Jamiyah lancar pusat sehenti ketiga, Jampacked@Radin Mas sasar bantu 800 keluarga memerlukan
SINGAPURA: Sehingga 800 keluarga yang memerlukan di kawasan Radin Mas boleh meraih manfaat daripada pusat perkhidmatan bersepadu sehenti baharu, Jampacked@Radin Mas.
Kemudahan hasil kerjasama antara Jamiyah Singapura dengan Pertubuhan-Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Radin Mas adalah yang ketiga selepas pembukaan kemudahan serupa di West Coast dan Bukit Batok sebelum ini.
Pusat yang terletak di Blok 106 Jalan Bukit Merah itu dibuka secara rasmi oleh tetamu terhormat, Anggota Parlimen SMC Radin Mas, Encik Melvin Yong pada Sabtu (3 Ogos).
LEBIH DARI SEBUAH BANK MAKANAN
Pusat itu juga mempunyai sebuah bank makanan mini yang menawarkan pelbagai keperluan harian.
Para penerima bantuan yang layak akan menerima kad yang mengandungi kredit bulanan berjumlah S$50 yang boleh digunakan untuk berbelanja di situ.
Jampacked@Radin Mas menyediakan pelbagai program bimbingan dan perkhidmatan masyarakat yang disesuaikan mengikut keperluan para penduduk di kawasan itu.
"Dalam fasa pertama ini, Jamiyah Singapura bersama dengan penubuhan akar umbi Radin Mas telah mengenal pasti 200 keluarga untuk menyertai program ini. Mereka akan menerima bantuan makanan dan juga perkhidmatan seperti kaunseling, klinik undang-undang, klinik perubatan dan pendidikan untuk anak-anak mereka yang masih bersekolah," kata Naib Presiden Kedua & Ketua Pegawai Strategi Jamiyah Singapura, Mohd Hafidz Abdul Malik.
Pusat itu turut menyediakan program memperkasa keluarga serta aktiviti untuk warga emas bagi melengkapkan perkhidmatan sedia ada di Radin Mas
"Keistimewaan Jampacked@Radin Mas terletak kepada keunikan demografi di sini iaitu adanya dua golongan generasi yang memerlukan bantuan, yang tua dan juga yang muda. Kami akan adakan program-program yang boleh menggabungkan dua generasi ini untuk memupuk keakraban dan kemesraan antara mereka sambil membantu menangani keperluan masyarakat seperti pekerjaan, kesihatan dan pendidikan.
"Kami juga menyediakan program masyarakat untuk warga emas untuk menggalakkan interaksi sosial dan kesihatan mental fizikal dan emosi mereka. Bagi keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, kami tawarkan program-program yang bukan sahaja menyokong akademik, tetapi juga kreativiti seperti muzik dan teknologi," kongsi Encik Hafidz.
PENDUDUK TERUJA DENGAN PEMBUKAAN PUSAT BAHARU
Salah seorang penduduk yang teruja dengan pembukaan pusat itu ialah Encik Mohd Sallehbidin, 72 tahun.
"Saya sangat mengalu-alukan, sudah lama saya menunggu, lebih-lebih lagi orang di kawasan ini seperti mereka yang kurang upaya.
"Kalau boleh sebulan sekali kita dapat melakukan sesuatu (program), untuk merapatkan hubungan antara keluarga di sini, dengan orang-orang yang berbangsa lain juga, sama sama kita melakukan apa-apa rancangan, " kata Encik Mohd Sallehbidin.
Seorang lagi penduduk berhasrat untuk tampil sebagai relawan untuk membantu jiran-jiran lain yang memerlukan.
"Pusat ini membantu mereka yang kurang bernasib baik dan juga ada ramai keluarga berpendapatan rendah di sini. Jadi saya rasa ia memberi manfaat kepada mereka untuk bantu diri dan mendapatkan barangan dapur," kata Cik Subasheny, 41 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.