Skip to main content

Singapura

Jamiyah peringati Nuzul Al-Quran dengan program, kegiatan seisi keluarga

Anggaran Waktu Membaca:
Jamiyah peringati Nuzul Al-Quran dengan program, kegiatan seisi keluarga

Gambar: Jamiyah

Diterbitkan : 08 Apr 2023 08:36PM
SINGAPURA: Pusat Islam Jamiyah bergema dengan lantunan suara merdu para qari dan qariah pada Sabtu (8 Apr).

Majlis tahunan Nuzul Al-Quran anjurannya kembali diadakan secara menyeluruh tahun ini dengan berlalunya pandemik.

Ia bertujuan melibatkan seisi keluarga untuk menghayati Al-Quran.

Selain bacaan para qari dan qariah, sebuah pameran dan pengalaman interaktif turut diadakan.

Sempena Nuzul Quran, lapan qari dan qariah dijemput untuk menyampaikan bacaan yang mengagumkan.

Mereka merupakan johan-johan peringkat negeri dan antarabangsa serta guru-guru Al-Quran.

Mereka termasuk para qari, Ustaz Mohd Sadid, johan Tilawah Al-Quran Kebangsaan Singapura, Ustaz Dasrizal M Nainin, johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa Kuwait serta para qariah, Ustazah Nor Azrah, johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa Malaysia dan Ustazah Widadul Wahidah, Naib Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa Malaysia.

"Majlis Haflah Tilawah Al-Quran ini dapat meningkatkan mutu bacaan Al-Quran para umat Islam di seluruh dunia dan siapa pun yang menonton baik di media sosial ataupun menonton langsung kegiatan ini mudah-mudahan dapat memberikan motivasi kepada mereka untuk selalu dekat dengan Al-Quran, selalu membaca dan berusaha untuk menghafal Al-Quran," kata Ustaz Dasrizal dari Indonesia.
Related article image
Gambar: Jamiyah
Satu sesi khas untuk memupuk rasa cinta dan penghayatan terhadap Al-Quran dalam diri kanak-kanak diadakan menerusi kegiatan-kegiatan menyeronokkan dan interaktif.

Para peserta merupakan murid-murid program 'Little Huffaz' Jamiyah yang melatih para hafiz cilik turut membaca surah-surah daripada Al-Quran.

"Pada tahun lalu majlis ini dapat kami adakan secara hibrid iaitu secara fizikal di Pusat Islam Jamiyah dan disiarkan secara langsung menerusi media sosial. Begitu juga untuk tahun ini. Bezanya tahun ini pengisian majlis Nuzul Quran Antarabangsa lebih menyeluruh dan merangkumi acara-acara untuk kanak-kanak dan orang dewasa serta sesuai untuk seisi keluarga," kata Encik Jaffar Mydin, Naib Presiden 1 dan Ketua Pegawai Operasi Jamiyah Singapura.

Bagi memperingati Nuzul Quran, para pengunjung ke majlis itu juga berpeluang melihat koleksi menarik mushaf dengan pelbagai gaya tulisan dan ciri khas.

Selain itu, para pengunjung dapat melalui Pengalaman Realiti Maya yang membawa mereka ke era Nabi Muhammad lebih 1400 tahun lalu.

Acara ini turut dihadiri Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim selaku tetamu terhormat.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita