Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jangan biar perbezaan lemahkan kontrak sosial di S'pura, seru Heng Swee Keat

Rakyat Singapura tidak boleh membiarkan perbezaan-perbezaan antara mereka melemahkan ikatan kontrak sosial di negara ini

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan biar perbezaan lemahkan kontrak sosial di S'pura, seru Heng Swee Keat

DPM Heng Swee Keat di majlis Anugerah Jauhari, 11 Oktober 2019. (Gambar: BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Rakyat Singapura tidak boleh membiarkan perbezaan-perbezaan antara mereka melemahkan ikatan kontrak sosial di negara ini. Malah, sedang masyarakat bertambah rencam, ruang-ruang bersama mesti diluaskan dan mereka harus saling mengajak kepada satu matlamat yang sama demi masa depan kita.

Demikian ditekankan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat.

Beliau berkata bahawa tiada huraian mudah bagi cabaran-cabaran seperti gangguan ekonomi, ketidaksamarataan sosial, penduduk yang kian menua, perubahan iklim sera pengurusan ketegangan geopolitik.

"Tiada satu negara pun yang sudah menemui huraian kepada semua isu tersebut. Malah, di banyak negara, cabaran-cabaran ini mencetuskan persengketaan dan perpecahan antara masyarakat berbilang kaum dan agama, dari generasi ke generasi," kata Encik Heng.

Lantaran itu, beliau dan rakan-rakan pemimpin Generasi Keempat (4G) komited untuk bekerjasama "dengan rakyat Singapura, demi Singapura".

CIPTASAMA@M³ KERJASAMA DENGAN PEMERINTAH

Antara usaha yang beliau lihat dapat membantu menjalin kerjasama lebih utuh antara rakyat dengan Pemerintah adalah menerusi inisiatif baru M³, iaitu CiptaSama@M³.

"Saya gembira M³ akan memulakan siri pendampingan masyarakat CiptaSama@M³. Saya ingin mendengar idea-idea masyarakat tentang bagaimana mereka boleh bekerjasama dengan Pemerintah di kesemua lapan M³@Bandar, untuk memikirkan huraian-huraian yang diterajui masyarakat bagi isu-isu masyarakat," kata beliau.

Encik Heng berkata demikian semasa berucap di majlis Anugerah Jauhari anjuran Berita Harian, yang diadakan di Hotel One Farrer malam ini (11 Okt).

HABIB HASSAN JULANG ANUGERAH JAUHARI

Tahun ini, anugerah itu diberikan kepada Imam Masjid Ba'alwie, Syed Hassan Al-Attas atau lebih mesra dikenali sebagai Habib Hassan, yang memperjuangkan kerja-kerja silang agama.

Habib Hassan bukan sekadar memberi ceramah agama kepada para jemaah. Beliau, kata Encik Heng, juga berusaha gigih untuk menjalin persahabatan dengan masyarakat-masyarakat dari agama lain dan kumpulan-kumpulan akar umbi.

DPM Heng menambah, komitmen Habib Hassan selama bertahun-tahun untuk menggalak keharmonian agama, menjadikan beliau tunggak kekuatan dan perpaduan masyarakat.

"Pemimpin agama seperti Habib Hassan adalah peran contoh bagaimana para pemimpin dari agama-agama berlainan boleh menggalak keharmonian dalam kalangan masyarakat yang rencam," kata Encik Heng.

Seorang anak muda, Muhammad Dhafer Muhammad Faishal, turut diberi penghargaan menerusi anugerah Jauhari Harapan.

Muhammad Dhafer baru-baru ini menerima Biasiswa Presiden dan merupakan anak Melayu/Islam ketiga yang dianugerahi basiswa paling berprestij itu.

HENG PUJI KEPERIBADIAN, KECEKAPAN, KEWARGANEGARAAN MELAYU S'PURA

Menurut DPM Heng, kecemerlangan Habib Hassan dan Muhammad Dhafer mencerminkan kemajuan masyarakat Melayu/Islam setempat.

Beliau memuji keperibadian, kecekapan dan semangat kewarganegaraan yang ditonjolkan masyarakat Melayu.

Keperibadian orang Melayu Singapura, kata Encik Heng, menyerlah menerusi kerja keras, kerjasama dan semangat mereka untuk berkhidmat.

"Mereka yang berjaya tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik," tambah Encik Heng.

Masyarakat Melayu/Islam Singapura juga mengamalkan agama dengan baik dan dalam masa yang sama mereka turut bergaul dengan masyarakat dari agama yang lain.

"Contohnya, masyarakat Melayu/Islam kita mengambil langkah untuk memperdalam pemahaman dan memupuk sikap saling hormat menghormati dan saling percaya mempercayai antara masyarakat berlainan kaum dan agama di Singapura," ujar Encik Heng.

Sekalipun demikian, Encik Heng membayangkan betapa ketiga-tiga ciri itu semakin lama semakin penting, lebih-lebih lagi dengan cabaran-cabaran rumit yang perlu diharungi hari ini.

Namun beliau yakin, dengan kerjasama utuh antara masyarakat dengan Pemerintah, huraian-huraian kreatif yang diperlukan bagi menangani cabaran-cabaran rumit itu boleh dicari demi membina masa depan yang lebih cerah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan