Jamiyah agih bantuan makanan kepada 100 keluarga susah di Jalan Besar
Sekitar 100 keluarga memerlukan di GRC Jalan Besar menerima habuan makanan hasil kerjasama Bank Makanan Jamiyah dan Pertubuhan-pertubuhan Akar umbi (GRO) Kampong Gelam pada Sabtu (26 Dis).
SINGAPURA: Sekitar 100 keluarga memerlukan di GRC Jalan Besar menerima habuan makanan hasil kerjasama Bank Makanan Jamiyah dan Pertubuhan-pertubuhan Akar umbi (GRO) Kampong Gelam pada Sabtu (26 Dis).
Menariknya, pengagihan di Kelab Masyarakat Jalan Besar itu tidak seperti acara yang lazim dilakukan.
Buat julung-julung kalinya, pengagihan dilakukan ala gaya bufet atau "makanan berselerak" dengan penerima habuan memilih sendiri makanan yang mereka mahu dan perlukan daripada beraneka produk segar dan kering yang ditawarkan. Antaranya adalah buah-buahan, sayur-sayuran, beras, minyak, dan makanan dalam tin. Dengan diberi peluang memilih makanan mereka sendiri, ia diharap dapat mengelakkan pembaziran makanan.
Selain itu setiap keluarga juga menerima 3 kilogram daging korban.
Bagi mematuhi langkah-langkah jarak selamat, setiap penerima diberi nombor giliran dan jadual masa yang sudah ditetapkan terlebih dahulu. Mereka kemudian dibahagikan kepada beberapa barisan dan perlu menunggu sebelum dipanggil oleh para relawan. Seorang relawan turut dipadankan dengan setiap keluarga untuk membantu mereka membawa beg atau menarik troli.
Anggota Parlimen GRC Jalan Besar Denise Phua turut turun padang untuk beramah mesra dengan para penerima bagi lebih memahami keperluan dan cabaran yang mereka hadapi dalam kehidupan seharian mereka.
Pengagihan makanan di Kelab Masyarakat Jalan Besar diadakan setiap Sabtu, dengan sesi pada 26 Dis yang pertama antara Bank Makanan Jamiyah dan pertubuhan akar umbi Kampong Gelam.
Menurut Jamiyah, acara itu sebahagian daripada usaha berterusannya untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat memerlukan terutama semasa tempoh sukar sekarang.
Bahkan, Jamiyah akan terus menyokong pengagihan makanan di Jalan Besar dengan menyediakan bahan makanan setiap minggu.
Cik Alimah Kassim, 69 tahun dan Encik Abdul Aziz Abdul Kareem, 78 tahun antara penerima bantuan yang sangat mensyukuri pemberian habuan itu.
"Alhamdulillah, syukur kerana terima bantuan ini. Ia dapat kurangkan sikit keadaan saya. Terima kasih banyak kepada Jamiyah, pada semua," kata Cik Alimah.
Bagi Encik Abdul Aziz pula: "Barang makanan yang diberikan sangat bermakna. Ramai yang mengalu-alukan ini. Salah seorang itu adalah saya."
Cik Phua, yang juga Datuk Bandar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Tengah berharap untuk mengembangkan lagi inisiatif itu bagi membantu lebih ramai golongan susah.
"Jalan Besar adalah salah satu GRC dengan jumlah penduduk yang ramai tinggal di flat-flat sewa. Ramai warga emas juga. Jadi saya sangat teruja untuk melihat jika formula ini berjaya, kami ingin perluaskan bersama rakan-rakan kerja yang lain, rakan-rakan kerja yang baik seperti Jamiyah untuk menyediakannya kepada lebih ramai orang," jelas Cik Phua.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.