Jangan buka, jawab emel notis cukai belum dibayar kononnya dari IRAS
Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) mengeluarkan amaran kepada orang ramai agar jangan membuka atau membalas emel daripada pengirim yang menyamar sebagai pengutip cukai, selepas ia dimaklumkan tentang pesanan sedemikian.

Gambar: IRAS
SINGAPURA: Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) mengeluarkan amaran kepada orang ramai agar jangan membuka atau membalas emel daripada pengirim yang menyamar sebagai pengutip cukai, selepas ia dimaklumkan tentang pesanan sedemikian.
Dalam satu makluman yang dikeluarkan pada Jumaat (12 Nov), IRAS menyatakan emel itu kononnya daripada "Penguasa Cukai Pemerintah Singapura" dengan subjek "Bayaran cukai tertunggak".
Emel itu juga mendakwa penerimanya mempunyai cukai yang belum dibayar dan seharusnya pergi ke bank atau pejabat cukai dengan melampirkan resit cukai dalam emel tersebut.
"IRAS ingin menasihatkan sesiapa yang menerima emel-emel itu supaya tidak membukanya, dan jangan membalasnya, mendedahkan sebarang maklumat peribadi, membuat bayaran mahupun memuat turun sebarang lampiran dalam emel itu," menurut penguasa cukai itu.
Dokumen-dokumen tersebut, menurutnya mungkin mengandungi perisian hasad.
IRAS turut menyatakan bahawa emel-emel rasmi daripada agensi tersebut berakhir dengan @iras.gov.sg.
"IRAS tidak mengirimkan kenyataan bayaran pembayar cukai dan notis cukai menerusi emel. Ia sebaliknya dinyatakan menerusi portal myTax dan pembayar cukai perlu melanggan masuk menggunakan Singpass (identiti digital) mereka," tambah IRAS.
Mereka yang terjejas oleh penipuan itu dinasihati agar memfailkan aduan polis.
Pada Ogos lalu, IRAS turut mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya tidak menjawab panggilan menerusi khidmat pesanan WhatsApp daripada individu-individu yang kononnya daripada agensi itu, selepas ia menerima aduan tentang penipuan sedemikian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.