Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jamiyah anjur pelbagai kegiatan sempena ulang tahun ke-90

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Jamiyah Singapura akan menganjurkan bukan satu tetapi tiga acara khas pada hujung minggu ini.

Diadakan sempena ulang tahunnya yang ke-90, acara-acara tersebut termasuk 'Jamiyah Family Fest 2022', Festival Budaya Melayu 2022 dan Siri Ceramah Jamiyah 2022.

Ketiga-tiga acara itu akan diadakan di Hab Tampines Kita pada hujung minggu ini (5 hingga 6 Nov).

'Jamiyah Family Fest 2022' dan Festival Budaya Melayu 2022 akan diadakan pada Sabtu manakala Siri Ceramah Jamiyah 2022 akan diadakan keesokan harinya.

JAMIYAH SINGAPURA KERJASAMA DENGAN 10 PERTUBUHAN

Presiden Jamiyah Dr Mohd Hasbi Abu Bakar berkongsi butir-butir semua acara itu di satu sidang media pagi tadi (31 Oktober).

--

Pesta keluarga 'Jamiyah Family Fest' yang bertemakan “Menghidupkan semula semangat kekeluargaan di kampung” ingin menyatukan semua orang, tidak kira kaum dan agama, dengan semangat bergotong royong dan persaingan yang sihat.

Menurut Dr Mohd Hasbi, pesta keluarga itu dijayakan dengan dengan kerjasama 10 pertubuhan berbilang agama termasuk Singapore Buddhist Lodge dan Persatuan Khalsa Singapura.

"Pertubuhan Khalsa Singapura berbesar hati dapat terlibat dalam Jamiyah Family Fest 2022. Acara sebegini amat penting dalam konteks masyarakat berbilang bangsa kami. Kami perlu menyediakan peluang-peluang secara konsisten bagi membina hubungan yang lebih kukuh tidak kira etnik, agar fabrik sosial kita kekal utuh," menurut Setiausaha Am Pertubuhan Khalsa Singapura Encik Prem Singh.

'MEGA FOOD DRIVE' TURUT DIJALANKAN

Para pengunjung boleh menjangkakan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga seperti permainan dan snek-snek tradisional dari kaum berbeza.

Satu usaha mengumpul makanan kering 'Mega Food Drive' juga bakal diadakan sepanjang pesta keluarga itu.

Para penderma boleh meletakkan barangan makanan mereka di dalam kotak-kotak makanan khas yang disediakan di sembilan lokasi di Hab Tampines Kita.

Seramai 5,000 pengunjung dan kira-kira 1,200 penerima bantuan Jamiyah Singapura dijangka hadir di karnival itu

FESTIVAL BUDAYA MELAYU TAMPIL PERSEMBAHAN MENARIK

Festival Budaya Melayu pula akan diadakan pada sebelah malam Sabtu mulai jam 8 malam.

Para pengunjung boleh menjangkakan pelbagai seni persembahan yang menarik seperti persembahan oleh Sri Warisan, Azpirasi Dance, Silat (Persisi), Nadi Singapura dan banyak lagi.

Festival Budaya Melayu itu bukan sahaja satu platform bagi para penggiat seni untuk mempamerkan bakat masing-masing, tetapi juga untuk melestarikan warisan dan budaya.

SIRI CERAMAH JAMIYAH 2022

Buat julung-julung kalinya juga, satu ceramah berjudul Kesihatan Emosi: Cabaran-Cabaran dan Huraian akan diadakan.

Ceramah itu akan disampaikan oleh Shaikh Abu Noman Tarek, seorang ahli psikoterapi dari Kanada.

Ceramah itu disasarkan kepada para pekerja hijrahan dari Bangladesh yang mungkin sedang mengalami gangguan emosi seperti masalah kesihatan dan ketidaktentuan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.

--

"Jamiyah Singapura mempunyai iltizam untuk terus berbakti kepada masyarakat. Tiga acara ini memenuhi keperluan yang berbeza dan ia membolehkan kami untuk terus berhubung dengan mereka yang mendapatkan bantuan dan khidmat kami. Ini adalah salah satu cara untuk kami menyumbang kepada masyarakat, termasuk penderma-penderma, sukarelawan, dan penerima-penerima bantuan," ujar Naib Presiden Kedua dan Ketua Strategi Encik Hafidz Abdul Malik.

Tiada bayaran dikenakan tetapi para pengunjung digalak membuat pra-pendaftaran masuk dan peluang untuk menyertai cabutan bertuah.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan