Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jamiyah SG iktiraf Zhang Shupei - Ibu Teladan, Siti Fatinnurain Musa - Ibu Muda Teladan 2023

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Membina Singapura yang sesuai buat keluarga memerlukan komitmen dan usaha dari setiap lapisan masyarakat, termasuk pemerintah.

Demikian ditekankan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Indranee Rajah, semasa acara penyampaian Anugerah Ibu Teladan ke-30 dan Anugerah Ibu Muda kelima 2023 anjuran persatuan Jamiyah Singapura.

Dalam ucapan beliau, Cik Indranee menyatakan bahawa semua orang boleh memainkan peranan untuk menyokong keluarga.

Ini kerana setiap keluarga berdepan dengan masalah dan cabaran tersendiri. Dengan itu, sokongan kukuh daripada orang di sekeliling penting untuk memastikan para ibu dapat terus bangkit dan memandang ke hadapan.

"Majikan harus memupuk budaya tempat kerja yang mesra keluarga, prihatin dengan pekerja dengan aturan yang bersesuaian. Rakan-rakan kongsi masyarakat juga memainkan peranan penting dalam menyokong dan mengukuhkan keluarga melalui pelbagai program dan inisiatif," kata Cik Indranee Rajah.

Ini termasuk penglibatan golongan bapa dalam urusan rumahtangga.

"Sejak pengenalan Cuti bapa dibayar Pemerintah, kadar mereka yang mengambil cuti ini meningkat, daripada 25 peratus pada 2013 kepada lebih 50 peratus hari ini," kata Cik Indranee Rajah.
PEMENANG ANUGERAH IBU TELADAN JAMIYAH SG 2023

Seiringan dengan tema "Mutiara Sepanjang Masa", acara pada Sabtu (2 Sep) mengiktiraf pengorbanan dan kecekalan para ibu dalam membesarkan anak-anak serta menjadi teras utama sebuah keluarga.

Inilah antara ciri-ciri yang dipaparkan pemenang Anugerah Ibu Teladan tahun ini, Cik Zhang Shupei, yang sanggup bersengkang mata untuk meraih pendapatan lebih demi membesarkan anak-anaknya sebagai ibu tunggal.

"Setiap cabaran saya beritahu diri saya bahawa saya boleh atasinya. Saya beritahu diri saya, saya harus membesarkan anak saya dengan baik dan memberikan mereka pendidikan yang baik jadi saya berikan yang terbaik, bekerja keras, tidak tidur dan saya dapat lakukannya," kata Cik Zhang.

Selepas perceraian dengan suami pertamanya, Cik Zhang melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjual kuih dan cuci pinggan mangkuk di kedai kopi untuk membesarkan dua orang anaknya yang masih bersekolah.

Meskipun dalam kesibukan itu, Cik Zhang masih mencari masa untuk terus menyumbang kepada masyarakat untuk membantu golongan yang memerlukan.

Beliau dipilih daripada lima finalis dan membawa pulang piala dan S$6,000.

Para finalis lain ialah pegawai bank Hazizah Mohamed Hussein, ejen hartanah Meharoon Nisha Hasan Farook, peniaga Rabiah Dawi dan usahawan, Rilla Melati Bahari.

PEMENANG ANUGERAH IBU MUDA TELADAN JAMIYAH SG 2023

Anugerah Ibu Muda Teladan tahun ini pula diberikan kepada ibu yang menjadi penjaga sah kepada dua kanak-kanak kurang upaya.

Cik Siti Fatinnurain membawa pulang S$2,000 dan piala.

Beliau pada mulanya tidak menjangkakan kemenangan itu kerana akur para finalis yang lain juga hebat-hebat belaka.

Mereka ialah suri rumah sepenuh masa Erma Maulood dan guru pelatih bahasa Mandarin Guo Nannan.

"Saya sangat berbesar hati menerima anugerah ini dan secara jujur saya tidak menjangkakan akan menang kerana ada lebih ramai ibu-ibu di luar sana yang mempunyai kisah-kisah yang sangat memberikan kesan," kata Cik Siti Fatinnurain Musa.

Dengan kemenangannya itu, beliau berhasrat untuk membantu kanak-kanak kecil yang memerlukan bantuan dari segi pertuturan.

"Melangkah ke hadapan saya berfikir untuk mendapat sokongan Jamiyah untuk mendapatkan sebuah bilik supaya saya boleh membantu kanak-kanak kecil di Jamiyah kerana saya ingin membantu mereka yang ada masalah kewangan dan memperkenalkan terapi bertutur buat mereka," kata Cik Siti.

Ini merupakan kali kelima Anugerah Ibu Muda Teladan diberikan dan sudah genap 30 kali Anugerah Ibu Teladan diraikan.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita Jamiyah SG, Roza Ahmad, berharap agar acara tahunan ini dapat diteruskan untuk mengiktiraf para ibu atas jasa mereka buat keluarga dan masyarakat.

"Tidak kira mereka seorang pekerja ataupun suri rumah tangga, ini amat penting untuk generasi akan datang untuk selalu mengenang jasa budi seorang ibu," kata beliau.

Acara itu berlangsung di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands siang tadi (2 Sep).

 
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan