Skip to main content

Singapura

"Jangan marah atau takut.": Izzat Rusydi tekad jadi Pegawai Penguat Kuasa luar tuntutan tugas

Bayangkan berjalan sehingga 20,000 langkah setiap hari di bawah terik matahari dalam keadaan berpuasa. Mendengarnya sahaja sudah cukup untuk membuat sesiapa sahaja mengeluh.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bayangkan berjalan sehingga 20,000 langkah di bawah terik matahari dalam keadaan berpuasa. Mendengarnya sahaja sudah cukup untuk membuat sesiapa sahaja mengeluh.

Namun itulah yang perlu dilakukan Encik Izzat Rusydi Jufri, seorang pegurus kanan di Majlis Belia Kebangsaan.

Ketika 'circuit breaker' baru-baru dikuatkuasakan, beliau dikerahkan sebagai seorang pegawai penguat kuasa.

Encik Izzat harus 'meronda' sekurang-kurangnya dua kali seminggu di sekitar kawasan kejiranan demi memastikan orang ramai mematuhi langkah-langkah jarak selamat.

Ini dilakukan selama sekitar lima jam, dari pukul 9.00 pagi.

Selepas berkhidmat sebagai seorang pegawai penguat kuasa, pemuda berusia 32 tahun ini tetap perlu memenuhi tuntutan kerjanya seperti biasa, selain perlu mengimbang masa sebagai seorang suami dan juga bapa.

Related article image

Sungguhpun demikian, ramai mungkin tidak mengetahui jerih payah yang dilaluinya ini - kecuali mengenali mereka sebagai seseorang yang mengeluarkan saman.

TUGAS UTAMA BUKAN UNTUK SAMAN ORANG

Hakikatnya, tugas utama seorang pegawai penguat kuasa bukanlah untuk menyaman sahaja.

"Tugas kita bukan untuk membuat hidup penduduk susah. Kami hanya mahu mengingatkan orang ramai supaya duduk di rumah dan kalau perlu keluar beli makan atau apa-apa, terus pulang ke rumah. Jangan berlengah-lengah," jelas Encik Izzat kepada BERITAmediacorp.

"Jadi bila kita mendekati anda, jangan marah atau takut."

Bagi dirinya sendiri, beliau belum mengeluarkan walau satu pun saman sepanjang hampir tiga minggu berkhidmat.

Ini meskipun beliau acap kali melihat ada yang tidak mematuhi peraturan-peraturan dalam tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 sekarang ini.

FAHAM SEBAB MENGAPA WARGA EMAS TIDAK DUDUK RUMAH SAJA

Encik Izzat mendapati warga emas merupakan golongan yang sering tidak melakukan apa yang ditetapkan - seperti mengambil angin di tempat-tempat awam dan tidak memakai pelitup dengan cara yang betul.

Related article image

Beliau bagaimanapun sekadar mendekati dan menasihati mereka. Bagi para pegawai penguat kuasa, saman hanya akan dikeluarkan jika penduduk enggan mematuhi arahan walaupun sudah dinasihati secara baik.

"Saya bayangkan diri saya dalam kedudukan mereka. Saya cuba fahami yang mereka bukan sengaja melakukan kesalahan. Mereka itu bosan atau mahu mengambil angin saja," ujar Encik Izzat.

Beliau juga percaya, warga emas melakukan itu kerana mereka "tidak ada apa-apa untuk lakukan di rumah atau mereka keseorangan".

"Kita cuba untuk tidak mengeluarkan saman. Kalau ia kes 'simple' (biasa), kita mahu mengingatkan mereka sahaja. Kadangkala mereka memang benar-benar terlupa. Harus dan wajar diberi peluang," tambah beliau.

Related article image

Ada juga warga emas yang duduk di tempat awam buat seketika kerana letih berjalan dan perlu berehat sebentar.

JUMLAH SAMAN TURUN LEBIH 40%; RAMAI KIAN PATUH

Meskipun demikian, umumnya orang ramai kian mematuhi semua peraturan pada tempoh 'circuit breaker' ini.

Menurut Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) kepada BERITAmediacorp, jumlah saman dikeluarkan atas kesalahan tidak menjaga jarak selamat pada minggu ketiga tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 jatuh lebih 40% berbanding minggu sebelumnya.

Saman dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai pelitup pula turun sekitar 38% bagi tempoh masa yang sama.

Related article image

Dapatan ini selaras dengan pemerhatian Encik Izzat.

"Biasanya para penduduk semuanya patuhi arahan. Mungkin ada satu atau dua terlupa tetapi sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mengingatkan mereka memakai pelitup atau menjaga jarak selamat," jelas Encik Izzat.

Insiden paling "teruk" yang pernah beliau hadapi hanyalah ketika seorang warga emas enggan berganjak dari tempat awam.

"Saya mengingatkannya untuk pulang ke rumah tetapi dia buat-buat tidak dengar. Jadi dia duduk saja di situ. Tapi selepas saya membuat pusingan dan kembali ke tempat sama, dia sudah tidak lagi di situ," ceritanya.

ADA JUGA KENANGAN MANIS

Baru-baru ini, insiden kurang elok yang dikatakan dilalui pegawai seperti Izzat - termasuk diherdik dan ada hingga ditampar - menarik perhatian ramai.

Namun Encik Izzat menafikan, ia bukan norma dalam menjalani tugasan mereka. Sebaliknya, ramai juga yang menyapa dan bertanya khabar ketika beliau sedang meronda.

"Pernah sekali saya dan rakan sepasukan sedang menunggu untuk melintas jalan raya. Tiba-tiba ada seorang wanita Cina tersenyum kepada kami dan terus mengucapkan terima kasih kerana menjalankan tugas ini," kata Encik Izzat.

"Saya memang terharu."

Related article image

Perkara-perkara itu juga memberinya sedikit kepuasan walaupun rasa "dahaga dan letih" kerana perlu banyak berjalan. Encik Izzat juga yakin, masa dan tenaga yang diluangkan ini adalah demi kebaikan orang ramai.

"Saya ada sedikit masa, saya mahu menjalankan tanggungjawab saya untuk memastikan rakyat kita semua selamat. Meluangkan dua atau tiga hari seminggu melakukan ini adalah cara saya memainkan peranan dalam menghadapi krisis sekarang ini."

Keseluruhannya, terdapat 3,000 pegawai penguat kuasa, duta jarak selamat dan SG Clean yang berkhidmat buat masa ini. Mereka kesemuanya dari hampir 50 agensi kebangsaan.

Ada juga merupakan bukan kakitangan awam, iaitu mereka dari sektor pelayanan dan penerbangan serta para relawan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita