Jamiyah agih 10,000 kg daging korban, lebih banyak keluarga dibantu tahun ini

(Gambar: Jamiyah Singapura)
SINGAPURA: Lebih 5,000 keluarga berpendapatan rendah merata Singapura akan meraih manfaat daripada pengagihan daging korban Persatuan Jamiyah tahun ini.
Jumlah itu meningkat sedikit berbanding 4,800 keluarga yang menerimanya tahun lepas.
Sebanyak 10,000 kilogram daging daripada ibadah korban yang diselenggarakan persatuan itu bakal diagihkan pada tiga hujung minggu berturut-turut hingga 21 Julai ini.
"Alhamdulillah kami dapat menemui matlamat tersebut berkat kemurahan hati sohibul korban yang menjalan ibadah korban bersama Jamiyah Singapura dan mendermakan bahagian daging korban mereka," kongsi Setiausaha Agung dan Ketua Pegawai Korporat Jamiyah Singapura, Khair Baharin.
Daging-daging tersebut diterbangkan dari Australia dan sudah dibungkuskan mengikut jumlah yang ditetapkan.
PARA PENERIMA TERIMA DAGING KORBAN SEBERAT 2KG
Antara yang pertama mendapat daging korban itu ialah keluarga Cik Tanty Yohaida.
Ibu tunggal berusia 48 tahun itu bersyukur dengan pemberian daging korban seberat 2 kilogram itu.
"Inilah pertama kali saya mendapat bantuan seperti ini dan saya rasa bersyukur sangat kerana dua kilogram (daging) itu kepada saya teramat banyak. Saya pula jarang pergi ke pasar jadi dua kilogram itu amat banyak," kata Cik Tanty.
Beliau dan para penduduk Marsiling lain sudah mula berkumpul seawal 11.00 pagi Sabtu (6 Jul untuk menerima bungkusan daging korban dari Jamiyah.
Daging korban turut diagihkan kepada para penerima bukan Melayu.
"Daging ini saya boleh suruh ibu saya masakkan buat jiran-jiran kami kerana kami ada seorang jiran Melayu dan Cina dan kami juga gemar berkongsi makanan. Jadi saya rasa ini perkara yang sangat baik," kata Encik Kumaran, 49 tahun.
Turut hadir untuk mengagihkan daging korban itu ialah Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan merangkap Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad.
"Ini memberi kita peluang untuk menyebarkan keberkatan korban kepada masyarakat terutama sekali mereka yang memerlukan.
"Daging korban ini diagihkan bukan sahaja kepada keluarga Melayu tetapi juga masyarakat yang lebih luas. Kita turut harap kita boleh membawa masyarakat bersama untuk meningkatkan lagi taraf kehidupan mereka,"kata Encik Zaqy yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee.
Di kawasan barat Singapura pula, sesi agihan daging korban disertai Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong.
Beliau mengagihkan 120 bungkusan daging korban kepada para penduduk di Teck Whye.
Ini termasuk penduduk bukan Melayu seperto Encik Frankie Koh, 50 tahun yang berkongsi rasa keterujaannya dengan bantuan yang diterima.
"Saya akan gunakan (daging) itu untuk diri saya dan keluarga saya dan kami amat berterima kasih kepada Jamiyah Singapura kerana mendermakan daging beku ini buat para penduduk," kata Encik Frankie.
Ada juga yang berhasrat untuk menyumbang kembali dan membantu jiran-jiran lain yang memerlukan.
"Daging korban ini sebenarnya banyak yang kita boleh buat, menjamu untuk kaum keluarga. Saya akan masak mungkin lauk kari daging dan akan kasi kepada jiran saya yang memerlukan," kata Tina Samat, 58 tahun.
Lebih banyak sesi pengagihan akan dijalankan di kawasan lain termasuk East Coast, Bukit Batok dan Yishun dalam minggu-minggu mendatang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.