Skip to main content

Singapura

Jangan guna Star Cream untuk ruam lampin; bayi dimasukkan ke hospital kerana racun steroid: HSA

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan dimasukkan ke hospital kerana keracunan steroid selepas produk dikenali sebagai Star Cream digunakan untuk merawat ruam lampinnya.

Bayi itu kemudiannya disahkan menghidap sindrom Cushing, keadaan perubatan serius disebabkan oleh penggunaan steroid yang berpanjangan, kata Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Khamis (9 Jun).

Kandungan steroid kuat, clobetasol, dan ketoconazole, sejenis antikulat, dikesan dalam beberapa sampel krim.

HSA menyatakan bahan-bahan tersebut "boleh menimbulkan risiko kesihatan yang serius, terutamanya pada bayi dan kanak-kanak, jika digunakan tanpa pengawasan perubatan".

Ibu bapa bayi itu telah membeli Star Cream secara online atas cadangan pengasuh mereka, dan menggunakan produk tersebut sejak anak lelaki mereka berumur dua minggu.

"Dia terus muntah-muntah, matanya tidak normal dan ubun-ubunnya membonjol, selaras dengan tanda peningkatan tekanan otak, " kata HSA.

Bayi itu sudah dibenarkan keluar dari hospital dan sedang pulih di rumah, tetapi HSA berkata kanak-kanak itu akan memerlukan penjagaan susulan jangka panjang untuk memantau kesan sampingan keadaannya.

Bahan clobetasol steroid, yang dikesan dalam sampel Star Cream yang diuji HSA, biasanya diberi untuk merawat keadaan keradangan dan hanya boleh digunakan di bawah pengawasan perubatan yang ketat, kata pihak berkuasa.

Penggunaan steroid jangka panjang tanpa pengawasan boleh menyebabkan paras gula dalam darah meningkat (yang mungkin menyebabkan kencing manis), tekanan darah tinggi, katarak, gangguan otot dan tulang serta peningkatan risiko jangkitan.

Ia juga boleh menyebabkan sindrom Cushing, yang menyebabkan wajah kelihatan bulat atau "muka bulan" dan obesiti pada bahagian atas badan dengan lengan yang kurus.

HSA memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan Star Cream, yang dijual di platform e-dagang tempatan Carousell dan Shopee, dan di Facebook.

Star Cream dipasarkan sebagai "krim buatan sendiri yang mengandungi ekstrak herba semulajadi" bebas steroid, dengan ciri antibakteria dan antikulat.

Ia juga diiklankan sebagai sesuai untuk semua jenis kulit, dan untuk merawat keadaan seperti ekzema hingga psoriasis dan gigitan nyamuk.

"Terdapat juga beberapa ulasan pengguna di (Carousell dan Shopee) bahawa krim itu memberi kelegaan bagi pelbagai penyakit kulit kronik," kata HSA.

Pihak berkuasa itu menyatakan ia telah bekerjasama dengan Carousell, Shopee dan Facebook untuk mengeluarkan produk tersebutdaripada senarainya.

"Penjual sedang membantu HSA dalam siasatannya," tambah badan tersebut.

HSA menggesa mereka yang menggunakan Star Cream untuk berjumpa doktor "secepat mungkin".

Pihak berkuasa memberi amaran kepada penjual dan pembekal untuk menghentikan penjualan Star Cream serta-merta.

"HSA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap sesiapa sahaja yang menjual dan/atau membekalkan produk yang didapati dicemari dengan ramuan ubat yang berbahaya," kata pihak berkuasa.

Mereka yang didapati menjadi pembekal atau penjual Star Cream boleh didakwa dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga S$10,000 dan/atau penjara sehingga dua tahun.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penjualan dan pembekalan Star Cream boleh menghubungi Cawangan Penguatkuasaan HSA di talian 6866-3485 pada waktu pejabat, atau melalui e-mel di hsa_is [at] hsa.gov.sg
Sumber : CNA/SU/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita