Jamiyah SG iktiraf 2 individu atas sumbangan luar biasa galak keharmonian silang agama
Golongan belia memainkan peranan penting dalam usaha memelihara keharmonian antara agama di negara ini.
SINGAPURA: Golongan belia memainkan peranan penting dalam usaha memelihara keharmonian antara agama di negara ini.
Menteri Kanan Teo Chee Hean berkata demikian di majlis penyampaian Anugerah Silang Agama Teladan anjuran Jamiyah Singapura pada Sabtu (19 Okt).
Encik Teo, yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, menyatakan bahawa keharmonian antara agama adalah elemen penting dalam identiti rakyat Singapura.
Walaupun ia mungkin dianggap biasa di sini, realitinya sangat berbeza dalam banyak masyarakat lain di seluruh dunia, di mana ketegangan dan konflik antara agama sering terjadi.
Bagi mengekalkan keharmonian tersebut, beliau menggesa para belia supaya mempertahankan nilai-nilai serta tradisi generasi lebih tua.
"Pertubuhan-pertubuhan masyarakat dan para individu memainkan peranan yang penting. Ia bukan suatu arahan dari atas ke bawah, tetapi harus wujud secara sendiri, iaitu kami sebagai rakyat Singapura, sebagai anggota masyarakat kita sendiri, ingin miliki. Inilah masyarakat yang kita inginkan," kata Encik Teo Chee Hean.
ANUGERAH SILANG AGAMA TELADAN IKTIRAF SUMBANGAN LUAR BIASA
Anugerah Silang Agama Teladan tahun ini adalah yang kedua anjuran Jamiyah Singapura.
Ia mengiktiraf sumbangan luar biasa individu dalam mempromosikan pemahaman dan kerjasama antara pelbagai agama.
Presiden Singapore Buddhist Lodge, Encik Tan Lee Huak, menerima Anugerah Silang Agama Teladan, sementara Master Benjamin Tan dari Persekutuan Tao Singapura diberi Anugerah Kepimpinan Belia Silang Agama.
Master Benjamin Tan telah menerajui program-program kreatif yang menjadikan perbincangan silang agama relevan kepada golongan muda.
Beliau telah menganjurkan festival seni silang agama dan acara sukan, mempamerkan kepelbagaian keagamaan dengan cara yang kreatif.
"Apa yang saya harapkan adalah agar lebih ramai belia tampil ke hadapan dan berbincang secara terbuka tentang apa yang mereka inginkan dalam hubungan antara agama, serta apa yang akan mereka lakukan dalam masyarakat berbilang agama," ujarnya.
Naib Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Jamiyah Singapura, Encik Jaffar Mydin berkata inisiatif itu diharap dapat membentuk generasi baharu yang memperjuangkan keharmonian antara agama.
"Inisiatif ini penting untuk memastikan keharmonian kaum dan agama terus dipupuk untuk masa hadapan. Jadi melalui inisiatif ini, kami mahu membentuk generasi baru yang memperjuangkan keharmonian antara agama dan juga menghargai mereka yang telah berjasa.
"Kami harap ini akan menggalakkan perbincangan berterusan dan usaha dari masyarakat untuk membina hubungan antara komuniti. Jadi, matlamat utama adalah memperkukuhkan keharmonian sosial di Singapura," kata Encik Jaffar.
Acara itu juga menampilkan ‘Dialog Antara Agama: Suara Belia’, yang dihadiri 120 peserta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.