Jamiyah lancar van amal bank makanan di Bukit Batok; jalin kerjasama agih juadah buka puasa kepada penduduk
Jamiyah Singapura melancarkan sebuah van amal bagi menyokong inisiatif bank makanan 'mini' kendaliannya di Bukit Batok.
(Gambar: Jamiyah Singapura)
SINGAPURA: Jamiyah Singapura melancarkan sebuah van amal bagi menyokong inisiatif bank makanan 'mini' kendaliannya di Bukit Batok.
Van Jampacked itu dilancarkan pada Sabtu (23 Apr) oleh Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Bukit Batok Murali Pillai dan Presiden Jamiyah Dr Mohd Hasbi Abu Bakar.
Demikian menurut Jamiyah Singapura dalam satu kenyataan media pada Ahad (24 Apr).
Van itu akan menyokong usaha mengangkut bantuan makanan daripada penderma di kawasan Bukit Batok bagi bank makanan 'mini' kendalian Jamiyah Singapura iaitu Jampacked@Bukit Batok.
"Kami mendapat banyak sokongan daripada sekolah dan badan-badan di Bukit Batok bagi Jampacked@Bukit Batok dan van ini membolehkan kami untuk menghantar sumbangan makanan kepada kemudahan itu serta mengumpul barangan makanan yang diderma daripada inisiatif makanan amal yang dijalankan di sekolah-sekolah dan pertubuhan lain khususnya di kawasan Bukit Batok," kata Ketua Pegawai Operasi dan Setiausaha Agung Jamiyah Singapura, Jaffar Mydin.
Sejak dilancarkan pada 11 September 2021, inisiatif Jampacked@Bukit Batok sudah membantu lebih 300 penerima bantuan setiap bulan.
“Kami amat bertuah dan berbesar hati kerana Jamiyah Singapura datang ke Bukit Batok.
“Dalam tempoh setahun pembukaan Jampacked@Bukit Batok, ia telah menyentuh hati lebih 400 penduduk dengan pelbagai latar belakang," kata Encik Murali.
AGIHAN PEK BANTUAN 'MEAT FOR EID' KEPADA 156 KELUARGA BERGAJI RENDAH
Di acara yang sama, bungkusan habuan 'Meat For Eid' atau daging untuk Hari Raya turut diagihkan kepada 156 keluarga berpendapatan rendah di Bukit Batok.
Setiap pek habuan mengandungi beras basmati seberat 1 kilogram, daging (lembu atau kambing) seberat 2 kilogram, dua ekor ayam, perencah rendah, ketupat dan serunding.

Selain itu, Encik Murali juga mendermakan 500 gram kurma setiap satu kepada penduduk untuk berbuka puasa.
Tahun ini, Jamiyah Singapura mengagihkan pek habuan "Meat For Eid" kepada 2,000 keluarga di 13 kawasan undi merata Singapura sempena Hari Raya.
LEBIH 4,300 JUADAH BERBUKA PUASA DIAGIHKAN HASIL KERJASAMA DENGAN MAYBANK S'PORE
Sempena bulan Ramadan kali ini, Jamiyah Singapura juga menjalin kerjasama bersama Perbankan Islam Maybank Singapore untuk mengagihkan lebih 4,300 juadah berbuka puasa kepada 870 keluarga berpendapatan rendah.
Sepanjang seminggu bermula hari inim sebanyak 4,970 hidangan bento berbuka puasa diagihkan kepada 142 keluarga di Bukit Batok di bawah Program Iftar Bento Ramadan 2022.
Setiap keluarga akan menerima lima set bento supaya seluruh keluarga dapat berbuka puasa bersama, menurut Jamiyah.

Usaha itu adalah sebahagian daripada Program Bantuan Ramadan Serantau (RRR) kendalian Maybank.
Pada 2022, Kumpulan Maybank mengagihkan keperluan makanan bernilai RM1.5 juta (S$475,522) kepada lebih 8,000 keluarga kurang bernasib baik di 11 negara.
"Kami berbesar hati dapat berganding bahu dengan Jamiyah Singapura untuk mengadakan agihan makanan berbuka puasa dan membantu keluarga berpendapatan rendah.
"Sejajar dengan misi Maybank untuk menyuntik ciri-ciri kemanusiaan terhadap Perkhidmatan Kewangan, kami sudah melancarkan projek kemasyarakatan ini di Singapura sejak 2017, di mana kami mengagihkan bantuan makanan kepada lebih 1,000 keluarga di sini," kata Ketua Perbankan Islam Maybank Singapore, Norzulkarnien Nor Mohamad.
Di acara yang sama, Encik Norzulkarnien turut menyampaikan sumbangan cek S$30,000 kepada Presiden Jamiyah Singapura, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar.
"Kami berharap sumbangan dana Zakat ini dapat membantu Jamiyah dalam usahanya mendampingi penerima bantuan, terutama sekali semasa Ramadan," kata Encik Norzulkarnien lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.