Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Jangan politikkan kes sogok Nee Soon tanpa memahami apa yang berlaku," kata Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:
"Jangan politikkan kes sogok Nee Soon tanpa memahami apa yang berlaku," kata Shanmugam

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam bercakap kepada para wartawan pada 1 Feb 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 01 Feb 2025 04:03PM Dikemas Kini : 01 Feb 2025 04:06PM
SINGAPURA: Parti-parti politik yang mempolitikkan dan membuat dakwaan mengenai pekerja pembersihan warga asing di Nee Soon GRC yang dipaksa memberi sogokan kepada pengurus mereka, berbuat demikian tanpa benar-benar memahami apa yang berlaku, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam pada Sabtu (1 Feb).

Bercakap kepada para wartawan semasa perasmian Pejabat Majlis Bandaran Nee Soon yang baru diubah elok, Encik Shanmugam berkata ia adalah sesuatu yang menjadi "lumrah dan semula jadi" untuk rakyat Singapura, termasuk parti-parti politik, untuk bertanya soalan mengenai kejadian itu.

“Pekerja-pekerja itu dipaksa memberi sogokan, apa yang dilakukan oleh majlis bandaran? Tetapi malangnya, beberapa, bukan semua, parti politik serta laman berita online … melakukan lebih dari itu dan mempolitikkannya, dan membuat dakwaan tanpa benar-benar memahami apa yang berlaku,” menurut Encik Shanmugam.

“Adalah lebih baik jika mereka bertanya dahulu apa yang berlaku. Dan menyedari bahawa sistem pemberi maklumat di majlis bandaran berfungsi dengan baik.”

Encik Shanmugam ialah menteri bertanggungjawab di GRC Nee Soon, mengetuai pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di sana.

Ho Chiak Hock Derrick, bekas pengurus operasi di sebuah syarikat khidmat penyenggaraan dijatuhi hukuman penjara pada November 2024 selepas mengambil S$396,440 sebagai sogokan daripada pekerja hijrahan selama bertahun-tahun.

Ho, 55 tahun, dikenakan hukuman penjara 24 minggu selepas mengaku bersalah atas 20 tuduhan, dengan 41 tuduhan lain turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Ho bekerja sebagai pengurus operasi untuk Lian Cheng Contracting, di mana dia menerima secara haram antara S$1,500 hingga S$15,500 daripada para pekerja hijrahan di bawah penyeliaannya, untuk memperbaharui permit kerja mereka dan terus bekerja di syarikat itu.

The Straits Times melaporkan pada Jumaat (31 Jan) bahawa kes itu terbongkar menyusuli aduan daripada orang awam mengenai para pekerja pembersihan hijrahan di GRC Nee Soon memberi wang kepada pengurus mereka.

Dalam catatan Facebooknya pada Jumaat, Red Dot United menyebut perkara itu "membimbangkan" dan "sangat tidak boleh diterima sama sekali".

Parti itu, yang diterajui oleh Ravi Philemon, aktif dalam GRC Nee Soon. Catatan yang dimuat naik ke Facebook itu mempersoalkan bagaimana Anggota Parlimen Louis Ng, yang telah berjuang untuk menegakkan hak pekerja hijrahan selama ini, boleh membiarkan penganiayaan seumpama itu.

"Kes ini menekankan keperluan untuk penelitian yang lebih mendalam terhadap peranan majlis bandaran dalam mengawasi kontraktornya," kata Red Dot United dalam catatan Facebooknya.

Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh turut menggunakan Facebook untuk berkongsi ucapan yang dibuatnya pada 2021 yang mencadangkan perubahan kepada undang-undang untuk "membanteras rasuah".

Beliau juga menggesa mereka yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes sedemikian, termasuk syarikat yang diberikan kontrak oleh Majlis Bandaran Aljunied-Hougang atau Sengkang, untuk melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Encik Shanmugam berkata pada Sabtu (1 Feb) bahawa para Anggota Parlimen mengetahui isu itu melalui sistem pemberi maklumat dan "segera mengarahkan" supaya kes itu disiasat.

“Kami memberitahu pihak majlis bandaran. Ini serius; kami mahu ia disiasat. Hantar kepada MOM (Kementerian Tenaga Manusia) dan kami mahu memastikan tindakan sewajarnya diambil.”

"Perkara utama" ialah hak pekerja dilindungi, tambahnya.

"Kami tidak akan berkata, 'Anggota Parlimen adalah orang yang melakukannya,' tetapi memandangkan dakwaan yang dibuat, ia telah memberi kami peluang untuk bercakap tentang apa yang sebenarnya berlaku."

Pihak majlis bandaran terus bekerjasama dengan kontraktor kerana siasatan menunjukkan bahawa hanya satu orang yang menimbulkan masalah ini, kata Encik Shanmugam.

“Ia kesalahan seorang individu, dia telah dihukum, dan sejak 2021 … syarikat itu telah diambil alih oleh orang lain. Anda tidak menghukum orang lain. Ia menggajikan ramai pekerja di Singapura. Pendapatan mereka, keluarga mereka - anda perlu fikirkan itu juga,” kata Encik Shanmugam.

“Anda perlu mengimbangi hukuman dengan kesan terhadap orang lain yang tidak bersalah. Janganlah kita mempolitikkan semua perkara ini," kata Encik Shanmugam, sambil menambah bahawa syarikat itu telah melaksanakan protokol baharu yang "agak ketat".

Ini tidak bermakna perkara ini tidak akan berlaku di Nee Soon atau di tempat-tempat lain, katanya.

“Apabila ia berlaku, anda harus mengambil tindakan. Apa yang penting ialah integriti dan kejujuran Anggota Parlimen. Anda tidak boleh mengatakan perkara yang tidak benar."
 
Sumber : CNA/SK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan