari lalu bahawa CCE mengenai konflik Israel-Hamas direka untuk membantu para pelajar merenung cara untuk menjaga perpaduan dan keharmonian dalam sebuah masyarakat berbilang kaum.
Ia tidak bertujuan menjadi kelas sejarah mahupun menentukan pihak mana yang betul atau salah, kata Encik Chan, iaitu satu perkara yang beliau ulangi semula di parlimen pada 4 Mac.
Encik Chan berkata hari ini bahawa Singapura memerlukan masa untuk mencapai peringkat di mana ia boleh memberi respons kepada krisis sebagai sebuah negara bersatu.
"Untuk melakukan demikian, kita perlu memahami dan menghargai bahawa kita sangat berbeza.
"Kita mempunyai latar belakang berbeza, kita mempunyai perspektif berlainan.
"Dan walaupun kita mungkin berbeza dari segi pandangan dan perspektif kita, kita semua boleh berkongsi matlamat yang sama untuk bersatu dan tidak membiarkan orang lain memecahbelahkan kita," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.