Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Jangan jadikan makanan sebagai senjata," gesa Vivian Balakrishnan di Sidang G20

Anggaran Waktu Membaca:
"Jangan jadikan makanan sebagai senjata," gesa Vivian Balakrishnan di Sidang G20

(Gambar: MFA)

Diterbitkan : 09 Jul 2022 10:40AM Dikemas Kini : 09 Jul 2022 10:40AM

SINGAPURA: Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan menggesa negara-negara anggota perkumpulan G20 supaya "berhenti menggunakan makanan sebagai senjata" dalam sesi mengenai keselamatan makanan dan tenaga di Mesyuarat Menteri Luar G20 di Bali pada Jumaat (8 Jul). 

Dalam ucapannya, Dr Balakrishnan menyifatkan Singapura sebagai "pengimport makanan mutlak", sambil menarik perhatian bahawa makan minum rakyatnya terpaksa diimport. 

"Krisis makanan, tenaga dan air sudah muncul sejak beberapa tahun kebelakangan ini tetapi kitalah yang memburukkan lagi keadaannya," katanya lagi. 

"Marilah kita hapuskan semua alasan atau penjelasan yang keterlaluan. Marilah kita memudahkan aliran makanan." 

Tambah Dr Balakrishnan, "peranan utama" G20 sekarang adalah untuk "sekurang-kurangnya membawa keluar bijiran dari kedua-dua Laut Azov dan Laut Hitam ke pasaran dunia". 

Penghantaran bijiran tertangguh di kedua-dua pelabuhan disebabkan oleh konflik berterusan di Ukraine, menyebabkan gangguan pada rantaian bekalan dunia. 

Dr Balakrishnan turut menegaskan betapa pentingnya untuk terus membuka sempadan dan "mengelak daripada mengamalkan dasar perlindungan". 

"Ini adalah tanda-tanda penting, hakikatnya ia amat merugikan di peringkat global," katanya. 

Menurut Dr Balakrishnan lagi, negara-negara dunia perlu mengubah sistem makanan mereka untuk "meningkatkan penghasilan". 

"Tanpa peningkatan ketara pada teknologi dan penghasilan makanan, kita tidak akan dapat mengatasi kekangan ini," katanya. 

"Saya sedia maklum bahawa sesetengah negara beroperasi mengikut dasar berjaga-jaga, tetapi kita harus bersikap realistik tentang bagaimana kita akan memastikan terdapat makanan untuk penduduk sejagat yang jumlahnya semakin meningkat." 

"Begitu juga dengan penangkapan ikan secara haram, tidak dikawal dan tidak dilaporkan (IUU), kerana apabila bekalan ikan kita kehabisan, kita hanya menimbulkan masalah pada diri kita sendiri. Bagi sebahagian daripada kita, kita harus bergantung kepada akuakultur.

"Kita juga perlu mempunyai teknologi dan mampu melakukannya dengan cara yang mampan."

Dr Balakrishanan turut menarik perhatian kepada betapa pentingnya untuk membangunkan tenaga hijau sambil menyifatkannya "bukan sahaja sebagai isu hijau, bukan sekadar isu daya bingkas, tetapi isu mengenai keselamatan negara". 

"Ini sekali lagi menunjukkan betapa pentingnya untuk kita saling bekerjasama, mengongsi hasil Penyelidikan dan Pengembangan (R&D), memudahkan perdagangan tenaga rentas sempadan yang boleh diperbaharui  dan rantaian bekalan yang akan menyokongnya," kata Dr Balakrishnan. 

"Saya juga ingin menambah bahawa bagi mereka yang mempunyai keupayaan untuk menjana tenaga nuklear yang selamat bagi orang awam - ia juga boleh digunakan. 

"Jika tidak, dalam jangka pendek, sedang kita membuat peralihan tenaga ini, batu arang akan kekal sebagai sebahagian besar penjanaan tenaga. 

"Saya menggesa G20 supaya berhenti menggunakan makanan sebagai senjata, memastikan bekalan makanan dapat merentas sempadan, menyokong penyelidikan dan pengembangan, dan membantu kita membangunkan dunia yang mampan di mana kita boleh memberi makanan kepada penduduk dan tidak memburukkan lagi keadaan," kata Dr Balakrishnan selanjutnya. 

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa