Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jamiyah mula edar daging korban; lebih 4,770 keluarga penerima bantuan bakal terima agihan

Anggaran Waktu Membaca:
Jamiyah mula edar daging korban; lebih 4,770 keluarga penerima bantuan bakal terima agihan

Beg-beg sejuk berisi daging korban disusun di ibu pejabat Jamiyah Singapura untuk diagih-agihkan kepada para penderma pada 23 Julai 2022. (Gambar: Jamiyah Singapura)

Diterbitkan : 23 Jul 2022 05:44PM Dikemas Kini : 23 Jul 2022 05:44PM

SINGAPURA: Jamiyah Singapura pada Sabtu (23 Jul) mengagih-agihkan daging korban kepada para penderma yang menjalankan ibadah korban menerusi Program Qurban Tahunan persatuan tersebut tahun ini.

Dengan meningkatnya jumlah penderma bagi ibadah korban tahun ini, Jamiyah Singapura juga akan mengagih-agihkan 14,330 kilogram daging korban yang didermakan kepada sekitar 4,780 keluarga di 30 kawasan undi, menurut persatuan itu dalam kenyataan medianya pada Sabtu (23 Jul).

Ini termasuk penerima catuan makanan dwibulanan persatuan tersebut serta mereka yang anak-anaknya mengikuti program di pusat-pusat pendidikannya.

JUMLAH SEMBELIHAN UNTUK IBADAH KORBAN

Menurut Jamiyah Singapura, sebanyak 875 lembu dan kambing ternakan disembelih di Indonesia untuk ibadah korban tahun ini. Daging korban tersebut diagih-agihkan kepada keluarga memerlukan di Kota Medan, Deli Serdang, Langkat, Mataram dan Lombok Barat.

Sementara itu, 1,723 lembu dan kambing ternakan yang disembelihkan di Australia bagi ibadah korban tahun ini pula dihantar ke Singapura melalui penerbangan.

Semua daging korban sudahpun disusun dan dibungkuskan mengikut jumlah yang ingin diterima para penderma seperti dinyatakan mereka sendiri.

Sekitar 44 peratus penderma memilih untuk mengambil daging korban mereka sendiri dari ibu pejabat Jamiyah Singapura. Waktu pengambilan bermula jam 9.00 pagi tadi dengan para penderma hadir ke sana mengikut waktu yang ditetapkan.

Bagi baki penderma yang memilih untuk daging korban dihantarkan ke rumah mereka pula, Lalamove akan berbuat demikian sehingga esok (24 Jul) melalui kaedah penghantaran tanpa sentuhan.

Buat tahun ketiga berturut-turut, Jamiyah Singapura menyediakan khidmat pandu lalu untuk pengambilan daging korban.

jamiyah korban 2022
Gambar: Jamiyah Singapura

Prosesnya mudah sahaja, dengan pemandu hanya perlu menunjukkan nombor siri yang tertera pada surat pengambilan mereka dan para pegawai kemudian akan meletakkan daging korban - disimpan dalam beg sejuk - ke dalam but kenderaan.

Jamiyah Singapura sudah menawarkan khidmat korban kepada masyarakat Muslim tempatan sejak tahun-tahun 1970-an.

Sebelum COVID-19 melanda, persatuan itu melaksanakan khidmat korban secara langsung - atau LIVE Qurban - yang menyaksikan sehingga 300 kambing disembelih. Daging korban tersebut kemudian didermakan kepada golongan memerlukan dalam masyarakat.

Namun, memandangkan bekalan bagi LIVE Qurban terhad, Jamiyah mula menawarkan khidmat korban di Australia pada 2018 sebagai khidmat tambahan ekoran permintaan tinggi.

Apabila COVID-19 mencengkam pada 2020, persaturan itu melaksanakan sepenuhnya ibadah korban di Australia. Sejumlah 1,036 tempahan dipenuhi dengan 9,649 kilogram daging korban diagihkan kepada 3,553 keluarga di 12 kawasan undi.

Tahun lalu pula, Jamiyah menyediakan khidmat korban bagi lembu dan kambing dari Australia serta Indonesia.

Sebanyak 369 ekor lembu dan kambing yang disembelih di Indonesia diagih-agihkan kepada masyarakat yang terjejas akibat bencana di Palu, Sigi, Donggala, Sulawesi Tengah serta Sumatera Utara.

Bagi 1,512 ternakan yang disembelih di Australia pula, daging korban tersebut dihantar ke Singapura melalui penerbangan.

Sebanyak 4,200 keluarga di 28 kawasan undi menjadi penerima 12,610 kilogram daging korban yang didermakan oleh para sohibul korban.

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa