Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jamiyah, pertubuhan akar umbi West Coast lancar pusat sehenti bersepadu untuk penduduk memerlukan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 160 keluarga memerlukan di daerah West Coast kini boleh meraih manfaat daripada sebuah pusat perkhidmatan bersepadu sehenti yang baru, Jampacked@West Coast.

Ia merupakan hasil kerjasama antara Jamiyah Singapura dan Pertubuhan Akar Umbi West Coast.

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri
Pusat sehenti itu menyediakan bantuan catuan makanan dan pelbagai perkhidmatan masyarakat seperti program pembangunan belia, kaunseling dan rujukan undang-undang.

Majlis pelancarannya semalam (7 Mei) dihadiri tetamu terhormat, Menteri Pengangkutan dan Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Encik S Iswaran.

BANK MAKANAN MINI MASYARAKAT
Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Bank makanan itu adalah yang kedua seumpamanya.selepas pelancaran pusat pertamanya di Bukit Batok pada September 2021.

"Kami memilih kawasan West Coast kerana dalam kalangan para penerima bantuan kami, kawasan West Coast mempunyai bilangan tinggi keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah," kongsi Naib Presiden I dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Jamiyah Singapura, Encik Jaffar Mydin.

"Jadi sejajar dengan itu, kami melakarkan dan menawarkan program-program bantuan dan pembangunan keluarga yang menyasarkan dan memberi manfaat kepada keluarga sedemikian iaitu para ibu bapa muda dan belia," tambah beliau.

Bank makanan mini itu menawarkan pelbagai keperluan harian termasuk makanan segar seperti buah, sayur-sayuran, beras, mi, milo dan biskut.

Para penerima bantuan yang layak akan menerima kad yang mengandungi kredit bulanan dengan nilai S$50 yang boleh mereka gunakan untuk berbelanja di sana.

Cara ini memperkasa para penerima bantuan untuk mendapatkan barangan mengikut keperluan keluarga masing-masing.

Ini berbeza dengan bantuan makanan bulanan yang disediakan Jamiyah sebelum ini, di mana para penerima mendapat pakej makanan yang ditetapkan.

TUMPUAN DIBERIKAN KEPADA BELIA DAN ANAK-ANAK BERSEKOLAH

Jampacked@West Coast juga akan melengkapi khidmat masyarakat sedia ada menerusi pelbagai program untuk keluarga.

Ini termasuk program memperkasa ibu bapa, pasangan berumahtangga, ibu tunggal, selain bimbingan akademik bagi kanak-kanak dan belia.

Lebih banyak tumpuan akan juga diberikan kepada belia dan anak-anak yang masih bersekolah, sesuai dengan
demografi penduduk di daerah itu.

Program-program seperti bimbingan akademik dan pembelajaran emosi seni dan sosial akan dijalankan mulai bulan depan.

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

"Ia menjangkau golongan yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan, dan juga memudahkan mereka untuk mendapatkan bantuan dan khidmat masyarakat dekat dengan rumah mereka," menurut Encik Jaffar.

"Khidmat masyarakat sebegini juga menekankan keberkesanan yang dapat dicapai melalui kerjasama dan kolaborasi antara badan-badan seperti Jamiyah Singapura, dan akar umbi dalam menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan," tambah beliau.

LENGKAPI USAHA-USAHA DI PERINGKAT NASIONAL

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Encik S Iswaran yang juga penasihat GRO West Coast melahirkan rasa sukacita beliau kepada usaha murni itu

"Sebelum ini, kemudahan ini merupakan sebuah Pusat Penjagaan Pelajar dan mereka (Jamiyah Singapura) meneruskan program ini untuk membantu para pelajar dan keluarga mereka. Jadi ini satu pelengkapan yang penting kerana para keluarga boleh datang sini untuk mendapatkan makanan tetapi juga menyertai kegiatan-kegiatan penting," kongsi Encik Iswaran.

Beliau mengalu-alukan usaha itu kerana ia sebuah inisiatif masyarakat yang saling "melengkapi" usaha-usaha yang dijalankan di peringkat nasional.

"Pada akhirnya, ia adalah untuk memastikan keluarga-keluarga kita mempunyai sokongan yang mereka perlukan untuk mengemudi beberapa cabaran kos kehidupan sedang kami maju ke hadapan sebagai satu masyarakat dan menjaga satu sama lain," kata Encik Iswaran.

Sebuah lagi pusat Jampacked dijangka akan dibuka pada separuh kedua tahun ini di Radin Mas.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan