Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jamiyah perkenalkan program baru dan lancar siri buku kanak-kanak, bantu tingkatkan penguasaan Bahasa Melayu

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA:  Jamiyah Singapura akan memperkenalkan sebuah program baru bagi mengukuhkan lagi penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak lima hingga sembilan tahun yang mengikuti program di pusat-pusat pendidikannya. 

Dipanggil 'Program Literasi Secara Kreatif', ia juga disasarkan kepada kanak-kanak penerima bantuan badan tersebut. 

Menurut Presiden Jamiyah Singapura, Dr Hasbi Abu Bakar, pembelajaran Bahasa Melayu berkait rapat dengan tradisi dan adat resam. 

Oleh itu penggunaan bahan-bahan bacaan yang kaya dengan nilai-nilai moral akan digunakan. 

Salah sebuah bahan bacaan tersebut dilancarkan dalam satu majlis hari ini (20 Mac). 

(Gambar: Syawal Yusoff)

Siri buku kanak-kanak 'Ceria Dengan Cerita' menampilkan 12 buku yang ditulis seorang pendidik mapan yang mempunyai pengalaman mengajar lebih 60 tahun, Profesor Madya Kamsiah Abdullah.

TERAP NILAI MORAL DAN PUPUK MINAT MEMBACA

Setiap buku itu menampilkan kisah-kisah teladan yang diceritakan melalui watak-watak haiwan seperti kucing, tikus, unta, kura-kura dan banyak lagi.

Menurut Dr Kamsiah, selain menjadi tarikan, penggunaan watak-watak itu juga memudahkan penceritaan.

Menurutnya, ia sesuai digunakan sebagai bahan rujukan dalam pembelajaran Bahasa Melayu bagi peringkat Darjah 1 hingga 3 serta memupuk minat membaca anak-anak di rumah.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Tajuk-tajuknya juga turut menarik perhatian: Gajah Yang Nakal, Beruang Yang Berbau Busuk, Beruk Yang Malas dan banyak lagi. 

Bersempena sambutan ulang tahun Jamiyah Singapura yang ke-90 tahun ini, pelancaran siri buku ini merupakan tanda sokongan badan itu bagi usaha-usaha yang memberi manfaat kepada rakyat Singapura dalam bidang seperti pendidikan, kebajikan, seni dan budaya.

Projek yang turut disokong Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew ini mengambil masa kira-kira tiga tahun lalu untuk disiapkan iaitu sejak 2019 lagi.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Harapan saya sebenarnya ialah supaya buku ini dibaca oleh seberapa ramai kanak-kanak, mereka terhibur dengan ceritanya. Cerita ini akan mengilhamkan mereka untuk membuat cerita kadang-kadang ataupun berfikir tentang situasi-situasi yang berbeza dengan situasi hidup mereka.

"Jadi ini akan menyebabkan mereka menjadi lebih kreatif, pandangan mereka lebih luas apabila mereka membaca," kata Dr Kamsiah, yang juga seorang pensyarah adjung di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

BAHAN DALAM BAHASA MELAYU MASIH KEKURANGAN 

Majlis pelancaran yang diadakan secara fizikal di bangunan Pusat Islam Jamiyah turut diserikan dengan kehadiran Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Maliki Osman.

Beliau turut melahirkan penghargaan buat Dr Kamsiah kerana akur 'bukan mudah' untuk menghasilkan buku kanak-kanak. 

"Sebagai seorang profesor saya rasa lebih mudah untuk menghasilkan bahan-bahan ilmiah di peringkat atasan," kata Dr Maliki.

"Bahan-bahan dalam Bahasa Melayu masih berkurangan dan dengan adanya siri bacaan kali ini, kita lihat ada satu lagi siri di mana anak-anak kecil kita akan dapat diperkenalkan moral-moral atau nilai-nilai moral menerusi buku-buku cerita. 

"Saya rasa ini memberi peluang bukan sahaja pada pendidik, para guru dan juga para ibu bapa untuk membiasakan tabiat membaca di kalangan anak-anak mereka," tambahnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Selain digunakan dalam 'Program Literasi Secara Kreatif' Jamiyah Singapura, buku-buku itu juga akan diedarkan ke sekolah-sekolah di Malaysia, Indonesia dan Brunei menerusi pejabat-pejabat kedutaan dan suruhanjaya tinggi tahun ini.

"Sebagai sebuah pertubuhan Islam yang penubuhannya hampir 90 tahun lalu, kebanyakan daripada kegiatan Jamiyah Singapura adalah projek-projek sosial dan kebajikan masyarakat terutamanya kepada mereka yang kurang bernasib baik tanpa mengira kaum atau agama," kata Ketua Pegawai Operasi dan Setiausaha Agung Jamiyah Singapura, Encik Jaffar Mydin.

Setiap buku daripada 12 dalam siri itu berharga S$8 dan boleh didapatkan di Jamiyah di 6743 1211 atau info [at] jamiyah.org.sg.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan