Jamiyah anjurkan DayaSeni, perluas wadah raikan seni dan warisan Melayu
This audio is generated by an AI tool.
SINGAPURA: Seni warisan Melayu perlu terus diamalkan dan dihidupkan dalam kehidupan seharian, bukan sekadar dipelihara sebagai warisan.
Demikian ditegaskan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, Zhulkarnain Abdul Rahim semasa pelancaran acara DayaSeni di Wisma Geylang Serai pada Sabtu (25 Apr).
Dalam ucapannya, Encik Zhulkarnain yang juga merupakan Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar) berkata: “Ia (DayaSeni) memastikan seni Melayu tradisional bukan sekadar dikenang tetapi diamalkan secara aktif, diajar dengan penuh kegembiraan dan dikongsi dengan bangga kepada generasi muda Singapura.”
Menyifatkan acara sedemikian sebagai satu daya usaha berwawasan, beliau berkata ia selaras dengan Pelan Kesenian Singapura Kita 2023 hingga 2027, yang merupakan sebuah hala tuju strategik pemerintah bagi membimbing dasar seni dan budaya di Singapura.
Bertemakan Tradisi Beraksi, acara itu berlangsung sepanjang hari di Dewan Persada Budaya dan Anjung, menampilkan pelbagai persembahan serta bengkel interaktif, daripada silat dan tarian hingga permainan tradisional seperti gasing.
Ia merupakan satu inisiatif baharu anjuran Jamiyah Singapura yang bertujuan memperbaharui pendekatan dalam memperkenalkan seni tradisional agar lebih relevan dalam konteks masa kini sekali gus membolehkan orang ramai mendekati warisan Melayu secara langsung.
Mengulas lanjut, Encik Zhulkarnain berkata penganjuran DayaSeni telah “mewujudkan sebuah lagi wadah yang bermakna bagi para pengamal seni dan budaya untuk mengasah bakat, menonjolkan kreativiti, dan berkongsi keindahan seni mereka dengan masyarakat luas”.
Beliau turut menekankan bahawa seni, bahasa dan budaya saling berkait dan membentuk satu identiti yang hidup dalam masyarakat.
Dalam pada itu, beliau menggesa penyertaan lebih luas daripada semua lapisan masyarakat dalam membina ekosistem seni yang lebih inklusif, pelbagai dan berdaya di Singapura.
"Ini penting lebih-lebih lagi dalam konteks hari ini di mana kemajuan teknologi dan gaya hidup moden semakin menghakis unsur-unsur halus seni budaya," kata Presiden Jamiyah Singapura, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar.
"Dalam zaman teknologi tinggi dan suasana penuh mencabar yang mementingkan kebendaan, unsur-unsur halus dan murni seperti seni budaya semakin terhakis," tambahnya.
Lantas, usaha seperti DayaSeni dilihat penting untuk menyegarkan semula penghargaan terhadap warisan tradisional.
Ini termasuk memperkenalkan pendekatan yang lebih segar dalam mendekati masyarakat.
Ketua Jabatan Komunikasi Strategik Jamiyah Singapura, Chairul Fahmy Hussaini, berkata: "Jamiyah sebenarnya telah terlibat dalam bidang seni sejak tahun 70an dan 80an lagi. Jadi kali ini kami merasakan dalam keadaan masa yang telah berubah, kami memerlukan pendekatan yang lebih segar"
Lantas DayaSeni dijadikan sebagai "satu wadah baru yang dapat memberi ruang dan peluang kepada para penggiat seni, para aktivis dan para seniman untuk menghasilkan karya-karya lebih baik bukan hanya untuk dinikmati tetapi juga untuk kita mengangkat martabat tradisi dan budaya Melayu di Singapura dan juga di peringkat antarabangsa".
Acara itu turut menghimpunkan kumpulan seni dari Singapura, Malaysia dan Indonesia, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian dan kekayaan warisan Melayu di peringkat serantau.
Jamiyah Singapura juga berharap dapat menjadikan DayaSeni sebagai acara tahunan melalui sokongan dan penyertaan daripada pelbagai kumpulan seni dan budaya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.